Diterbitkan pada 10 Februari 2025, 12:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hidayyah AT Mizi meneliti potensi sastera dari sisi lain untuk membalas reaksi Dr. Aminudin Mansor.

Menentang nilai dan kepentingan teknologi seolah-olah berperang dengan masa. Tidak ada kebaikan yang boleh didapatkan.

Zaman berubah. Perubahan perlu mengikut zaman. Melakukan hal yang sama, berulang-ulang kali, tetapi mengharapkan sesuatu yang berbeza merupakan suatu tindakan yang kurang bijak. Membudayakan sastera bukan terkurung dalam ruang tulisan semata-mata. Seharusnya, kita mencari alternatif, seiring zaman yang berubah.

Jangan paksakan anak-anakmu mengikuti jejakmu, mereka diciptakan untuk kehidupan pada zaman mereka, bukan zamanmu …” ~ Socrates

(Al-Syahrastani, 1404; Nurhakim, 2020)

Ketika bersekolah, inilah kutipan mutiara kata yang saya baca setiap hari. Papan tanda ini diletakkan di hadapan masjid menuju ke bangunan kelas. Maka, setelah menginjak dewasa, inilah pegangan yang saya percayai dan lazimi.

Dalam zaman apabila anak-anak terlebih dahulu mengenali teknologi sebelum tahu membaca, membentuk minat anak-anak untuk membaca buku adalah sukar. Apatah lagi kalau dikecilkan oleh niche pembacaan kepada bahan-bahan kesusasteraan.

Di Malaysia, kita masih bernaratif bahawa membaca merupakan jambatan ilmu. Dalam kata lain, jika mahu jadi bijak pandai, perlu membaca. Namun kini, hal membaca dan mendapat input baharu ini lebih mudah didapatkan daripada bahan di ruangan maya. Internet memudahkan capaian maklumat.

Tambahan pula dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin canggih, tanya sahaja, sekelip mata saja dapat diberikan jawapan. Mahu jadi bijak tidak memerlukan seseorang untuk membelek buku dari satu muka surat ke muka surat yang lain.

Anak-anak sekarang cara berfikirnya lebih segaya “popcorn brain”. Istilah ini pertama kali diperkenalkan oleh Levy, D.M. (2011, 9 Ogos). Too much screen time could lead to popcorn brain. Disebabkan itu, anak-anak ini lebih suka menerima input secara cepat.

Inilah kesan penggunaan alatan (“gajet”) dan kandungan media sosial yang berlebihan. Penggunaan teknologi berlebihan menyebabkan fungsi otak dirangsang sehingga sukar menumpukan perhatian, menikmati interaksi sosial secara langsung dan berfikir secara mendalam. Minda menjadi terlalu terbiasa dan kebergantungan kepada elektronik menjadi utama, sehingga kehidupan di luar talian yang lebih perlahan menjadi kurang menarik.

Meskipun istilah ini tidak wujud dalam perbincangan perubatan rasmi dan tidak diiktiraf sebagai istilah perubatan rasmi, namun fenomena ini dirasai oleh manusia di seluruh dunia yang mendiami kehidupan masyarakat moden.

Isu ini saya bawa dalam perbincangan kerana berasakan bahawa teknologi sememangnya merupakan pesaing terulung ketika ibu bapa mula runsing mencari jalan agar anak-anak kembali minat membaca.

Sastera menjadi lebih khusus dan terpencil. Perbincangan tentang sama ada “Sastera, akan Hilangkah Peminatnya” pula bernada begitu skeptikal apabila menghuraikan permasalahan utama, dan cadangan-cadangan yang dianjurkan juga sudah pun dilakukan sebelum ini dalam skala kecil. Ada apa-apakah yang berubah? Tiada. Hakikatnya, anak-anak lebih suka menatal telefon berjam-jam lamanya, sambil melayari media sosial atau giat bermain permainan mudah alih.

Mahu terima atau tidak, inilah kehidupan gaya moden yang didakap oleh manusia di seluruh dunia. Aktiviti-aktiviti sebegini menjadi ruang untuk bersosial tanpa sekatan peringkat umur. Malah, diasosiasikan dalam kehidupan peribadi dan perhubungan dalam keluarga.

Menentang nilai dan kepentingan teknologi seolah-olah berperang dengan masa. Tidak ada kebaikan yang boleh didapatkan.

Inilah cabaran yang harus diakui. Lawan yang perlu ditikam dari belakang. Musuh yang dijadikan sahabat dan dipergunakan.

Dalam era membaca merupakan suatu pilihan, membaca dianggap sebagai hobi semata-mata. Inilah isu kedua yang saya fikir mengganggu urusan membugarkan kesedaran dalam diri.

Sastera perlu diberikan nilai baharu. Persepsi tentang sastera perlu disarankan dan dibangunkan, sebagai satu alternatif pembangunan diri.

Sastera perlu menjadi kawan karib dalam perjalanan anak-anak mengejar matlamat hidup.

Bagaimanakah sastera sepatutnya dilihat? Sebagai teman seangkatan demi mencapai impian dan cita-cita, sastera perlu dilihat sebagai suatu peluang untuk membesarkan potensi diri seseorang.

Sastera perlu menjadi kawan karib dalam perjalanan anak-anak mengejar matlamat hidup. Sastera perlu dianggap sebagai tongkat menuju alam pekerjaan. Sastera memerlukan nilai yang lebih komersial untuk diterima dengan lebih terbuka.

Romantisisme terhadap sastera tidak sepatutnya dikecam. Pendekatan sebegini lebih menggoda berbanding pendekatan yang terlalu ideal. Sastera perlu diperlakukan bagai kekasih hati yang tugasnya khusus untuk mendorong, memberikan sokongan.

Bayangkan apabila berhadapan dengan anak yang berminat dengan permainan mudah alih. Sokonglah minat anak-anak ini lalu galakkan mereka pula untuk menjadi pencipta. Dalam hal ini, sastera dapat diberikan tugas untuk mengiringi impian ini.

Perkenalkan sastera sebagai satu keperluan. Mencipta permainan memerlukan imaginasi tinggi, susunan naratif, mahir teknikaliti, dan sebagainya. Contohnya, membaca sastera membantu membugarkan idea dan konsep, malah sastera menawarkan tipikaliti permainan bahasa.

Usaha membangunkan permainan maya memerlukan struktur yang serupa dalam penciptaan karya sastera, khususnya untuk mengukuhkan struktur kreativiti. Hal ini dengan mudah dapat dicapai dengan membaca.

Antara inisiatif yang dirasakan sesuai adalah dengan menambahkan sastera dalam topik penghasilan dan penciptaan permainan mudah alih (selain pensijilan tunggal berkaitan kesusasteraan) dalam senarai pensijilan e-Latih, salah satu platform pembelajaran dalam talian di Malaysia. Platform ini dibangunkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp), memberikan peluang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan rakyat Malaysia.

Kalaupun satu hari nanti, anak-anak kita ralit bermain permainan mudah alih sahaja; kita sudah tidak perlu risau kerana dalam pembangunan diri anak itu sudah ada pengisian sastera.

Dengan pengisian sastera, anak-anak juga terdedah dengan sejarah dan ketamadunan. Dengan memahami sejarah, mereka juga lebih fasih berbudaya. Ah, senarainya akan berjejeran panjang.

Kalau membaca hanya sekadar hobi, dunia penerbitan dan sastera sukar bersaing. Terlalu niche. Terlalu terhad dan terpinggir.

Akan tetapi, adakah sastera akan hilang? Tidak mungkin. Kalaupun perbincangan ini tidak bergerak ke mana-mana dan tidak dapat dibuat apa-apa pun, sastera tetap tidak akan hilang.

Sastera ialah genetik. Salah satu kebijaksanaan alami manusia ialah bahasa. Sastera sebagai komponen bahasa, sentiasa akan menjadi tradisi dan diturunkan khusus kepada khalayaknya yang terpilih.

_________________________

Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi