Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCT Puspa turut mengikuti program pengantar penulisan puisi bimbingan Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari kepada mahasiswa di Princess of Naradhiwas University, Narathiwat, Thailand, baru-baru ini. Penegasan oleh penerima SEA Write Award itu mengenai istilah puisi dan sajak yang dianggapnya kini sudah menjadi “racau”, menarik untuk direnungkan.
Tidak perlu mempersoalkan bahawa istilah puisi bermaksud rangkuman puisi tradisional dan puisi moden. Hakikat klasifikasi ini pun sudah lama diketahui dan difahami, tanpa keliru
Sajak boleh sahaja kekal disebut sebagai puisi.
Tiada apa-apa kesalahan, masalah, kekeliruan, atau kejanggalan untuk menggunakan, memahami dan menyebutkan panggilan puisi sebagai sesuatu yang bermaksud sajak.
Rosli K. Matari, Sasterawan Negeri Kelantan 2020 dan penerima SEA Write Award (Malaysia) 2021 menegaskan demikian kepada para mahasiswa Faculty of Liberal Arts di Princess of Naradhiwas University, Narathiwat, Thailand, pada 20 Februari baru-baru ini.
Beliau menegaskan demikian pada alasan, “Pencerahan dan kejernihan, secara muktamad, diperlukan kerana pada masa kini, istilah puisi dan sajak sudah serius dipersoalkan sehingga bagai menjadi suatu keracauan pula dalam kesusasteraan Melayu mutakhir.”
Terdahulu, sebelum menyuarakan penegasan demikian, tokoh ini yang diundang sebagai tamu bagi membimbing mahasiswa pada program pengantar penulisan puisi itu, melahirkan rasa terkejutnya.
“Di luar tadi, sebelum kita bermula pada program ini, saya sudah terlebih awal ditanyakan, adakah benar bahawa kini puisi sudah tidak boleh dikhususkan sebagai bermaksud sajak lagi?
“Wah! Di luar duga saya, fenomena ini rupa-rupa sudah begitu meluas sekali sebagai keracauan antara maksud puisi dengan sajak,” gumam beliau.
Melanjutkan katanya, “Jika begitu, keracauan ini sudah ke tahap kacau-bilau terhadap dampak Kesusasteraan Melayu yang seharusnya meluncur ke hadapan dengan dinamik
“Tidak perlu sama sekali berundur ke belakang semula untuk meminda-minda kerana sudah sekian lama panggilan atau sebutan puisi terhadap sajak dapat difahami, diterima dan diguna pakai oleh khalayak sastera serta masyarakat, tanpa apa-apa kekeliruan.
“Saya harus menerangkan, menjawab dan menegaskan soal dan masalah ini tanpa bermaksud bagai hendak mengajar itik berenang,” ujarnya.
“Tidak perlu mempersoalkan bahawa istilah puisi bermaksud rangkuman puisi tradisional dan puisi moden. Hakikat klasifikasi ini pun sudah lama diketahui dan difahami, tanpa keliru,” jelas tokoh ini lagi, yang sejak dari dekad 80-an sudah dijoloki oleh para sahabat penulis, khasnya di Kelantan, sebagai “profesor puisi’.
Beliau menerangkan, jika nama sebutan puisi ingin diketatkan, disempitkan dan dikhususkan bagi khusus terhadap definisi rangkuman puisi tradisional dan moden itu sahaja, yakni tidak boleh puisi dimaksudkan sebagai sajak; hal yang demikian pun adalah tidak tepat.
Terang beliau, hakikat pengertian asas pada puisi itu pun bukanlah secara total harus bererti sebagai puisi sahaja, atau juga sebagai sajak sahaja.
Justeru, menurutnya, istilah poize yang berasal daripada bahasa Yunani kuno hanyalah bermaksud “saya mencipta”. Hal ini membawa kaitan peluasan maksud pada apa-apa hal berkaitan usaha kreativiti, termasuk seni mengarang.
Poize yang dianggap sebagai kata istilah dalam kesusasteraan yang berasal daripada bahasa Belanda merupakan kata serapan yang berasal usul daripada Yunani.
Selanjutnya, kata poize itu mempengaruhi, menyerap, berasimilasi, dan popular dalam kesusasteraan Melayu, melalui kedinamikan kesusasteraan Indonesia, yang disebutkan sebagai “puisi” kerana pengaruh dan dampak kolonial Belanda di negara itu.
Ketika itu, kata atau istilah puisi daripada kata poize mulai meluas dan popular digunakan dalam kalangan penyair dan sasterawan Indonesia yang turut bermaksud sajak.
Meskipun puisi mencakupi maksudnya pada kedua-dua bentuk, iaitu puisi tradisional dan puisi moden, namun begitu, kata ‘puisi’ pada masa itu dengan mudah sahaja dapat digunakan, diterima dan difahami umum sebagai turut bermaksud sajak.
Justeru, kata puisi sebagai sajak itu adalah berbeza jenis, format atau bentuknya dengan puisi tradisional. Hal ini sedia diterima dan difahami oleh masyarakat tanpa sebarang masalah.
Pada awal-awal itulah, istilah atau kata ‘puisi’ ikut mengalir masuk, turut popular dan menjadi dinamik dalam kesusasteraan Melayu di Tanah Melayu, kini Malaysia.
Oleh itu, sudah sekian lama khalayak sastera dan masyarakat mengenal dan mengetahui bahawa sajak biasanya boleh juga disebutkan dengan kata puisi.
Beliau tidak menafikan, kata ‘puisi’ tetap berdiri sendiri sebagai istilah asas bagi merangkumi puisi tradisional dan puisi moden (sajak).
“Namun, bukan suatu masalah besar,” ujar beliau, “tiada siapa pun keliru, sehingga menyebabkan tidak tahu untuk membezakan antara puisi tradisional dengan puisi moden atau sajak.”
Justeru, umum sudah sedia memahami bahawa sajak biasanya lazim dengan sebutan puisi sahaja.
Rosli menyoal khalayak, “Mahu tahu, mengapa tidak akan keliru?”
Semua siswa peserta diam. Tidak menjawab pada cabaran soalan itu. Menunggu beliau memberikan jawapan.
“Sebab – puisi tradisional adalah mantap tetap diketahui, disebutkan lengkap atau sepenuhnya dengan istilah sebagai puisi tradisional. Maka, dapat diketahui secara jelas arah maksudnya ialah puisi tradisional.
“Dapat dibezakan dengan sepatah kata puisi, terhadap maksud sebagai sajak, yang sudah biasa difahami umum, kerana sepatah kata puisi ini tidaklah pula disebutkan sebagai puisi tradisional,” jelas Rosli, menjawab tegas.
“Oleh yang demikian, kita telah sekian lama sedia menerima, mengetahui dan memahami bahawa kata puisi sudah biasa lazim boleh dan dapat digunakan sebagai bermaksud sajak.
“Tanpa apa-apa masalah, kekeliruan atau tergugah pemahaman. Berbeza dengan kata dan pemahaman terhadap puisi tradisional, kerana tetap disebutkan sebagai puisi tradisional.
“Tidak wujud apa-apa percanggahan penerimaan dan pemahaman lazim terhadap perbezaan antara kedua-duanya, jika demikian yang sudah dapat diterima dan difahami,” rumus beliau.
Beliau memperluas lanjut penerangan dan rumusan itu, dengan bandingan, “Seumpama, kita memahami kata sebutan pustaka atau perpustakaan, pada masa kini. Jika yang benar, kata pustaka itu asalnya khusus bagi maksud kitab-kitab ilmu sihir, pada periodisasi tradisional dahulu.
“Akan tetapi, kita sudah sekian lama mantap, sedia mengetahui dan memahami bahawa kata pustaka atau perpustakaan itu adalah sebagai bermaksud librari (library). Tanpa sebarang masalah dan kekeliruan, pada masa kini,” ujarnya.
Penerangan terhadap keracauan (dan kerancuan) yang kini sudah semakin serius meluas tentang istilah puisi itu merupakan sebahagian antara yang amat dipentingkan oleh tokoh sasterawan penyair ini, bagi difahami dan diambil berat oleh mahasiswa dan bakat pemula, dalam bimbingannya pada program pengantar penulisan puisi tersebut.
Di samping kalangan siswa, sejumlah pelajar dari beberapa buah sekolah menengah di sekitar wilayah itu turut diundang oleh pihak universiti berkenaan bagi diberikan peluang menyertai program ini.
Rosli K. Matari diundang pada program ini oleh fakulti di universiti tersebut melalui kerjasama Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN). Turut serta hadir bersama ialah penyair dan deklamator puisi terkenal, Abdul Hadi Yusoff sebagai wakil PERADABAN.
_________________________
CT Puspa atau nama sebenarnya, Abd Razak Ismail merupakan seorang penyair dan penulis dari Kota Bharu, Kelantan.