Diterbitkan pada 27 Jun 2024, 18:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam dunia penulisan, terpulanglah pada penulis sendiri sama ada mahu mencari populariti yang “kosong” atau “berisi”.

Hal itu ditegaskan oleh pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi apabila membicarakan Suara dari Anjung Dewan Sastera, “Antara Intelektualisme dengan Kepopularan dalam Sastera”.

“Pilihlah ikut berapa peratus yang dapat dikesan, sama ada pada intelek atau popularnya.

“Hal ini dikatakan sedemikian kerana dalam popular ada unsur intelek, dan begitu juga sebaliknya,” kata beliau.

Sebelum itu, Dr. Awang berpendapat, Dewan Sastera wajar terus berperanan menyiarkan karya sastera sejak kemunculannya pada tahun 1971.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, penyiaran tulisan berupa resensi, kajian yang menyentuh teori sastera dan bercorak akademik perlu juga diteruskan.

“Kesemuanya boleh membantu ke arah kemajuan, mendorong penghasilan karya berunsur lama menjadi kontemporari, mencabar pengarang menggarap isu semasa, misalnya kemiskinan kerana definisi kemiskinan sekarang sudah berbeza, dan berkarya semasa dengan unsur lama,” katanya.

Dalam hal kritikan sastera yang turut dikaitkan sudah kurang popular, Dr. Awang Azman menjelaskan bahawa kelesuannya sejak bertahun-tahun kebelakangan ini disebabkan oleh perbezaan abad.

Sebagai contoh, katanya, novel terbitan tahun 1990-an dikaji pada tahun 2024.

“Begitu pun, saya memuji amalan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Kebangsaan Malaysia, Che Abdullah Che Ya yang juga pengkritik sastera terkenal yang membaca semua novel baharu sebaik diterbitkan,” ujar beliau.

Dr. Awang juga tidak menafikan bahawa sikap penulis yang menganggap pengkritik sebagai musuh turut menjadi antara punca kelesuan kritikan sastera tanah air.

Dalam hal intelek, pengarang Rebecca Ilham menegaskan bahawa sastera tidak dapat lari daripada ilmu, dan ilmu berkait rapat dengan hal intelektual.

“Sastera ialah satu cabang ilmu. Oleh kerana itu ia perlu intelek.

“Dalam Islam, agama suci ini telah mengosongkan sastera yang berunsur bukan Islam. Penulis yang beragama Islam pastilah menjadi pewaris sastera yang baik,” kata Rebecca.

Tambah beliau, tidak mengapa jika mahu menghasilkan karya popular, tetapi haruslah tetap berpandukan Islam.

Penulis, katanya lagi, perlu tahu meletakkan yang mana lebih utama.

“Masyarakat umum ada ilmu, tetapi mungkin tidak mendalam.

“Mereka juga menggemari kisah cinta tiga segi. Tetapi, saya tetap memegang prinsip, walaupun setuju karya sastera ada pengikut sendiri, karya yang baik mengundang pahala, tetapi karya yang buruk sebaliknya,” ujar Rebecca.

Para hadirin program berserta ahli panel dan pemudah cara, Encik Saifullizan Yahaya (tiga dari kanan) hadir sebagai tanda kasih sempena Ulang Tahun ke-68 Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bagi editor Berita Harian, Mohd Nazmi Yaakub, intelektualisme dengan kepopularan ialah dua perkara berbeza di tempat yang sama.

Intelek ialah rumah yang tetap, sementara popular ialah kenderaan yang membawa tuan rumah ke mana-mana.

“Jadi, kedua-duanya adalah keperluan. Sukar untuk menetapkan yang mana lebih penting.

“Jika dikaitkan dengan akhbar, memang sukar walaupun populariti penting bagi halaman satu dan dua. Halaman 10 dan 11 pula memuatkan bahan bersifat analisis,” jelas beliau.

Nazmi memberikan alasan, ada cerpen penulis luar negara yang jumlah perkataannya kurang daripada 10 patah, tetapi mempunyai pemikiran kerana merangkumi semua aspek intelektualisme dan kepopularan.

“Popular datang kemudian. Ia tidak dicipta. Yang dicipta ialah karya, sama ada baik dan bermutu atau sebaliknya,” jelas beliau lagi.

Turut hadir dalam acara ini termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Chamil Wariya; Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Encik M. Azahari Edin; Ketua Editor Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Buku Sastera DBP, Encik Mohd. Azam Juhari, penerima SEA Write Award 2022, Dr. Shamsudin Othman, serta para penuntutnya dari Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia.

Kredit Foto: Farid Jainudin

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi