Diterbitkan pada 21 September 2024, 22:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sasterawan Negara (SN) Siti Zainon Ismail berkongsi pengalamannya sepanjang menceburkan diri dalam ranah sastera dan minatnya kepada seni lukis.

Dalam perkongsiannya, selepas pulang dari Akademi Seni Rupa Indonesia, (ASRI) beliau memulakan kerjaya sebagai seorang jurulatih seni lukis di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Beliau menyatakan bahawa ketika bekerja selama tiga tahun, beliau mula berasa bosan kerana tiada lagi cabaran dalam kerjaya dan mula memikirkan idea-idea baharu.

“Saya mula berasa bosan dengan kerja harian yang dilakukan dan sebagai seorang yang suka akan cabaran, saya perlu mencari perkara baharu untuk memastikan saya terus produktif”

“Oleh itu, saya bertemu dengan pegawai di kementerian dan menyatakan hasrat yang ingin dilakukan”.

Selepas itu, muncullah kegiatan ‘Pasar Seni’ yang pada ketika itu berlangsung di Menara Jam bersebelahan Bangunan Abdul Samad.

Beliau juga berkongsi tentang kisah tentang kegiatan seni Anak Alam yang dianggotai oleh Latiff Mohidin, AGI, Mustapa Ibrahim, beliau sendiri dan beberapa orang rakan lain.

“Anak Alam merupakan kolektif seni yang mengadakan kegiatan seni lukis, persembahan teater dan program baca sajak”

“Lantas kegilaan ahli Anak Alam kepada seni (sastera), telah membentuk diri saya hingga mampu mencapai tahap tertinggi dalam ranah ini”.

Sebelum itu, SN Siti Zainon Ismail telah diundang untuk berkongsi pengalaman dalam Forum Sasterawan Negara anjuran Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada petang tadi.

Forum ini diadakan bersempena dengan program Puisi dan Drama (PUISIDRA): Di Balik Bias Kaca yang akan berlangsung selama dua hari, iaitu bermula pada hari ini (21 September) dan esok (22 September).

PUISIDRA merupakan himpunan karya puisi SN Siti Zainon Ismail yang menggabungkan kehalusan bahasa puisi, dijayakan oleh para pelakon ternama tanah air, antaranya Vanida Imran, Farah Ahmad dan Norzizi Zulkifli.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari juga akan turut beraksi dalam menjayakan PUISIDRA.

Orang ramai dijemput untuk memeriahkan dan menyaksikan keindahan seni yang penuh dengan mesej tersirat, visual yang memukau dan penghayatan yang menyentuh jiwa dalam program tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi