Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetia Alam — Ilustrator dan penulis buku kanak-kanak prolifik, Emila Yusof, semalam melancarkan tujuh judul baharu di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), YBhg. Datin Paduka Mastura Hj. Muhammad.
Dalam ucapannya, Mastura menegaskan usaha PPAS untuk memperkukuh ekosistem kandungan kanak-kanak melalui inisiatif menggalakkan penerbitan buku, program buku ke skrin serta perancangan penubuhan Muzium Buku Kanak-kanak dan Pusat Kreatif sebagai sebahagian daripada inisiatif PPAS. Beliau menyatakan bahawa usaha sebegini penting untuk membantu kanak-kanak “melihat dunia dengan mata hati”.
Tujuh judul yang dilancarkan terdiri daripada empat buku dalam Siri Dina, iaitu Dapur Emak, Taman Bunga, Ladang Ayah, dan Kelas serta tiga karya lain, iaitu Sebotol, Teh Mekar dan Kembara, kesemuanya diterbitkan oleh Smart Forum Resources. Setiap buku mempunyai 32 muka surat dan sesuai untuk kanak-kanak berumur lima hingga tujuh tahun.
Emila, yang telah menghasilkan lebih 60 judul, berkata karya terbaharunya menampilkan pelbagai teknik ilustrasi termasuk catan air, akrilik dan kolaj bagi merangsang kreativiti pembaca cilik. Beliau turut memperkenalkan unsur budaya tempatan, flora dan fauna Malaysia, bahan masakan serta suasana kehidupan harian untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang dekat dengan dunia kanak-kanak.
Beliau turut menyuarakan harapan agar diwujudkan pusat pengumpulan ilustrasi buku kanak-kanak sebagai arkib penting untuk industri kreatif tempatan. Pelancaran tersebut menarik perhatian pengunjung dan memperkukuh kedudukan Emila sebagai antara tokoh utama sastera kanak-kanak negara.