Oleh Jack Malik
Diterbitkan pada 23 Disember 2025, 14:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

i.
sebelum kucup kapak membelah,
sebelum pandang pahat mengukir—
sebongkah kayu tanpa fikir
wujud begitu mudah.

sebelum tukang dan pendeta bermadah
tentang gergaji, tentang pisau, tentang
tinta, lembaran dan berus—sebongkah
kayu tanpa sebarang parut
wujud. begitu mudah.

ii.
entah kalau kita mendengar bisik besi,
barangkali kaum kerabatnya berkata:

makna dan matlamat ciptaan datang
daripada mereka yang mengguna kami.

maka, mengapa kita
sibuk merumitkan erti?

iii.
pada sebongkah kayu
belum disentuh—tersoroklah
seribu kemungkinan kecil-besar.

iv.
sebelum tangan mengenal luka—
ada kecantikan hadir tanpa
perlunya sebarang pengorbanan.

Kredit Foto: Gwenn Klabbers/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi