Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAirul Affendi Ali berkongsi pengalamannya mengikuti aktiviti bicara buku Kultus Kata yang diadakan di serata kedai buku di Lembah Klang.
Kultus Kata, kumpulan awam yang menghimpunkan pembaca buku dan peminat sastera serta seni merupakan salah satu contoh kelompok daripada belasan atau puluhan kumpulan awam yang mengubati kekecewaan mana-mana peminat dan pembaca buku yang tidak dapat hadir ke majlis resensi buku yang diadakan pada hari bekerja.
Dunia pembacaan punya polanya yang tersendiri. Ada pasang surut seperti air di pantai. Ya, mungkin dahulu, kekurangan bahan bacaan menjadi alasan paling kukuh mengapa aktiviti membaca berada di paras yang rendah jika dibandingkan dengan beberapa negara jiran. Kini, dengan lambakan bahan bacaan daripada pelbagai sumber, aktiviti membaca sepatutnya lebih rancak dalam kalangan masyakat kini. Akan tetapi, kehadiran lambakan alatan (gadget) yang berunsur permainan elektronik juga menjadi faktor pada terganggunya aktiviti membaca dalam kalangan masyarakat kita, terutamanya anak-anak muda.
Pada zaman ini, membaca bukan lagi soal ulat buku, atau soal pandai namun tujuan pembacaan itu lebih meluas. Jika dahulu, membaca selalu dikaitkan sebagai hobi atau aktiviti mengisi masa lapang, mencari bahan pembelajaran dan ilmu pengetahuan, tetapi kini membaca lebih jauh jangkauan tujuannya. Ada masyarakat yang menjadikan aktiviti membaca sebagai ubat yang perlu diambil untuk merawat luka dalam jiwa apabila berada di titik terendah dalam kehidupan. Buku pula telah memainkan peranan penting sebagai alat kewarasan pada minda manusia. Maka, buku yang berkaitan sangat membantu “memulihkan jiwa” yang diracun dengan pelbagai masalah untuk pulih kembali dan berdiri sihat sebagai seorang manusia.
Itu soal membaca. Bagaimana pula aktiviti wacana ilmu yang berkaitan dengan buku, seperti bual bicara, baca buku, bedah karya, atau ulasan dan kritikan terhadap sesebuah naskhah? Kerap kali kita terbaca akan aktiviti bual bicara tentang buku yang baru diterbitkan di institusi pendidikan, atau agensi kerajaan yang berkaitan, menggamit para pembaca (pelajar, pendidik atau pembaca yang sudah bersara daripada kerja hakiki) hadir dalam acara tersebut, yang selalunya diadakan pada hari bekerja. Dengan tidak menafikan, ada juga acara sedemikian yang diadakan pada hujung minggu oleh pihak berkepentingan tetapi agak sedikit bilangannya. Timbul sedikit kekecewaan pada pembaca atau orang awam yang tidak mampu menghadirkan diri pada hari bekerja untuk mendengar kupasan buku daripada panel-panel yang hebat.
Kultus Kata, kumpulan awam yang menghimpunkan pembaca buku dan peminat sastera serta seni merupakan salah satu contoh kelompok daripada belasan atau puluhan kumpulan awam yang mengubati kekecewaan mana-mana peminat dan pembaca buku yang tidak dapat hadir ke majlis resensi buku yang diadakan pada hari bekerja. Fazleena Hishamuddin, Akma dan Mohd Khairil Izzi merupakan antara penggerak utama Kultus Kata. Kumpulan ini telah menyediakan satu wadah untuk bicara ilmu tentang pembukuan antara penerbit, penulis dengan pembaca pada hujung minggu setiap bulan (sebulan sekali).
Masih segar dalam ingatan penulis ketika Kultus Kata mengadakan pertemuan pertama bagi menerangkan peranan, tujuan dan hasrat penubuhan kelab membaca ini yang telah menarik ramai pembaca dan peminat buku, sastera dan seni berkumpul. Walau dalam gerimis, rata-rata peserta tidak berganjak untuk mendengar hala tuju Kultus Kata. Semuanya jelas, soal buku, sastera, seni, kupasan, kritikan, dan penerbitan sesebuah karya akan dibualkan sepanjang sesi yang bakal diadakan. Sesi-sesi borak buku ini juga sering ditutup dengan persembahan nyanyian dan acara baca sajak daripada peminat buku yang hadir. Semua boleh beraksi di pentas terbuka.
Lokasi penyatuan antara tiga golongan ini (penulis, penerbit dan pembaca) tidaklah di dalam dewan mewah atau pentas-pentas gah. Kultus Kata memilih tempat yang lebih santai dan dekat dengan masyarakat, terutamanya tempat yang sering dikunjungi oleh masyarakat pada hujung minggu, seperti di taman dan tasik, kedai buku atau kafe-kafe yang menyediakan suasana tenang. Dengan pendekatan yang lebih santai, pakaian lebih kasual, rata-rata pembaca dan peminat buku lebih senang dengan suasana yang tenang, mesra dan tidak terlalu berprotokol, menemani program sehingga tamat. Sekadar memetik beberapa lokasi yang pernah menjadi pentas terbuka untuk acara borak buku Kultus Kata termasuklah: Taman Tasik Shah Alam, Taman Tasik Kelana Jaya, Tinta Budi, The Sunburst Store, Gerak Budaya, Taman Tasik Chempaka Bangi, Bijou Café, dan Biblio Press Shop.
Kultus Kata berusaha membawa penerbit-penerbit kecil dan besar ke dalam program santai ini. Namun tidaklah mengatakan yang karya-karya terbitan mereka juga kecil. Tidak sama sekali. Usaha ini lebih pada memperkenalkan rumah penerbitan yang berada di luar arus perdana namun lebih dekat kepada peminat dan pembaca buku. Aras99, Samudera Publication, Gerak Budaya, Rabak-Lit, Cerekayasa, Biblio Press, dan beberapa lagi rumah penerbitan yang kecil menerbitkan karya berkualiti sebagai bahan bacaan kepada masyarakat. Usaha ini juga membolehkan penerbit mempromosikan karya terbitan mereka secara terus kepada pembaca. Ada urusan jual beli juga terhasil daripada aktiviti bedah buku ini. Sudah pasti ada tawaran harga yang lebih istimewa daripada di platform jualan yang lain.
Beberapa nama besar juga pernah duduk di kerusi borak buku Kultus Kata.
Dalam suasana santai, bedah karya juga hangat dalam kalangan penulis, penerbit dan pembaca. Kultus Kata menggunakan peluang bual bicara ini untuk mencungkil persoalan, aspirasi dan halangan pada setiap penerbitan buku secara terus daripada penerbit dan penulis. Sedar atau tidak, pembaca dan peminat buku juga datang daripada kalangan penulis atau pemula dalam lapangan karya kreatif dan sastera negara. Pengalaman ini memberikan satu ilmu kepada mereka yang hadir. Soal idea, rangka penulisan dan penghasilan sesebuah karya dikongsi tanpa perasaan kedekut oleh penulis dan penerbit.
Kepentingan bedah karya terserlah setiap kali acara ini diadakan. Persoalan demi persoalan yang diajukan oleh pembaca, boleh dijawab terus oleh penulis. Hal tema, watak, konflik, idea, pemikiran, atau apa-apa saja yang bergumpal dalam kepala pembaca dirungkaikan dengan elok oleh penulis. Bukan itu sahaja. Ulasan, pendapat dan kritikan daripada pembaca juga disalurkan terus kepada penulis. Pembaca yang hadir juga terdiri daripada pelbagai latar belakang yang boleh berkongsi pandangan tentang karya yang dibicarakan. Kedua-dua pihak mendapat manfaat bersama.
Malah, tidak menjadi masalah atau beban kepada mana-mana individu yang hadir tetapi tidak membaca karya yang dibicarakan. Hal itu bukanlah sesuatu yang wajib, cuma digalakkan. Bahkan, selepas satu jam sesi bedah karya, segala macam diluahkan, rata-rata yang hadir mula timbul minat untuk membaca karya yang dibedah. Inilah juga salah satu tujuan program santai yang dianjurkan oleh Kultus Kata, iaitu memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan muda.
Program borak buku anjuran Kultus Kata tidak terhad pada karya sastera sahaja. Ada juga buku daripada lapangan seni muzik dibedah seperti buku Gonzo Tanpa Fiasco yang ditulis oleh Ku Syafiq, seorang wartawan daripada akhbar arus perdana. Malah, buku kanak-kana juga tidak dipinggirkan di pentas borak buku ini. Sebagai contoh, buku My Country and I tulisan Mazliannie dan Fazar Arif yang menyasarkan golongan kanak-kanak telah diberi ruang untuk dibicarakan di kedai buku Gerak Budaya. Malah, Kultus Kata pernah juga membicarakan karya Tamil yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu iaitu novel Sigandi karya M.Navin. Hal ini memperlihatkan bahawa gagasan membaca sangat penting di setiap lapisan umur masyarakat serta budaya negara ini.
Beberapa nama besar juga pernah duduk di kerusi borak buku Kultus Kata. Ini bukan soal kelebihan yang dimiliki oleh anggota kumpulan Kultus Kata tetapi lebih pada betapa rendah dirinya nama-nama besar seperti Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan yang turun bersama ketika perjumpaan pertama untuk membincangkan hala tuju Kultus Kata.
Faizal Tehrani juga pernah menjadi tetamu bual bicara ketika sesi di Bangi sewaktu Nadhirah Ghani, Mohd Azmen, Ku Syafiq, dan beberapa penulis lain sudi bersama-sama pembaca dalam sesi bedah karya. Jika tiada penulis, acara masih boleh dijalankan dengan perbincangan terbuka antara pembaca. Mungkin beberapa sudut pandang pembaca lain boleh menambah pendapat terhadap buku yang dibicarakan. Tidaklah pembaca hanya mempunyai satu pandangan sahaja. Tahniah kepada penggerak Kultus Kata atas usaha yang berterusan ini.
Usaha Kultus Kata semakin konsisten dalam aktiviti borak buku pada setiap bulan. Mungkin banyak lagi kumpulan awam di luar sana dapat melakukan hal yang sama atau lebih baik daripada Kultus Kata. Hal yang lebih penting, budaya membedah karya, borak buku atau bual bicara ini perlu diperluaskan dalam kalangan masyarakat. Jika belum di kawasan tempat tinggal anda, hal ini wajar dimulakan, walau dengan beberapa orang sahaja atau kumpulan kecil. Hal ini cukup untuk membuatkan aktiviti ini menjadi suatu aktiviti yang mengasah minda. Pendek kata, budaya membaca perlu diterapkan dalam minda kita agar dapat mengubah kita menjadi bangsa berilmu dan berjaya.
_________________________
Airul Affendi Ali, pemula dalam lapangan sastera. Beliau menulis puisi, cerpen dan ulasan buku. Karyanya pernah tersiar dalam Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Tamadun Islam, Dewan Kosmik, Tunas Cipta, WadahDBP, Berita Harian, Mingguan Malaysia, Suara Sarawak, Harian Ekspres, Utusan Borneo, Berita Minggu Singapura, Media Permata Brunei, dan beberapa portal di Indonesia.