Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Sebanyak 30 orang penjawat awam Kedah telah mengambil bahagian dalam Petandingan Deklamasi Puisi Aristik anjuran Bahagian Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah pada 26 Mei 2025, di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Para peserta telah mempersembahkan puisi bertema “Ibu Ratu Hatiku” yang ditetapkan oleh pihak penganjur.
Pertandingan yang julung-julung kali diadakan ini merupakan salah satu acara program Semarakkan Bahasa Kebangsaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah tahun 2025.
Para peserta terdiri daripada kakitangan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Agama Islam Negeri Kedah, Jabatan Kerja Raya, Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Pejabat Tanah dan Daerah Kota Setar, Majlis Perbandaran Sungai Petani, Majlis Daerah Sik, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah, selain wakil daripada beberapa bahagian di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah sendiri.
Menurut pegawai penyelaras program, Puan Zahanim Mohd. Dzahir, pihak penganjur terpaksa mengehadkan penyertaan kepada 30 orang sahaja atas beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan, walaupun lebih banyak pihak yang ingin mengambil bahagian.
Sebanyak 15 buah puisi hasil karya para penyair tanah air seperti Sasterawan Negara (SN) Usman Awang, SN Siti Zainon Ismail dan Dharmawijaya telah dipilih menjadi teks sayembara ini. Kesemua peserta dikehendaki menghafal teks semasa membuat persembahan.
Program ini turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilatah Utara, Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah dan Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (Swadaya).
Peserta dari Jabatan Pendaftaran Negara, Puan Nurul Asmaa’ Ismail telah menjuarai pertandingan tersebut. Beliau membuat persembahan berdasarkan puisi “Puisi Cinta Buat Mama” karya Norjannah M.A.
Tempat kedua dimenangi oleh Puan Noormazura Mohd. Hilmi mewakili Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dengan puisi “Surat Buat Ibu di Kampung” karya Ehsan Jamily.
Wakil Jabatan Parit dan Saliran Sungai Petani, Puan Nurul Nadirah Md. Saad muncul sebagai pemenang tempat ketiga dengan puisi “Ziarah ke Rumah Kelahiran” karya Rosnani Ahmad.
Pertandingan tersebut telah diadili oleh panel hakim yang terdiri daripada YBrs. Sdr. Puzi Hadi, Tokoh Puisi Kebangsaan 2024; YBrs. Mohd. Zulkamal Ismail, penggiat teater; dan YBrs. Shamsudin Ahmad, penggiat dan aktivis teater dari Sungai Petani.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) YBhg. Dato’ Dr. Nadzman Mustafa, telah hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Beliau seterusnya berharap agar pada tahun hadapan, selain meneruskan pertandingan sedia ada, pertandingan menulis dan mendeklamasi puisi hasil karya masing-masing pula dapat dianjurkan.
Selain itu, hasil karya para peserta diharap agar dapat dikumpulkan dan diterbitkan dalam bentuk buku supaya dapat menjadi khazanah penulisan para penjawat awam yang mengambil bahagian.
Turut serta ialah Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Puan Syarhida Nazuha Saad; Penolong Setiausaha Kerajaan (Pembangunan Organisasi), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Puan Noorhayati Md. Soberi; dan wakil Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Puan Roshaliza Sulaiman.