Diterbitkan pada 13 Februari 2025, 15:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Airul Affendi Ali hadir pada sesi pertama tahun 2025 Kultus Kata di Taman Tasik Shah Alam. Setiap hadirin membawa buku pilihan mereka yang dibaca pada tahun 2024. Ikuti rakaman pengalaman yang cukup santai, atas nama cintakan buku.

Pembaca dan peminat buku datang tanpa terikat dengan apa-apa syarat yang ditetapkan oleh Kultus Kata.

Buku antara ubat paling mujarab bagi sesetengah manusia setelah bergulat dalam kehidupan yang masih tidak berkesudahan. Lazimnya, membaca memberikan pelukan yang lebih mesra atau dakapan paling hangat buat seseorang kala sendirian. Ketika itulah, buku dan pembaca mula berpegangan tangan, berjalan ke dunia yang mereka cipta bersama. Ketawa, menangis atau sama-sama bercerita dari hati ke buku dan dari buku ke hati.

Sedar atau tidak, pembacaan akan merubah sudut pandang seseorang terhadap kehidupan. Hal ini bergantung pada jenis buku yang ditekuni. Mulanya, kita sebagai pembaca akan menemui banyak hal yang berbeza dengan realiti kehidupan kita. Namun setelah habis membaca, kebarangkalian kita bakal menjumpai sesuatu yang mungkin asing jika dibandingkan dalam hidup seharian kita. Buku menjadi alat penerokaan ke dalam dunia baharu bagi pembaca.

Umum mengetahui, manusia punya cita rasa yang berbeza dari segala hal termasuk cita rasa terhadap buku. Daripada bukan fiksyen, artikel, keagamaan, biografi, motivasi, kepada dunia buku sastera seperti novel, cerpen dan. Namun hakikatnya, buku-buku ini, sedikit sebanyak menghadirkan kebahagiaan kepada pembaca dan peminatnya. Tiada juga syarat diletakkan kepada seseorang itu harus membaca buku. Jika buku sastera memberikan kebaikan kepadanya, teruskan. Jika buku healing, juga teruskan. Asalkan buku membawa kebahagiaan dan mewaraskan pemikiran.

Kek khas yang ditempah sempena setahun Kultus Kata.

Kultus Kata sudah setahun penubuhannya – 12 acara ulas atau bedah buku secara santai telah dilakukan di beberapa tempat awam, seperti tasik, taman, kedai buku, kafe, malah di kedai pakaian lusuh pun Kultus Kata pernah hadir mewarnainya dengan buku untuk diulas pada tahun 2024. Semuanya bersifat kekeluargaan, pada hujung minggu, sebulan sekali. Pembaca dan peminat buku datang tanpa terikat dengan apa-apa syarat yang ditetapkan oleh Kultus Kata. Mendengar, melontar soalan dan memberi pendapat tentang buku yang dibicarakan menjadi inti pati utama ketika acara ulas/bedah buku dijalankan. Mengimbau Tahun 2024, pelbagai genre buku diulas, terutama cerpen dan novel, antara karya yang menjadi kegemaran untuk dikupas bersama-sama penulis atau penerbit yang dihadiri oleh peminat dan pembaca buku.

Sesi pertama untuk tahun 2025, atau 25 Januari 2025, diadakan di Taman Tasik Shah Alam. Waktu petang. Lokasi ini juga merupakan lokasi perjumpaan pertama Kultus Kata (penulis bagai mengimbau detik pertama berkumpul setahun yang lalu). Seperti selalu, dengan suasana santai, kerusi lipat yang disusun membulat, sebuah atau dua buku dihamparkan, lalu perbincangan pun bermula.

Lebih menarik lagi, acara petang itu dihadiri oleh peminat dan pembaca buku bersama-sama sama buku terbaik 2024 di dalam tangan mereka. Setiap pembaca dan peminat mempunyai pilihan mereka masing-masing, lalu pilihan itulah yang dikongsi, sejauh mana kehebatan dan keunikannya, menjadi kegemaran tahun 2024.

Farhana Wahid memilih buku Teruslah Bodoh Jangan Pintar (2024) karya penulis terkenal dari Indonesia, Tere Liye. Farhana menyifatkan buku ni seperti sindiran kepada manusia yang mementingkan diri. Manusia yang tahu akan kesalahan atau ketidakadilan berlaku di depan mata, namun mengambil sikap berdiam diri. Lebih tepat, “hal itu bukan urusan aku”. Buku yang berlatarbelakangkan sosiopolitik dan kemanusiaan negeri seberang ini memberikan kesan kepadanya sehingga memilih naskhah ini sebagai buku pilihan 2024.

Perbincangan tentang pilihan buku tahun 2024 sedang rancak berjalan.

Babi, Kongkang, Panda dan Hal-hal yang Dipungut Kembali (2024), merupakan himpunan sejenis “espen” (esei-cerpen) yang diangkat oleh Nadhirah Ghani, seorang penulis muda, sebagai salah satu daripada enam buku pilihan sepanjang pembacaannya sepanjang tahun 2024. Buku espen yang menghimpunkan cerita sejarah, budaya dan politik ini sememangnya menjadi pilihan kepada para peminat Faisal Tehrani yang mencari kelainan dalam kepengarangan beliau. Selain itu, Kumpulan cerpen Memori untuk Dijual (2023) oleh Sue Emoqwin juga menjadi pilihan Nadhirah. Katanya, setelah membaca cerpen pertama Sue, seolah-olah diheret untuk menghabiskan kesemua isi naskhah itu atas terasyik dengan gaya penceritaan yang luar biasa. Kumpulan cerpen ini mengumpulkan beberapa tema kehidupan di kota raya. Hubungan kemanusiaannya diakui mempunyai kekuatannya yang tersendiri.

Cikgu Saedah, pesara guru dan bonda Nadhirah Ghani, memilih genre seram sebagai bahan bacaannya sepanjang tahun 2024, dan novel berjudul Saka dipilih sebagai buku terbaik pilihan bekas guru ini pada tahun 2024. Katanya, cerita-cerita seram ini sebenarnya dekat dalam kalangan pembaca Melayu dan selalunya, kisahnya datang daripada kisah benar yang selalu didengar sejak dulu lagi.

Ku Syafiq, seorang wartawan bebas membawa lebih kurang lima hingga enam naskhah pilihannya. Katanya, tahun 2024 merupakan tahun dia membalas dendam untuk membaca, setelah masa membacanya dirompak oleh kesibukan tahun-tahun sebelum itu. Antara naskhah terbaik pilihan Ku Syafiq termasuklah kumpulan cerpen Pengembaraan Shell-Searching Seekor Umang-umang Rock ‘n’ Roll dan Lain-lain Cerita (2017) dan Holokos (2016). Kedua-duanya ditulis oleh Ridhwan Saidi. Ku Syafiq berpendapat bahawa Ridhwan Saidi seorang pengarang yang pandai bermain dengan suatu perkara yang serius tetapi menanganinya dalam keadaan yang bersahaja. Sajak Sajak Salleh (Buku Fixi, 2022) dan antologi Merabak Sembah (2024) juga merupakan buku pilihannya.

Izzudin pula menyatakan dengan bangga kepada Kultus Kata bahawa novel Konserto Terakhir (1971) karangan Sasterawan Negara Abdullah Hussain menjadi buku pilihannya sepanjang zaman. Tambahnya, belum ada lagi buku yang mampu memberikan kesan kepada dirinya selepas membaca novel Konserto Terakhir.

Buku-buku yang menjadi pilihan kalangan peserta Kultus Kata petang itu mungkin terbaik untuk mereka.

Tiga buku berbahasa Inggeris diangkat oleh beberapa ahli Kultus Kata sebagai buku pilihan mereka.

Fazleena Hishamuddin, pengasas Kultus Kata memilih The White Book (2016) oleh Han Kang, penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2024. Baginya, penceritaan dalam novel ini seperti dipecah-pecahkan menjadi sedikit prosa, cerpen dan beberapa gambar, seolah-olah berbicara kepada pembaca atau lebih tepat, mendengar Han Kang berbisik ketika bermeditasi. Buku ini membawa pembaca meneroka beberapa lapis ruang penceritaan dengan bertemakan warna putih. Tambah Fazleena, novel ini membawa naratif tentang kehidupan seperti pembalut luka yang sedang menutupi kesan luka yang masih berdarah.

Acara pertukaran fikiran kemudian bertukar kepada sesi makan bersama, seperti berkelah di tepi tasik. Seronok!

Buku Psychology of Money (2020) karangan Morgan Housel pula menjadi pilihan Kelly. Baginya, buku itu benar-benar memberikan kesan kepada dirinya. Akma pula memilih A Little Life (2015) tulisan Hanya Yanagihara yang bertemakan kesihatan mental, penderaan seksual dan psikologi dalam masyarakat. Buku yang setebal 720 muka surat itu mengajak Akma untuk terus membelek, helaian demi helaian. Saudara Leman pula memilih novel ngeri psikologi dan jenayah, The Silent Patient (2019) tulisan Alex Michaelides sebagai buku pilihannya.

Buku Pasar ke Pasar (2024) nukilan penulis terkenal Zainal Rashid Ahmad pula dianggap buku paling terbaik yang dibaca oleh Airul Affendi Ali sepanjang tahun 2024. Buku ini merupakan kumpulan rencana dan anekdot pengalaman Zainal ketika berada di Kuala lumpur pada tahun 1980-an ke atas. Terdapat cerita beliau bersama-sama temannya yang menyentuh hal kemanusiaan, muzik, filem, buku, dan dunia jalanan. Zainal Rashid mengabadikan pelbagai kisah bersama-sama temannya seperti Zaen Kasturi, Loloq, Nasir Jani, Sabri Yunus, dan Pyanhabib. Tidak lupa juga tokoh sastera seperti Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dan Azizi Haji Abdullah yang turut dicoret dalam buku setebal 303 muka surat itu. Kandungan terakhir buku ini menampilkan 10 rencana tentang sahabat baik beliau, Selamat Asrin yang cukup mengesani hidupnya.

Satu hal yang menarik dalam Pasar ke Pasar ialah, Zainal Rashid Ahmad menceritakan bagaimana buku telah menyelamatkan beliau daripada dunia dadah ketika bergelut mencari kehidupan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Pada zaman 1980-an, dadah menjadi ancaman utama kepada anak muda. Namun begitu, atas terlalu cintakan buku dan minat membaca, beliau menjauhi najis dadah dengan beranggapan yang jika khayal dadah, akan mengganggu minat membacanya. Dan ternyata, daripada kisah ini, menemukan kita semua kepada lelaki yang memenangi puluhan hadiah sastera dan kewartawanan di negara ini.

Buku-buku yang menjadi pilihan kalangan peserta Kultus Kata petang itu mungkin terbaik untuk mereka. Pembaca di luar boleh menyangkal atau mempunyai pilihan sendiri. Pilihan masing-masing. Lebih penting, kita semua berbalik kepada perkara asas: Iqra’. Semoga Kultus Kata terus santai berkongsi cerita tentang buku pada masa akan datang.

_________________________

Airul Affendi Ali, pemula dalam lapangan sastera. Beliau menulis puisi, cerpen dan ulasan buku. Karyanya pernah tersiar dalam Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Tamadun Islam, Dewan Kosmik, Tunas Cipta, WadahDBP, Berita Harian, Mingguan Malaysia, Suara Sarawak, Harian Ekspres, Utusan Borneo, Berita Minggu Singapura, Media Permata Brunei, dan beberapa portal di Indonesia. Airul menulis artikel ini sambil terbayangkan para teman Kultus Kata menikmati nasi himpit dan dendeng daging yang dimasaknya dengan penuh kasih sayang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi