Diterbitkan pada 11 Julai 2024, 10:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – “Impak pantun dalam diri saya amatlah kuat malah menjadi minat yang utama ketika usia kecil hinggalah sekarang.”

Demikian penjelasan Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika membentangkan kertas kerja dalam Kolokium Pantun Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, semalam.

Ujar beliau, sejak dahulu pantun merupakan budaya Sarawak dan dalam acara kesenian, pantun akan diselitkan sebagai ungkapan wajib.

“Bermukun atau gendang Melayu Sarawak merupakan acara berbalas pantun antara orang lelaki dengan perempuan dan dilakukan dalam majlis perkahwinan.”

“Melalui bermukun, acara ini telah menyerikan sesebuah majlis membuatkan saya berasa gembira kerana pantun telah menghidupkan suasana serta para hadirin terhibur sambil mengambil iktibar daripada inti pantun.”

Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari semasa membentangkan kertas kerja.

Menurut beliau, pantun sangat unik dan memiliki penangan yang luar biasa kerana di dalamnya terhimpun pelbagai rencah yang berkualiti, iaitu kemahiran berbahasa, kemahiran menyusun makna dan kandungannya mengandungi nasihat yang ingin disampaikan kepada masyarakat. Tambah beliau:

“Sejak zaman dahulu lagi, magis pantun tidak pernah hilang bisanya.”

“Boleh saya katakan bahawa pantun kekal anjal merentas bidang dan zaman kerana pantun berada dalam semua perkara dan pengalaman, baik dalam majlis ataupun renungan peribadi.”

“Kecerdikan dan kegeligaan masyarakat Melayu tetap tersembunyi dalam rangkap-rangkap pantun yang dikarang ratusan tahun lalu namun kekal hingga kini.”

Terdahulu, Kolokium Pantun Peringkat kebangsaan diadakan selama dua hari dengan menampilkan barisan tokoh akademik, penggiat sastera dan budaya serta aktivis pantun.

Kolokium ini dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan Sastera dengan kerjasama Institut Tun Perak dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi