Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Persatuan Generasi Baharu Blok 2 FELDA Mempaga 1, Bentong (GEN21) telah menganjurkan Malam Baca Puisi: Kesihatan Mental bersempena dengan Karnival Advokasi Komuniti GEN21 “Hentikan Stigma, Kesihatan Mental untuk Semua” kali ke-5 di Kompleks Sukan Feldajaya Mempaga, Pahang, semalam.
Menurut Presiden PENA, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, beliau amat terharu dengan pelibatan pelbagai pihak dalam menjayakan Malam Baca Puisi yang bertemakan “Kesihatan Mental Jelajah Minda Sihat”.

PENA dilihat sebagai satu daripada persatuan yang terlibat secara langsung dalam usaha mengekalkan dan mempertahankan warisan serta seni bangsa tanah air.
Beliau turut mendeklamasikan sebuah puisi pada malam itu yang bertajuk “Cinta dan Derita”.
Selain itu, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Puan Roziah Md Yunus juga tidak ketinggalan mendeklamasikan puisi yang bertajuk “Merpati Putih Jelajahilah Dunia Ini” karya Sasterawan Negara (SN) Usman Awang.

Kehadiran SN Dato’ Rahman Shaari sebagai tetamu khas pada malam itu turut menyerikan lagi majlis dengan mendeklamasikan dua buah puisi yang bertajuk “Merestui Sengsara” dan “Membara”.

Sebanyak 15 orang mengambil bahagian dalam mendeklamasikan puisi antaranya termasuklah Pengarah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, YBrs. Dr. Nurashikin Ibrahim yang mendeklamasikan puisi bertajuk “Warna-warna Jiwa” dan Pengarah Wilayah, FELDA Wilayah Mempaga, Encik Ahmad Syaarani Azulan dengan puisi yang bertajuk “Bacalah dalam Bahasamu”.
Selain acara deklamasi puisi, para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan cabutan bertuah.
Program Jelajah Minda Sihat Siri 5 Tahun 2025: Karnival Advokasi Komuniti GEN21 berlangsung selama tiga hari, iaitu bermula pada 14 Februari hingga 16 Februari 2025. Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang diadakan seperti kaunter derma darah, saringan kesihatan, pameran pendidikan, kaunter perkhidmatan, sukan rakyat, kursus memasak, senamrobik, larian minda sihat 5km, sembang santai bersama-sama selebriti, forum kesihatan mental, serta demonstrasi memadam kebakaran.