Diterbitkan pada 18 Disember 2025, 14:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malam Renjana Maskah 2025 anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah berlangsung sebagai sebuah acara sastera yang bermakna apabila puisi diangkat sebagai medium untuk merakam kehidupan, emosi dan kemanusiaan masyarakat desa terutamanya pekebun kecil getah di Malaysia.

Majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi RISDA, YB Tuan Haji Manndzri Haji Nasib di Restoran Saloma, Kuala Lumpur semalam menampilkan sastera sebagai wahana refleksi sosial yang merentasi angka dan statistik, sekali gus memperlihatkan sisi insani di sebalik industri komoditi negara.

Dalam petikan ucapannya, beliau menyifatkan Malam Renjana Maskah 2025 sebagai ruang renungan dan penyelaman makna kehidupan, khususnya dalam memahami kisah-kisah yang tersembunyi dalam buku Di Sebalik Pohon Getah yang menjadi simbol ketahanan, kesabaran dan maruah masyarakat desa.

Naratif Di Sebalik Pohon Getah dizahirkan melalui penganjuran Pertandingan Menulis Puisi RISDA 2025, yang menerima sebanyak 239 penyertaan dari seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 23 karya terbaik telah dipilih untuk dimuatkan dalam buku tersebut oleh barisan juri profesional daripada Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Puisi-puisi terpilih menzahirkan kejujuran rasa serta kekuatan mesej kemanusiaan dengan merakam realiti kehidupan sebenar pekebun kecil, termasuk usaha membesarkan keluarga, menyambung kelangsungan hidup serta ketabahan insan desa yang setia bergantung pada sektor getah.

“Puisi-puisi ini bukan sekadar indah bahasanya, tetapi memperlihat kejujuran akan rasanya, terserlah jelas maksudnya dan begitu kuat mesej kemanusiaannya,” jelas beliau.

Sebagai penghargaan terhadap karya-karya berkenaan, RISDA turut melancarkan sebuah naskhah puisi berjudul Emas Putih Negara yang menghimpunkan karya terpilih daripada pertandingan tersebut. Naskhah ini bukan sekadar sebuah buku puisi, malah berperanan sebagai dokumen budaya yang merakamkan sejarah, emosi dan nilai masyarakat desa dalam sektor getah untuk tatapan generasi akan datang.

Nama “Renjana Maskah” dipilih berlandaskan makna yang mendalam, dengan renjana membawa maksud getaran emosi dan kebangkitan jiwa, manakala maskah merujuk pemikiran jernih dan kebijaksanaan. Pemilihan nama ini mencerminkan keberanian RISDA sebagai agensi pembangunan desa yang menerajui lebih daripada 508,000 orang pekebun kecil di seluruh negara untuk mengangkat sastera sebagai wahana penyampaian naratif industri getah.

“Jika puisi mampu membuat kita berhenti sejenak untuk memahami kehidupan yang lain, jika kata mampu melembutkan hati dan membuka fikiran, maka sastera telah menjalankan peranannya,” katanya lagi.

Pada malam yang sama, satu lagi detik bermakna turut berlangsung apabila manuskrip puisi berjudul Dendam Budak, yang menghimpunkan 155 buah puisi hasil karya peribadi penulis, diserahkan secara rasmi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk tujuan penerbitan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Sasterawan Negara ke-15, YBhg. Datuk Rahman Shaari; Ketua Pengarah RISDA, YBrs. Encik Zainal Azni Zulkifli; Pengerusi RISDA Bina Sdn. Bhd., YBhg. Datuk Mua’amar Ghadafi Jamal; Pengerusi RISDA Ventures Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Shaharuddin Muhammad Sidek; Pengerusi Permodalan RISDA Berhad (PRB), YBhg. Dato’ Lokman Noor bin Adam; dan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar yang mewakili Ketua Pengarah DBP, dan Ketua Editor Buku Sastera DBP, YBrs. Encik Jaafar Hamdan.

Kredit Foto: Bahagian Komunikasi Korporat RISDA
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi