Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) menghimpunkan para penulis dari seluruh negeri dalam Majlis Tautan Tinta Penulis Negeri Kedah yang berlangsung di Perpustakaan Digital Kedah pada 30 April 2025.
Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan pertemuan bersama-sama para penulis berkata, Kedah sebagai sebuah negeri yang bukan hanya subur dengan sawah padi, malah subur dengan penulis yang prolifik dan berpotensi besar.
“Kedah adalah jelapang penulis, negeri yang kaya dengan warisan cerita, budaya dan pemikiran.
“DBP komited untuk membimbing, membina dan mengangkat karya-karya penulis Kedah ke peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Dalam masa yang sama, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, YBrs. Puan Roziah Md Yunus menyampaikan taklimat dengan memperkenalkan program perantisan, penerbitan karya terpilih dan peluang penyertaan dalam festival sastera antarabangsa bagi memperluas jangkauan karya penulis tempatan.
Selain itu, isu yang diketengahkan dalam sesi diskusi dan sesi soal jawab pula adalah berkenaan usaha yang perlu digembleng antara penulis, persatuan penulis, DBP, dengan Kerajaan Negeri Kedah untuk meneruskan Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA) yang kali pertama dan terakhir diadakan pada tahun 2022.
Mereka saling mengharapkan agar Kerajaan Negeri Kedah turut memikul tanggungjawab dalam memartabatkan dunia sastera dengan menganjurkan ASDA.
Usaha ini penting bagi mengiktiraf bakat tempatan dan memupuk ekosistem penulisan yang berdaya saing di negeri ini, terutamanya untuk menarik minat generasi muda.
