Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – “Konsistensi ialah elemen penting dalam apa-apa jua perjalanan dan perjuangan yang dilalui. Tanpa sifat ini, seseorang individu akan mudah hanyut dan kehilangan arah,” kata mantan pensyarah Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBMM), YBrs. Tuan Haji Omar Mamat selaku panel dalam Program Wacana Ilmu “Keberadaan Norawi di Atas Rakit Sastera” di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) pada 26 April lalu.
Program anjuran Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS) dengan kerjasama DBPCS ini memfokuskan perjalanan YBhg. Dr. Norawi Haji Kata sebagai pejuang sastera dan bahasa, yang kini merupakan Presiden PSBS dan Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Kesapang, Kota Belud, Sabah.
Ujarnya lagi, sikap Dr. Norawi suatu ketika dahulu dilihat seperti tidak mempunyai masa depan dalam bidang perguruan dan dunia sastera yang mencabar.
“Penilaian ini turut dikongsi oleh beberapa rakan setugas saya. Namun, dari sudut pengamatan saya sebagai gurunya pula, Norawi sebenarnya memiliki watak unik dan berpotensi untuk berjaya sekiranya beliau istiqamah dan tekun.

“Keyakinan tersebut terbukti benar apabila beliau kini merupakan satu-satunya Guru Besar di Sabah yang memiliki gelaran Doktor Falsafah dalam bidang Kesusasteraan Melayu. Beliau permata berharga dalam bidang sastera dan pendidikan di negeri ini.”
Dalam masa yang sama, Dr. Norawi yang pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah (HSS) turut dipuji atas usahanya menjayakan Majalah Dalam Kelas (MDK) bersama-sama dengan DBP di beberapa sekolah.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Pengarah DBPCS, YBrs. Encik Zaidi Ismail; Sasterawan Negeri Sabah ke-3, YBrs. Tuan Haji Sukor Haji Usin (Hasyuda Abadi); Pengarah Galeri Azman Hashim UMS (GAH-UMS), YBrs. Dr. Mohd Puad Bebit; Presiden Persatuan Karyawan Sastera Utara Sabah (PKSUS), YBrs. Encik Awang Karim Kadir dan ahli jawatankuasa tertinggi PSBS.