Diterbitkan pada 16 April 2025, 14:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar  “Usaha yang digerakkan oleh penulis tempatan, Encik Hasan Baseri Budiman sehingga berjaya menghasilkan buku Sebuah Memoir: Azizi yang Saya Kenali setebal 410 muka surat amatlah bermakna bagi semua pihak,” kata Presiden Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (SWADAYA) YBrs. Encik Mohamad Puzi A. Hadi dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Apresiasi Sastera: Mengenang Azizi Haji Abdullah dan Pelancaran Buku Sebuah Memoir: Azizi yang Saya Kenali, semalam.

Audiens yang hadir dalam Majlis Apresiasi Sastera: Mengenang Azizi Haji Abdullah dan Pelancaran Buku Sebuah Memoir: Azizi yang Saya Kenali.

Pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan MECCANAH Holdings Group Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Seri Dr. Haji Aziz Haji Ibrahim di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Alor Setar.

Dalam ucapan perasmiannya beliau berkata, majlis diadakan sebagai tanda ingatan terhadap jasa seorang sasterawan yang tulisannya selama 46 tahun berupaya mengayakan minda dan perasaan pembaca.

“Kemajuan sesebuah negara tidak seharusnya hanya berasaskan ukuran pembangunan jasmaniah yang bergantung kepada sains dan teknologi semata-mata kerana apalah maknanya kemajuan kepada manusia jika aspek-aspek kemanusiaan dan kerohanian tidak wujud dalam diri sendiri.

“Hari ini, biarlah dunia korporat dan sastera terus berkerjasama dengan melaksanakan pelbagai perkara yang dapat memberi manfaat bersama,” ujar beliau.

Presiden SWADAYA turut berterima kasih kepada pihak MECCANAH Holdings Group Sdn. Bhd atas penajaan penerbitan buku tersebut.

“Kami akan terus menjalankan aktiviti untuk memartabatkan golongan sasterawan yang berterusan menghasilkan novel, cerpen dan karya bukan kreatif,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, YBrs. Encik Sharrul Rizal Hashim, wakil Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, Ketua Sektor Perkhidmatan Perpustakaan dan Maklumat, YBrs. Puan Norshahila Hashim dan ahli keluarga Allahyarham Azizi Haji Abdullah.

Sesi penyerahan cenderamata kepada semua pihak yang terlibat sebagai tanda penghargaan.
Kredit Foto: Abd Razak Osman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi