Diterbitkan pada 12 Jun 2025, 06:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penterjemahan karya akan mudah menenggelamkan suara asal pengarangnya jika tidak dibuat secara teliti atau penterjemah yang tidak mahir.

Hal ini dikongsikan oleh penterjemah YBrs. Sdr. Saravanan Satianandan atas usahanya bagi antologi cerpen Dunia di Kaki Lima hasil karya pengarang Tamil Malaysia, dalam wacana Triangle of Tales: The Literary Bridge of Malaysia, baru-baru ini.

Fadli al-Akiti (kiri) dan Sarvanan Satianandan berbicara tentang cabaran dan liku-liku proses terjemahan untuk antologi cerpen Tamil Malaysia, Dunia di Kaki Lima.

Saravanan berkata, pengalamannya menterjemah naskhah asal dalam bahasa Tamil itu menjelaskan batas-batas yang ada dalam kerja penterjemahan.

“Misalnya, kalau kita lihat dalam sastera Melayu, jika ada pengarang yang guna dialek atau loghat utara tentu hal itu sukar untuk dimasukkan dalam karya terjemahan, kerana orang tak faham.

“Begitu juga kalau karya asal Tamil yang menggunakan dialek Tamil, apabila terjemah ke dalam bahasa Melayu, sukar untuk kita kekalkan 100 peratus, seperti mesin fotostat.

“Tapi kalau kita ada penguasaan bahasa yang baik tentu hal ini membantu, misalnya kita gugurkan dialek itu, tidak salah, tetapi emosi pengarangnya perlu dikekalkan sejauh mana yang sampai,” katanya.

Tambah Saravanan, pengguguran dialek itu tidak akan mematikan apa-apa yang ingin disampaikan oleh pengarang.

Sementara itu, Editor Dewan Sastera, YBrs. Sdr. Fadli al-Akiti yang turut diundang sebagai panel wacana yang sama berkata, apabila penterjemahan karya dilakukan, tidak mustahil karya itu akan mengikut gaya dan nada bahasa kedua.

Namun katanya, penterjemah harus mengekalkan roh cerita itu kerana mungkin akan sukar untuk penterjemah masuk terlalu dalam ke bahasa asal, namun cerita itu perlu dikekalkan.

Fadli berkata, berdasarkan terjemahan Saravanan dalam Dunia di Kaki Lima, beliau mendapati Saravanan berjaya melakukan penterjemahan dengan baik. Malah, ada beberapa cerpen dalam naskhah itu yang nyata berjaya memaut hatinya sebagai pembaca.

“Malah, Saravanan berjaya merakamkan realiti yang telus dan ‘telanjang’, yang ada kalanya masih lagi disorokkan dalam sastera Melayu,” katanya.

Beli antologi cerpen Dunia di Kaki Lima di sini.

Kredit Foto: Vallinam
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi