Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Fatimah Busu ialah nama yang tidak asing lagi dalam ranah sastera kebangsaan dengan karya-karya yang menggugah, misalnya Salam Maria, Ombak Bukan Biru, selain cerpen realisme yang kekal diingati hingga kini, antaranya termasuk “Nasinya Tumpah” yang dihasilkan pada tahun 1972.
Agak lama tidak muncul dengan karya terkini, baru-baru ini Fatimah kembali diperkatakan menerusi penerbitan karya terjemahannya oleh Pauline Fan, An Ordinary Tale about Women and Other Stories, diterbitkan oleh Penguin Random House SEA, mengumpulkan sekumpulan cerpen tulisan Fatimah.
Pauline dalam satu diskusi anjuran Areca Books baru-baru ini berkata, beliau memilih karya Fatimah kerana tertarik dengan penulisan sasterawan asal Kelantan itu.
Malah, dalam tulisannya yang disiarkan dalam laman Positions Politics baru-baru ini, Pauline menyifatkan usaha menterjemahkan karya Fatimah ke dalam bahasa Inggeris sebagai bukan sahaja perlu tetapi mendesak.
“Fatimah Busu kekal sebagai salah seorang figura yang paling berpengaruh namun sering dipandang remeh dalam sastera Melayu—seorang pakar dalam cerita pendek, penggunaan dialek Kelantan yang unik, pendedahan yang berani terhadap jantina dan kuasa, serta eksperimen naratifnya yang berani menggugat sempadan kanon sastera,” tulisnya.
Fatimah, 82 ialah mantan pensyarah Universiti Sains Malaysia. Beliau tampil dalam dunia penulisan pertama kalinya menerusi cerpen “Kerana Adik” pada tahun 1959, manakala Ombak Bukan Biru ialah novel pertama beliau yang terbit pada tahun 1977.
Meskipun sudah lama bergiat dalam kesusasteraan dan memenangi Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia (sekarang Hadiah Sastera Perdana Malaysia) sejak tahun 1971, Fatimah tidak pernah mendapat pengiktirafan yang selayaknya.
Sebelum ini, Fatimah dilaporkan pernah menolak penganugerahan SEA Write Award yang diberikan oleh Kerajaan Thailand dan Yayasan Jim Thompson sebagai protes terhadap kejadian di Tak Bai ketika itu.
Walau bagaimanapun, sejak penolakan itu, nama beliau tidak lagi pernah muncul untuk penganugerahan seterusnya.
An Ordinary Tale about Women and Other Stories boleh dibeli di sini.