Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangYala — Seramai 200 peserta Thailand dan Malaysia menyertai Bengkel Deklamasi Sajak, Pidato, Penulisan Puisi dan Travelog di Universiti Fatoni, Yala, Thailand baru-baru ini.
Para peserta bengkel yang terdiri daripada 150 peserta dari wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, dan Songkhla bersama-sama 50 peserta dari Malaysia yang terdiri daripada lima wakil pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Larut, Matang dan Selama, Dekan Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), YBhg. Profesor Madya Dr. Abdullah Ibrahim, dan mantan pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki Kuala Lumpur, YBrs. Tuan Haji Mohd Fauzi Abdullah.
Dalam masa yang sama, Guru Besar dari Sekolah Kebangsaan Jelai, Sekolah Kebangsaan Matang Gelugor dan Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII, guru-guru dari Kelantan, Terengganu, Perak, dan Kuala Lumpur serta para aktivis sastera turut menyertai bengkel tersebut.

Penganjuran bengkel kali ketiga ini merupakan usaha Presiden Kumpulan Penulis dan Rakan Seni (KAPRI), YBrs. Encik Awang Abdullah.
Juara kebangsaan dalam dunia deklamator, YBrs. Encik Maroof Seman dan YM Tengku Anizan bertindak sebagai tenaga pengajar dalam Bengkel Deklamasi Sajak manakala untuk Bengkel Pidato pula diketuai oleh YBhg. Profesor Madya Dr. Abdullah Ibrahim bersama-sama tiga mahasiswa UniSZA.
Sementara itu, Bengkel Penulisan Puisi dan Travelog dibimbing oleh tiga orang guru, YBrs. Encik Awang Abdullah, YBrs. Encik Hamir Habeed (Ketua Panitia Guru Bahasa Melayu Sekolah Seri Puteri Cyberjaya) dan YBrs. Encik Ghazali Sulong.
Bengkel sastera ini yang bermula sejak tahun 2023 lagi telah mendapat kerjasama pihak Fakulti Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Fatoni, Yala, Thailand dan juga Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).