Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sasterawan daripada tiga bahasa membabitkan Melayu, Tamil dan Ma Hua akan berhimpun pada satu pentas dalam program bicara sastera Triangle of Tales (Telahan Cerita dari Tiga Sudut).
Program anjuran Persatuan Penulis Berbilang Bahasa (PEN Malaysia) dan Vallinam dengan kerjasama Nusa Centre dan Tamilasia itu bakal diadakan pada 1 Jun 2025 bertempat di Dewan YMCA, Brickfields, Kuala Lumpur.
Menurut satu kenyataan, ketiga-tiga sasterawan terbabit akan membicarakan karya terjemahan cerpen Tamil Malaysia ke dalam bahasa Melayu, karya terjemahan cerpen Ma Hua ke dalam bahasa Tamil, dan karya terjemahan cerpen Melayu ke dalam bahasa Tamil.
“Program ini bakal menampilkan sasterawan dari tiga bahasa untuk berdialog dalam satu ruang.
“Selain suatu usaha yang julung-julung kalinya berlaku dalam arena sastera Malaysia, hal ini merupakan suatu program perkongsian budaya yang cukup bermanfaat untuk semua, khususnya bagi pencinta sastera tanah air,” kata kenyataan tersebut.
Tiga antologi terjemahan antaranya termasuk cerpen Sasterawan Kelantan, S.M. Zakir yang diterjemahkan ke dalam bahasa Tamil akan dilancarkan menerusi program berkenaan.
Karya terjemahan bahasa Tamil lain yang bakal turut dilancarkan termasuklah antologi cerpen para penulis Ma Hua.
Terjemahan antologi cerpen Tamil, Dunia di Kaki Lima ke dalam bahasa Melayu merupakan kumpulan cerpen terbaik daripada para penulis Tamil Malaysia, baik pada era pascamerdeka hingga era mutakhir.
Dunia di Kaki Lima akan dijual di reruai Nusa Centre di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 23 Mei – 1 Jun 2025.
