Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Abang Haliman Hj. Abang Julai menyampaikan renungan dan harapan dalam 70 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka menimba dan melestarikan keunggulan bahasa dan sastera negara.
DBP itu sendiri pun telah terpahat pada sejarah dan ketamadunan bangsa apabila institusi ini membawa kepada kemajuan dan perkembangan bahasa Melayu sebagai satu daripada tujuh bahasa di dunia yang digunakan sebagai bahasa kebangsaan, selain bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol, Protugal, Arab, dan Mandarin di negara masing-masing.
Semenjak tahun 1956 hingga kini, belum ada institusi di negara ini yang fungsi dan peranannya seumpama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Di beberapa buah negara di Barat, usaha menjaga bahasa itu tidak menjadi tanggungjawab tunggal sesebuah institusi, tetapi dipikul secara kolektif.
Di Sepanyol misalnya, Real Academia Española (RAE) yang merupakan institusi rasmi yang menyelia bahasa rasmi di negara itu, bertanggungjawab memastikan bahasa Sepanyol terus menjadi bahasa perpaduan. Pada masa yang sama, RAE turut menerbitkan banyak kamus bahasa Sepanyol dan terjemahannya dalam bahasa asing.
Selain RAE, Instituto Cervantes juga merupakan sebuah lagi institusi rasmi kerajaan di Sepanyol yang berfungsi untuk mempromosikan pengajaran, pembelajaran dan penggunaan bahasa serta budaya Sepanyol.
Begitu juga dengan Institut Goethe di Jerman yang menawarkan kursus bahasa Jerman yang intensif untuk semua peringkat kemahiran, merangka peperiksaan rasmi yang diiktiraf, dan bertanggungjawab mempromosikan bahasa dan budaya sehingga peringkat antarabangsa. Institusi ini juga bergerak bersama-sama dengan institusi lain bagi menjalankan fungsi yang sama.
Sebagai hasilnya, bahasa rasmi di negara berkenaan tidak tergoyahkan dan dipancang rapi, malah tetap utuh seiring dengan kemajuan ekonomi dan perkembangan teknologi kini. Hal ini tidaklah bermaksud untuk membandingkan peranan dan usaha DBP dengan institusi bahasa di negara lain yang sudah mencapai ratusan tahun usianya.
Hal ini dikatakan demikian kerana dari segi usia, kewujudan DBP itu sememangnya masih muda. Walau bagaimanapun, dari segi peranan dan sumbangannya kepada perbendaharaan ilmu pengetahuan dan khazanah persuratan bangsa, kewujudan DBP selama tujuh dekad ini tidak boleh dikesampingkan dan sesungguhnya amat signifikan.
DBP itu sendiri pun telah terpahat pada sejarah dan ketamadunan bangsa apabila institusi ini membawa kepada kemajuan dan perkembangan bahasa Melayu sebagai satu daripada tujuh bahasa di dunia yang digunakan sebagai bahasa kebangsaan, selain bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol, Protugal, Arab, dan Mandarin di negara masing-masing.
Tidak dilupakan, DBP juga diiktiraf sebagai badan berkanun melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Hal ini menjadikan DBP mempunyai kuasa autonomi dalam menggubal dasarnya yang khusus; menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera; serta menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetitif menurut prinsip serta amalan perusahaan dan profesion penerbitan.
Maka itu, peranan DBP diagihkan mengikut fungsi di setiap jabatan agar misi penubuhan DBP, iaitu untuk:
Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Sepanjang 70 tahun kewujudannya, DBP menerusi Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera sentiasa melipatgandakan usaha bagi merangka dan melaksanakan program yang mendukung bahasa dan sastera kebangsaan seiring dengan kemajuan dan peredaran zaman.
Sebagai penggerak, pengembang dan pengawal selia, jabatan ini sejak sekian lama telah mengadakan ribuan kegiatan melibatkan usaha pemupukan dan penggalakan, iaitu memasyarakatkan bahasa dan sastera yang bertujuan untuk menyemai kecintaan terhadap bahasa kebangsaan.
Begitu juga dengan program pembinaan bakat dan kepakaran serta program pengembangan bahasa kebangsaan pelbagai kaum yang menumpukan usaha bersepadu untuk mengembangkan bakat dan kepakaran dalam bidang bahasa dan sastera kepada pelbagai lapisan dan peringkat masyarakat tanpa mengira peringkat umur, kaum, bangsa dan agama di negara ini.
Daripada usaha ini, lahirlah ribuan program, antaranya termasuklah Minggu Penulis Kanak-kanak; Minggu Penulis Remaja; Forum Pelajar; Forum Remaja; Munsyi Bahasa; Munsyi Jawi; Munsyi Muda; Munsyi Siswa; Pemerkasaan Jawi; Hadiah Sastera Perdana; Anugerah Sastera Negara; Hadiah Bahasa Public Bank; Dekad Bahasa Kebangsaan; Dekad Membaca Kebangsaan; dan ribuan lagi wacana, forum dan syarahan; pertandingan; serta festival yang berlangsung dengan satu tujuan tuntas – memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan.
Hal ini belum mengambil kira usaha berterusan DBP menerusi Bahagian Promosi dan Pengiktirafan dalam menjulang maruah bahasa ke peringkat antarabangsa menerusi usaha memperkukuh rangkaian kerjasama kebahasaan dan kesusasteraan serantau, antaranya menerusi Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA); dan Majlis Bahasa Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia. Kerjasama serantau ini tidak lain tidak adalah untuk mengembangkan bahasa Melayu/Indonesia menjadi bahasa peradaban tinggi; bahasa ilmu; bahasa sains; bahasa teknologi moden; dan bahasa ekonomi.
Ditinjau dari perspektif sejarah dan perundangan, umum mengetahui bahawa DBP ialah satu-satunya institusi kerajaan di negara ini yang berwibawa dan berkuasa dalam pembentukan dan pembakuan ejaan, bahkan sudah termaktub dalam Akta DBP, menerusi objektif keempat DBP, iaitu untuk membakukan ejaan dan sebutan, serta membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.
Hal ini dikatakan demikian kerana DBP berteruasan melipatgandakan usaha bagi memastikan rakyat serta pihak berkuasa tempatan di seluruh negara tidak meminggirkan penggunaan bahasa kebangsaan.
DBP juga sejak sekian lama telah mengadakan ribuan kegiatan berbentuk ceramah, kursus dan bengkel bahasa di seluruh negara yang meliputi pelbagai sektor, khususnya jabatan kerajaan yang bertujuan untuk mengembangkan dan membudayakan penggunaan bahasa yang baik dan betul, terutamanya dalam urusan rasmi kerajaan.
Program Ziarah Bahasa Sektor Awam; Ziarah Bahasa Sektor Swasta; Ziarah Bahasa Pertubuhan Bukan Kerajaan; Audit Bahasa Melayu; Pemantauan Bahasa Melayu di Sektor Awam; Pemantauan Penggunaan Bahasa Melayu di Tempat Awam; dan pemantauan penggunaan bahasa Melayu dengan kerjasama pengguna melalui aduan pengguna, juga sudah menjadi denyut dan nadi yang menghidupkan fungsi dan kewujudan DBP menerusi Bahagian Penguatkuasaan.
Hal itu belum lagi mengambil kira berbagai-bagai bentuk perkhidmatan yang disediakan oleh DBP untuk membantu masyarakat menggunakan bahasa Melayu dengan baik. Tanpa meminggirkan teknologi, DBP berusaha meletakkan fungsinya seiring dengan teknologi.
Buktinya, DBP menyediakan pelbagai perkhidmatan dan wahana secara dalam talian, antaranya termasuklah Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang diakses oleh puluhan juta pelayar bagi merujuk penggunaan bahasa dan istilah yang betul; dan JendelaDBP, iaitu gerbang berita dan artikel yang sohor kini serta menghimpunkan penerbitan digital DBP (majalah, buku dan kamus) yang telah dicapai oleh pelayar daripada lebih 100 buah negara di dunia.
Meskipun tidak segala-galanya telah dilakukan dan disediakan oleh DBP, tetapi menjangkau usia tujuh dekad ini, badan perancang, pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu yang keramat ini sesungguhnya telah berjaya meletakkan kedudukan bahasa Melayu pada tempatnya dan paling penting sebagai bahasa moden yang tetap dihormati dan setanding dengan bahasa utama lain di dunia, khususnya sebagai bahasa penghantar pendidikan dan bahasa tadbir urus negara.
Dalam tempoh ke hadapan, pastinya DBP akan berhadapan dengan lebih banyak cabaran. Namun begitu, warga DBP yang menghuni menara gah 30 tingkat di Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur; Pejabat DBP Cawangan Sabah, Pejabat DBP Cawangan Sarawak, Pejabat DBP Wilayah Utara, Pejabat DBP Wilayah Selatan, dan Pejabat DBP Wilayah Timur akan terus memikul amanah yang besar ini bagi menjaga maruah bahasa dan bangsa kerana setiap jiwa yang lahir dari institusi keramat ini memiliki semangat juang daripada “Restu Jiwa Pahlawan” yang akan terus menggalas tugas yang diamanahkan demi menjamin DBP kekal lestari dan relevan pada masa akan datang.
Dirgahayu DBP!
_________________________
Abang Haliman Hj. Abang Julai merupakan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka.