Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Encik Saifullizan Yahaya (Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera) telah memenangi Hadiah Kategori B (Eceran) melalui karya “Pagar Makan Pegar” (Cerpen) dan “Pendekatan Sastera Profetik sebagai Pemangkin dalam Penulisan Kreatif Malaysia MADANI” (Esei, Kritikan, Rencana Sastera) bagi Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-9 ( (HSDR), di Galasa Caldwell pada petang tadi.
Sebelum itu, pada HSDR Ke-8, beliau turut memenangi anugerah dalam Kategori Eceran (Puisi dan Cerpen) melalui karyanya, iaitu “Kematian antara Dua Khamis” dan “Perempuan yang Membunuh Anjing pada Suatu Senja Nan Hening”.
Menerusi kejayaan tersebut, beliau menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1500.00 bagi setiap kategori dan watikah penghormatan daripada Kerajaan Negeri Perak.
Beliau yang dilahirkan di Kampar, Perak mendapat pendidikan peringkat diploma dalam bidang Seni Sastera dan Kreatif (Institut Teknologi Seni Melaka), seterusnya Ijazah Linguistik Bahasa Melayu [Universiti Putra Malaysia (UPM)] dan Sarjana dalam bidang Sastera Melayu (UPM).
Setakat ini, beliau telah menghasilkan tujuh buah buku, iaitu empat kumpulan cerpen bertajuk Lelaki Tua dan Sebuah Kerusi (DBP, 2008) Aku Anjing (ITBM, 2018) Ifindo (Studio Anai-Anai, 2019), dan Memberikan Telinga (Studio Anai-anai, 2020) dan tiga buah kumpulan puisi, iaitu Biar Puisi Menjadi Peluru (ITBM, 2012), Aku Gagak (ITBM, 2014) dan Rusuh Diksi (Stensilan, 2007).
Semasa ditemui oleh wartawan JendelaDBP, beliau melahirkan rasa gembira dan bersyukur atas kejayaan yang dikecapinya.
Selanjutnya, beliau sedang menyiapkan projek terbaharu, yakni menyiapkan kumpulan cerpen dan sedang tekun menghasilkan novel.
Sebelum mengakhiri temu bual tersebut, beliau menitipkan semangat untuk penulis muda agar berani meneroka idea-idea baharu dan menghasilkan karya yang mendalam bagi mencabar penulis yang sedia ada.
Terdahulu, HSDR Ke-9 telah dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad. HSDR diwujudkan bagi memberikan pengiktirafan tertinggi bertaraf negeri kepada tokoh sastera yang berasal atau bermastautin di negeri Perak.
Pada edisi kali ini, Hafizah Iszahanid telah dipilih sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri, sekali gus dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Perak. Bagi Karyawan Sepanjang Hayat diberikan kepada Siti Zaleha Bee Mohd Hashim (mantan karyawan DBP), manakala Mohamad Saleeh Rahamad diumumkan sebagai Ilmuwan Negeri Perak dan Mohammad Hafiz Abdul Latiff diangkat sebagai Pejuang Muda Sastera Negeri Perak.