Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini melancarkan buku audio berasaskan karya klasik Hikayat Ular Nangkawang dalam empat episod sebagai usaha menyemarakkan industri buku tempatan dengan mentransformasikan karya bercetak kepada bentuk audio, sejajar dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh personaliti televisyen dan ikon bahasa, YBrs. Encik Fedtri Yahya, yang turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif memperkasakan penyampaian sastera melalui medium digital.
Empat episod buku audio Hikayat Ular Nangkawang yang dilancarkan termasuklah “Sakit Itu Sementara“ (episod satu), “Muslihat Puteri Keenam: Dendam di Sebalik Senyuman” (episod dua), “Pertemuan, Persengketaan dan Pertarungan” (episod tiga), dan “Air Mata di Awan, Kembali ke Pangkuan“ (episod empat).
Fedtri berkata, penerbitan buku audio ini bertujuan untuk meningkatkan kreativiti dan kepelbagaian dalam penyampaian karya sastera kepada khalayak umum, khususnya generasi muda yang semakin terbiasa dengan format digital dan penceritaan berbentuk audio.
“Transformasi ini bukan hanya soal teknologi, tetapi soal menjadikan warisan bangsa lebih dekat dan mudah difahami oleh masyarakat hari ini,” ujar beliau.
Menurut beliau, buku audio kini menjadi fenomena dalam industri penerbitan kerana penyampaian ceritanya bukan sekadar pembacaan teks, tetapi satu bentuk pengalaman penceritaan yang menggabungkan narasi, muzik latar dan kesan bunyi untuk meningkatkan penghayatan pendengar terhadap isi kandungan.

Hikayat Ular Nangkawang merupakan karya sastera tradisional Melayu yang sarat dengan tema menghadapi fitnah, erti nilai moral, kasih sayang, dan konflik dalam hubungan kekeluargaan.
Hikayat ini menyoroti bagaimana iri hati dan hasad dengki boleh menghancurkan keharmonian hidup, sambil menyulam unsur percintaan dan hubungan sesama manusia.
Manuskrip asal hikayat ini merupakan koleksi John Leyden yang diperoleh daripada India Office Library pada tahun 1824. Kini, hikayat ini disimpan dalam bentuk digital di British Library dengan kod rujukan Mss Malay A.1 dan Add. 12382.
Pada tahun 2019, DBP menerbitkan versi bercetak Hikayat Ular Nangkawang di bawah Siri Warisan Sastera Klasik, hasil transliterasi dan kajian oleh Fathenwan Wan Mohd Nor, karyawan DBP. Buku ini merangkumi 121 halaman lengkap dengan glosari, bibliografi dan indeks.
Buku audio Hikayat Ular Nangkawang boleh didapati melalui platform digital JendelaDBP.

Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP yang mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar (yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan DBP); dan Ketua Editor Bahagian Multimedia DBP, YBrs. Naimah Yusof.