Diterbitkan pada 16 Februari 2025, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Persatuan Generasi Baharu Blok 2 FELDA Mempaga 1, Bentong (GEN21) telah menganjurkan Malam Baca Puisi: Kesihatan Mental bersempena dengan Karnival Advokasi Komuniti GEN21 “Hentikan Stigma, Kesihatan Mental untuk Semua” kali ke-5 di Kompleks Sukan Feldajaya Mempaga, Pahang, semalam.

Menurut Presiden PENA, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, beliau amat terharu dengan pelibatan pelbagai pihak dalam menjayakan Malam Baca Puisi yang bertemakan “Kesihatan Mental Jelajah Minda Sihat”.

Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mendeklamasikan puisi yang bertajuk “Cinta dan Derita”.

PENA dilihat sebagai satu daripada persatuan yang terlibat secara langsung dalam usaha mengekalkan dan mempertahankan warisan serta seni bangsa tanah air.

Beliau turut mendeklamasikan sebuah puisi pada malam itu yang bertajuk “Cinta dan Derita”.

Selain itu, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Puan Roziah Md Yunus juga tidak ketinggalan mendeklamasikan puisi yang bertajuk “Merpati Putih Jelajahilah Dunia Ini” karya Sasterawan Negara (SN) Usman Awang.

Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP, Puan Roziah Md Yunus turut mendeklamasikan puisi yang bertajuk “Merpati Putih Jelajahilah Dunia Ini”.

Kehadiran SN Dato’ Rahman Shaari sebagai tetamu khas pada malam itu turut menyerikan lagi majlis dengan mendeklamasikan dua buah puisi yang bertajuk “Merestui Sengsara” dan “Membara”. 

SN Dato’ Rahman Shaari dengan bersahaja mendeklamasikan puisinya yang bertajuk “Merestui Sengsara” dan “Membara”.

Sebanyak 15 orang mengambil bahagian dalam mendeklamasikan puisi antaranya termasuklah Pengarah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, YBrs. Dr. Nurashikin Ibrahim yang mendeklamasikan puisi bertajuk “Warna-warna Jiwa” dan Pengarah Wilayah, FELDA Wilayah Mempaga, Encik Ahmad Syaarani Azulan dengan puisi yang bertajuk “Bacalah dalam Bahasamu”.

Selain acara deklamasi puisi, para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan cabutan bertuah.

Program Jelajah Minda Sihat Siri 5 Tahun 2025: Karnival Advokasi Komuniti GEN21 berlangsung selama tiga hari, iaitu bermula pada 14 Februari hingga 16 Februari 2025. Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang diadakan seperti kaunter derma darah, saringan kesihatan, pameran pendidikan, kaunter perkhidmatan, sukan rakyat, kursus memasak, senamrobik, larian minda sihat 5km, sembang santai bersama-sama selebriti, forum kesihatan mental, serta demonstrasi memadam kebakaran.

Kredit Foto: Farid J
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi