Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDr. Aminudin Mansor memberikan pandangannya tentang taraf hayat sastera dalam kalangan masyarakat sekarang dan beberapa cadangan untuk membina apresiasi kesusasteraan.
Dalam hal ini, pengaruh dan sokongan ibu bapa amat kritikal untuk membina minat kanak-kanak yang masih muda usianya.
Dalam era digital yang sibuk dan pantas ini masihkah ada mereka yang minat membaca novel, cerpen dan puisi seperti pantun, syair dan sajak? Pertanyaan ini sewajarnya dijawab oleh kalangan penulis atau penyair sebagai peminat sastera Melayu. Jika dahulu, novel remaja menjadi daya tarikan kuat kepada pembaca remaja. Kini, fenomena itu tidak berlaku lagi.
Apa-apa bidang kehidupan sekalipun, semuanya bergantung pada minat yang mendalam. Jika minat tidak disemai dan ditanam sejak kecil dalam jiwa seseorang, minat itu tidak akan tumbuh subur dalam kehidupan. Bagi saya, minat yang mendalam dalam bidang sastera dan budaya mestilah disemai dan ditanam sejak kecil lagi pada peringkat sekolah rendah.
Melalui minat yang mendalam dalam bidang sastera, hal ini akan mampu membangunkan akal budi insan dan jati diri seseorang. Dalam kajian psikologi tentang faktor yang mempengaruhi dan meningkatkan minat murid terhadap pembacaan, khususnya karya sastera, faktor pengaruh individu (sama ada daripada keluarga ataupun rakan sebaya) merupakan antara faktor yang penting untuk memupuk minat murid membaca dan mendekati sastera.
Dalam hal ini, pengaruh dan sokongan ibu bapa amat kritikal untuk membina minat kanak-kanak yang masih muda usianya. Begitu juga dengan pengaruh daripada guru di sekolah melalui galakan dan pendedahan para guru tentang sastera dan buku kepada para murid. Pengaruh galakan daripada ibu bapa dan guru juga boleh timbul daripada pemberian hadiah berupa buku atau menghadiahkan murid/kanak-kanak dengan hadiah yang disukai oleh mereka jika mereka menunjukkan minat terhadap buku atau sastera. Hal ini meningkatkan daya rangsangan yang bermakna kepada anak sejak kecil lagi.
Di sekolah juga, mesti diwujudkan Sudut Sastera di perpustakaan atau pusat sumber sekolah. Masjid atau surau di kawasan taman perumahan juga wajar mewujudkan perpustakaan atau Sudut Sastera, dengan mengangkat karya-karya terbaik hasil tulisan Sasterawan Negara, penerima SEA Write Award, pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia, termasuk penulis dan karya ternama.
Percayalah, sejak awal pembangunan tamadun manusia lagi, sastera melalui tulisan telah mampu membina sahsiah, akhlak, akal budi, dan pemikiran maju masyarakatnya. Budaya ilmu yang diterapkan melalui hasil karya sastera mampu membina tamadun bangsa. Jika sastera dipinggirkan, pasti akal budi dan pemikiran bangsanya akan turut mundur ke belakang dan tidak mampu menjana pemikiran maju.
Yakin dan percayalah, bidang sastera dan budaya akan hilang peminatnya jika pendidikan sastera tidak disemai dan ditanam dalam jiwa anak-anak sejak di taman didikan kanak-kanak atau tadika serta sekolah rendah lagi. Tambahan pula, kecanggihan telefon pintar dan alatan telah mengambil alih peranan buku, majalah dan surat khabar pada masa ini.
Di sekolah, pendidikan sastera hanya dilakukan melalui subjek Bahasa Melayu, iaitu pada peringkat sekolah menengah melalui Komponen Sastera (Komsas). Hal itu pun kerana bahan Komsas dimasukkan dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan (PT3) dulu, dan kini hanya ada Komsas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Komsas seakan-akan “terpaksa” dipelajari dan dibaca oleh murid hanya kerana untuk lulus peperiksaan semata-mata. Pemahaman dan penghayatan sastera kurang dicapai, malah jarang-jarang sekali murid sekolah menengah ini menunjukkan minatnya sampai kepada tahap penghayatan.
Mungkin daripada bahan Komsas, timbullah sedikit minat dalam kalangan murid untuk berjinak-jinak dan memahami sastera dan budaya bangsa. Hal ini disebabkan oleh para murid di sekolah menengah “terpaksa” membaca novel, cerpen, sajak, gurindam, syair, seloka, drama, dan petikan sastera klasik. Bahan yang dibaca amat terhad dan tidak meluas serta mencabar pemikiran murid untuk berfikir secara kreatif, kritis serta bijaksana. Namun begitu, terdapat juga impak positif jika ada usaha daripada para guru yang rajin, misalnya, adanya inisiatif guru bahasa yang mengadakan projek pementasan drama yang dipetik daripada teks Komsas. Hal ini sebenarnya memang disukai oleh para pelajar.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sewajarnya memperkasakan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Murid diberi pilihan untuk mengambil mata pelajaran ini sebagai subjek penting dalam peperiksaan pada peringkat SPM.
Dulu, sejak tahun 1960-an, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu (yang kini dijenamakan semula sebagai Kesusasteraan Melayu Komunikatif) mempunyai nilai kredit untuk para pelajar sambung belajar setelah tamat SPM atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Terdapat jurusan sastera tertentu, seperti di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, dan Universiti Sains Malaysia, yang meletakkan prasyarat agar pelajar harus lulus subjek Kesusasteraan Melayu atau mendapat gred tertentu bagi membolehkan mereka mendapat tempat dalam jurusan sastera tersebut di universiti awam yang disebutkan tadi.
