Diterbitkan pada 9 November 2024, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ismail Hashim merasakan bahawa karya puisi yang tidak diendahkan oleh rumah penerbitan tertentu masih ada harapan hidupnya di tempat lain.

Motivasi yang merundum akan kembali tumbuh, seperti cendawan di musim hujan.

Setiap penulis akan merasakan dirinya terpinggir apabila karya yang dihantar ke rumah penerbitan ruangan sastera tidak mendapat perhatian editor untuk karyanya disiarkan.

Siaran atas karya yang dihantarnya itu mampu menyuntik semangatnya untuk terus menulis. Sekiranya berlaku sebalinya, alunan motivasinya untuk terus menulis perlahan-lahan merundum.

Akan tetapi, dengan adanya saluran alternatif di media sosial seperti Tukang Puisi, Doea Jiwa, Media Permata, Suara Sarawak, dan Berita Harian (Singapura), puisi yang mereka anggap terpinggir itu telah diberikan perhatian yang sewajar oleh editor saluran alternatif.

Puisi tersebut diangkat oleh editor alternatif itu di media sosial dan disiarkan. Motivasi yang merundum akan kembali tumbuh, seperti cendawan di musim hujan.

Saya tidak menyalahkan editor halaman ruangan sastera rumah berkaitan yang mewakili akhbar atau majalah yang berprestij dalam kalangan pembacanya itu kerana tidak menyiarkan puisi atau cerpen yang dikirim.

Jauh sekali untuk menuduh sang editor mempunyai kroni tertentu dalam kalangan penulis.

Mungkin segelintir daripada karya tersebut dikesani mempunyai unsur yang “menyerupai” karya penulis lain yang sudah pun mempunyai nama di arena penulisan. Editor juga mempunyai indera yang halus dan boleh mengesani sesebuah karya itu asli atau plagiat. Menulislah dengan jujur!

Selain itu, mungkin juga sang editor mempunyai kriteria tertentu dalam meletakkan nilai sesebuah karya sebelum diangkat untuk disiarkan. Mungkin juga sang editor mahu menjaga kualiti sesebuah karya.

Pilihan yang teliti perlu dilakukan, terutama sewaktu membuat pemilihan dan aspek-aspek tertentu perlu diberikan perhatian sebelum sesebuah karya itu diangkat dan disiarkan di media cetak akhbar dan majalah.

Nasihat saya: jangan tinggalkan komputer riba saudara! Teruskanlah menulis!

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pun baru-baru ini ada membuka ruang kepada penulis dalam sayembara pelbagai genre penulisan. DBP mendapatkan dananya melalui Kerajaan MADANI baru-baru ini.

Sementara itu, rumah penerbitan alternatif seperti Tukang Puisi di media sosial menganjurkan sayembara puisi saban tahun. Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) juga bercadang untuk menerbitkan dan membukukan 100 karya yang terpilih secara fizikal melalui dana yang diperoleh daripada Kerajaan MADANI.

Selain itu, Tukang Puisi juga menerima sebahagian daripada puisi yang disiarkan di media digital ini untuk sayembara, manakala pihak PENA juga menerima karya puisi atau cerpen yang pernah tersiar di media sosial. Mereka menyantuni puisi yang dianggap sebagai terpinggir itu.

Akhirnya, kita juga berterima kasih kepada Kerajaan MADANI yang menyediakan dana yang besar dan rasa terima kasih kepada PENA dan DBP yang menganjurkan sayembara pelbagai genre penulisan untuk dimanfaatkan oleh penulis.

Kita tidak lupa juga mengucapkan terima kasih kepada Tukang Puisi yang mengadakan sayembara puisinya setiap tahun itu.

Senario ini diibaratkan seperti berlakunya suatu kolobrasi antara kedua-dua belah pihak agar dapat mengangkat martabat seseorang penulis itu lebih tinggi. Hal ini juga mendorong seseorang penulis itu untuk terus menulis, tanpa berasa patah hati dalam kelangsungan dirinya sebagai seorang penulis.

Saya teringatkan Saudara Rosli K. Matari dengan kumpulan puisinya, Matahari Itu Jauh (ITBM, 2015) yang pada catatan ringkasnya dalam buku itu, “Sepintas Impian Melintas Perjalanan” yang mengharapkan adanya syarikat kaya-raya yang sanggup membiayai penulis atau penyair dengan aktiviti kesusasteraan dan penerbitan karya atau penyair terus-menerus sebagai usaha tanggungjawab sosial.

Hal ini termasuklah kembara ke negara luar bagi menimba pengalaman yang lebih besar bagi mendorong keghairahan untuk mencipta karya. Sasterawan Negara Allahyarham Abdullah Hussain pernah menjadi Karyawan Tamu di Universiti Sains Malaysia, misalnya.

Sekiranya saudara terus menulis dan tidak memiliki rasa patah hati, inilah masanya saudara “menjual” puisi, cerpen atau karya lain dalam pelbagai sayembara yang sedang dipertandingkan itu. Nah, tepuk dada tanyalah selera!

______________________________

Ismail Hashim ialah penulis bebas dari Negeri Sembilan. Beliau menulis novel, cerpen, puisi, dan drama radio.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi