Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat pemilihan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara atau SEA Write Award menerima secara keseluruhan sebanyak 29 pencalonan bagi penganugerahan tahun 2022 dan 2023.
Ketua Pengarah, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, DBP membuka pencalonan pemilihan calon Malaysia bagi SEA Write tahun 2022 bermula 20 Oktober hingga 20 Disember.
Sepanjang tempoh itu katanya, DBP menerima sebanyak 15 pencalonan.
“Bagi tahun pemilihan 2023 yang bermula 28 Februari 2023 hingga 25 Mac 2024 pula, DBP telah menerima sebanyak 14 pencalonan.
“Jawatankuasa Pemilihan SEA Write dipengerusikan oleh Ketua Pengarah DBP, manakala ahli panel terdiri dalam kalangan tokoh dan sarjana sastera tanah air,” katanya dalam sidang media pengumuman penerima SEA Write bagi tahun 2022 dan 2023, di Menara DBP, semalam.
Hazami berkata, antara kriteria pemilihan calon bagi anugerah itu merangkumi beberapa faktor, antaranya termasuk penghargaan dan pengiktirafan (60%); prolifik dan tekal (20%); ketokohan dan pemikiran (10%); dan komitmen kegiatan dalam pengembangan sastera kebangsaan (10%).
Katanya, SEA Write Award ialah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan sejak tahun 1979 yang diwujudkan oleh Kerajaan Thailand untuk tokoh penulis dari negara rantau Asia Tenggara (ASEAN), iaitu Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.
Antara objektif penganjurannya adalah untuk mewujudkan kesedaran dan pemahaman yang luas tentang kekayaan sastera dalam kalangan penulis negara Asia Tenggara; memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada bakat-bakat kesusasteraan penulis kreatif negara Asia Tenggara; selain menghimpun, mempromosi dan mengetengahkan penulis Asia Tenggara yang berbakat besar ke peringkat rantau dan antarabangsa dalam satu program yang berprestij.
Semalam, DBP mengumumkan Sasterawan Negeri Kedah dan Perak bagi tahun 2023, iaitu YBhg. Osman Ayob dan YBhg. Siti Zaleha M. Hashim sebagai penerima SEA Write Award, masing-masing bagi tahun 2022 dan 2023
Hazami berkata, majlis penganugerahan anugerah berkenaan akan berlangsung pada 25 November 2024 di Istana Sukhothai, Thailand.