Tahap Apresiasi Kesusasteraan Melayu
Buku dan hasil karya sastera juga wajar dijual di pasar malam, pasar tani, dan pasar pagi.
Mungkin, antara bukti kurangnya apresiasi terhadap Kesusasteraan Melayu pada masa ini ialah makin sempit dan terhimpitnya ruangan sastera (baik dalam esei/kritikan atau tulisan kreatif seperti cerpen atau sajak) diberikan dalam akhbar-akhbar tempatan, yang juga kelihatan makin kurang disebarkan di toko buku, kedai runcit dan kedai serbaneka (seperti di 7-Eleven). Hal ini seakan-akan menunjukkan, hilangnya minat membaca para masyarakat dengan bahan bercetak konvensional, dan lebih berminat dengan bahan media sosial yang terdapat dalam teknologi digital.
Persatuan penulis dan penyair setakat ini pula, tidak berusaha secara bersungguh-sungguh untuk menghidupkan dan merakyatkan sastera. Tiada acara membaca novel dan cerpen di khalayak umum. Tiada acara membaca sajak di tepi pantai bersama-sama dengan nelayan. Tiada acara membaca sajak di siar kaki dan di jalanan.
Tiada acara baca sajak di pasar tani, di jeti nelayan, di hentian teksi. Kurangnya bedah karya secara terbuka kepada umum. Tiada acara sastera di tempat awam yang boleh disertai oleh ahli masyarakat.
Jika dulu, penyair Indonesia, WS Rendra, pernah membaca sajak di tempat awam di negaranya. Di Malaysia dulu, penyair Khalid Salleh pernah melakukannya dengan membaca sajak di kaki lima sambil menjual ubat dan majun. Sambutannya juga hebat kerana masyarakat dapat menghayati puisi dan karya sastera secara percuma dan santai sambil membeli buku.
Penyair dan Sasterawan Negara (SN) Kemala pernah mengadakan acara pembacaan sajak bertemakan Islam di masjid yang beliau menjadi nazirnya. Banyak penyair dan peminat puisi terlibat dan hadir dalam acara tersebut.
Beranikah kalangan sasterawan/penyair sekarang melakukan perubahan bagi melawan arus teknologi digital yang semakin kuat dan hebat ini? Beranikah kalangan orang sastera sekarang membaca puisi secara santai di tempat awam di kawasan orang ramai?
Persatuan penulis dan penyair juga boleh turun padang ke sekolah-sekolah bagi meraikan Minggu Bahasa Melayu.
Para penulis dan penyair seharusnya, atas inisiatif sendiri, menghidupkan “roh” sastera. Hal ini boleh ditimbulkan dengan amalan yang kelihatan santai dan kecil, tetapi sebenarnya memberikan tanggapan yang positif. Misalnya, melalui aktiviti membaca buku di kawasan khalayak umum, seperti di dalam tren dan pasar raya.
Sebenarnya, kehidupan masyarakat itu sendiri ialah sastera. Sastera ialah cerminan kehidupan. Apabila sastera dihidangkan secara percuma di khalayak ramai, sastera akan terus diminati dalam pengisian akal dan jiwa. Masyarakat sebenarnya masih lagi minat membaca, meskipun telah beralih kepada teknologi digital. Minat kepada sastera sebenarnya sudah ada dalam jiwa manusia yang halus dan indah.
Karya sastera bukan hanya hak milik golongan atasan dan pertengahan. Karya sastera juga hak milik semua masyarakat, termasuk masyarakat bawahan. Mereka juga mampu membaca karya sastera.
Buku dan hasil karya sastera juga wajar dijual di pasar malam, pasar tani, dan pasar pagi. Kajian saya sendiri mendapati, banyak golongan marhaen yang meminati sastera, tetapi mereka tiada masa untuk membelinya di kedai buku dan di toko buku ternama. Adalah lebih baik karya sastera dipasarkan di kawasan terbuka yang lebih senang dikunjungi. Buku seperti novel, kumpulan cerpen dan sajak sebenarnya masih ada peminatnya. Radio dan televisyen juga boleh memainkan peranan memaparkan slot ulasan dan memperkenalkan buku baharu, seperti yang dilakukan oleh Radio IKIMfm.
Melalui Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang diperkenalkan oleh KPM baru-baru ini, pendidikan sastera di sekolah juga dapat diperluas dan dimanfaatkan. Penerbitan e-buku sastera juga wajar diperluas.
Ingatlah bahawa sastera ialah ucapan dan tulisan indah serta berilmu, yang memberikan kedamaian, ketenangan dan kesejahteraan hidup kepada manusia. Unsur keindahan bahasa dan nilai kebaikan dalam karya sastera ini akan terhakis jika kita tidak berusaha melestarikannya.
Akhir kata, mungkin sudah tiba masanya agar para pemimpin persatuan penulis di serata Malaysia mesti membuka peluang dan ruang kepimpinan dalam persatuan kepada penulis muda, dengan menubuhkan sayap muda dan menganjurkan lebih banyak peraduan mengarang kepada generasi muda di Malaysia. Dengan itu, sastera mungkin dapat berkembang maju, sejajar dengan kemajuan zaman.
_________________________
Aminudin Mansor (Dr.) atau Ami Masra, Doktor falsafah dalam Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau aktivis bahasa, sastera dan budaya. Juga Tokoh Bitara Penulis Sepanjang Hayat.