Diterbitkan pada 29 Jun 2024, 21:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kajang – “Saya mengharapkan rakan-rakan yang ada kesedaran untuk mempertahankan bahasa dan sastera kebangsaan bersama-sama DBP memberikan reaksi yang terus apabila berlaku sebarang pertelingkahan, berlaku pelanggaran kepada kedudukan bahasa dan sastera kebangsaan,” ujar Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika berucap dalam Majlis Penutupan Hari Puisi Nasional Ke-22: Puisi dan Citra Kemanusiaan Tahun 2024.

Itulah antara harapan terbesar yang dilontarkan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam Majlis Penutupan Hari Puisi Nasional Ke-22: Puisi dan Citra Kemanusiaan Tahun 2024 yang bertempat di Hotel The Jerai, Alor Setar, Kedah, pada petang tadi.

YBrs. Dr. Hazami Jahari memukul gong semasa gimik perasmian Majlis Penutupan Hari Puisi Nasional Ke-22 di Hotel The Jerai, Alor Setar, Kedah.

Hari Puisi Nasional Ke-22: Puisi dan Citra Kemanusiaan yang merupakan anjuran DBP dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) ini telah berlangsung sejak semalam.

Presiden GAPENA Malaysia, YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis itu.

Sementara itu, Presiden GAPENA Malaysia, YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan berkata, terdapat banyak pendapat yang timbul seperti penggabungan hari puisi nasional, dengan hari puisi kebangsaan dan kesemua polemik yang timbul ini dianggap sebagai satu pandangan yang baik kepada GAPENA dan boleh difikirkan untuk masa akan datang.

Ujar beliau,

Jawatankuasa pengurusan dan jawatankuasa kerja GAPENA akan menimbangkan dan memikirkan bagaimana Hari Puisi Nasional dan Hari Puisi Kebangsaan dapat disatukan supaya dapat menjimatkan kos dan masa.

Pada masa yang sama, YBrs. Dr. Hazami Jahari mengalu-alukan pihak GAPENA untuk terus bekerjasama dengan DBP dalam menjayakan apa-apa sahaja majlis yang ingin diadakan pada masa hadapan.

Selagi DBP dapat membantu, kita akan pastikan bahawa pembangunan sastera kebangsaan akan disokong di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Di samping itu, YBrs. Dr. Hazami Jahari juga berharap agar rakan-rakan GAPENA, PENA dan rakan-rakan penulis di negeri untuk membantu DBP mempertahankan kedaulatan bahasa dan sastera kebangsaan.

Inilah antara perjuangan yang saya bawa agar sastera terus dihormati, agar sastera terus memberikan manfaat kepada masyarakat kita.

YBrs. Dr. Hazami Jahari juga memaklumkan bahawa DBP akan melancarkan kembali Bulan Bahasa Kebangsaan di Ipoh pada 6 Oktober 2024 dan turut mengumumkan jumlah hadiah yang akan diberikan kepada pemenang utama bagi Sayembara Penulisan Novel, Cerpen, Drama dan Puisi adalah sebanyak RM30,000.

Selain itu, YBrs. Dr. Hazami menyatakan bahawa DBP akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan tambahan yang diterima daripada kerajaan untuk meningkatkan lagi kegiatan kesusasteraan, iaitu dengan membawa kembali sasterawan negara ke institusi pendidikan tinggi (IPT), sekolah dan institut pendidikan guru (IPG), mementaskan semula karya sasterawan negara dan mengadakan teater perdana serta menerbitkan karya terbaik penulis Malaysia untuk disebarkan ke seluruh negara.

Antara tetamu yang hadir dalam Majlis Penutupan Hari Puisi Nasional Ke-22 pada petang tadi.

Antara tetamu yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden GAPENA, YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad; YBhg. Sasterawan Negara, Dato’ Rahman Shaari; Penyair, YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin; Setiausaha Agung GAPENA, Encik Zainal Mohd Jais; Encik Roni Rejab mewakili Encik Rejab Ismail selaku penerima anugerah penyair GAPENA 2024, dan Naib Presiden GAPENA, Tuan Haji Hamzah Hamdani.

Menerusi majlis tersebut turut diadakan pelancaran lima buah Antologi Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), iaitu Travelog Cinta Madinah, Antologi Puisi Tiga Rasa: Tenggelam dalam Aksara, Impian Murni, Senja Memeluk Matahari dan Waktu Yang Lahap Mengunyah Ku.

Pelancaran lima buah Antologi Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), iaitu Travelog Cinta Madinah
Antologi Puisi Tiga Rasa: Tenggelam dalam Aksara, Impian Murni, Senja Memeluk Matahari dan Waktu Yang Lahap Mengunyah Ku.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi