Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAyer Keroh – “Kolokium Pantun Peringkat Kebangsaan 2024 yang diadakan ini merupakan usaha atau inisiatif dalam memperbanyak wacana intelektual berkaitan dengan bidang sastera.”
“Melalui kolokium ini, hasil dapatan yang diperolehi mampu diberikan kepada agensi yang berkaitan seterusnya membawa pantun ke peringkat antarabangsa.”
“Bertemakan ‘Membuanakan Pantun Khazanah Pusaka Bangsa’, kolokium ini penting dalam usaha melestarikan dan menyemarakkan pembudayaan pantun yang merupakan simbol ilmu dan akal budi bangsa.”
Demikian penjelasan Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sewaktu menyampaikan ucapan pembukaan bersempena dengan Kolokium Pantun Peringkat kebangsaan.

Dalam ucapan tersebut, beliau turut menjelaskan bahawa pantun antara program yang menjadi keutamaan dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, bahasa ilmu dan bahasa ekonomi sebagaimana yang terkandung dalam teras Pelan Strategik DBP 2021 – 2025. Tambah beliau:
“Langkah ini seiring dengan pengiktirafan pantun sebagai warisan budaya tidak ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).”
“DBP akan mengorak langkah secara aktif dan merangka pelbagai aktiviti agar kelestarian pantun terus dipelihara dan terjaga.”
Sejak tertubuhnya DBP, pelbagai bahan bacaan atau maklumat mengenai pantun telah diterbitkan.
Hasil yang dirakam ini memperlihatkan kebijaksaan dan kepintaran masyarakat Melayu dalam mengungkap sesuatu perkara.
“Kepesatan zaman telah mengubah masyarakat berfikir. Oleh itu, pantun sebagai wahana mendidik dan memberikan pengajaran mesti diperluas agar identiti bangsa tidak terhakis.” Ujar Puan Fauzilahyatun mengakhiri ucapan pembukaan.
Kolokium Pantun Peringkat Kebangsaan ini dianjurkan oleh DBP menerusi Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS) dengan kerjasama Institut Tun Perak dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka. Kolokium ini berlangsung selama dua hari, iaitu 10 dan 11 Julai 2024 yang menampilkan barisan akademik, penggiat sastera dan budaya serta aktivis pantun yang terkenal.