Oleh Marsli N.O
Diterbitkan pada 6 November 2025, 21:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Marsli N.O hanya memilih untuk menulis dan menyendiri.

Oleh sebab saya hanya mahu memberikan karya dan bukan menampilkan diri, maka saya memilih untuk tidak terlalu terbuka ..

Sebagai seorang yang menulis, meski tidak setiap waktu, saya perlukan sedikit ruang untuk menyendiri. Oleh sebab itu, jika terlalu berasa terganggu oleh keriuhan dan kehadiran terlalu ramai manusia, saya akan segera memilih menjauh dan menyendiri.

Ketika menjauh dan menyendiri begitulah saya tumpukan perhatian untuk membaca, merenung, berfikir, dan menulis.

Namun saya sedar dan tahu. Hidup ini ada timbal dan balik. Saya sangat faham dan mengerti hal itu.

Contohnya, apabila saya jauhkan diri daripada seseorang, dia juga akan jauhkan diri daripada saya. Apabila saya tidak mahu melihat dia, dia juga tidak akan melihat saya.

Akan tetapi, oleh sebab saya hanya mahu memberikan karya dan bukan menampilkan diri, maka saya memilih untuk tidak terlalu terbuka, memberi dan menerima “diri-diri lain”, khususnya yang bersifat toksik dan memang tidak terlalu perlu.

Saya menetapkan batasan serta had yang sedemikian rupa bukan kerana ingin memutuskan persahabatan atau didorong oleh rasa sombong dan benci kepada sesiapa.

Sebaliknya, saya memilih dan menetapkan sedemikian kerana merasakan memadailah saya cuma menggauli buku-buku dan mengelak terlalu memberikan ruang yang kurang perlu kepada orang lain dan persekitaran yang bersifat toksik.

Tentu sahaja kerana faham dan mengerti hukum timbal balik itu, maka saya tidak berasa sedih atau kecewa dan tega meneruskan hidup dan berjalan sendirian.

Peringkat awal memasuki dunia tulis-menulis dan sastera ini dahulu, 15 atau 20 tahun dulu atau tepatnya sekitar tahun 80-an dan 90-an memanglah saya berasa gusar bila “diugut gertak” akan disisih dan dipinggirkan, semata-mata kerana sikap saya yang berterus-terang berkata sesuatu yang tidak saya persetujui mengenai sastera dan hal-hal yang berkaitan dengannya.

Begitulah dahulu. Ketika jauh dalam hati, saya belum ada kesedaran dan kepercayaan yang kental terhadap segala sesuatu yang berhubung dengan urusan sesama manusia dan ketentuan betapa di atas muka bumi ini sebenarnya, segala ketentuan hidup manusia dan rezekinya, telah pun ditetapkan oleh Allah SWT.

Kita sebagai manusia yang diberikan Allah SWT segala sifat sempurna jasmani, akal dan fikiran tinggal berusaha dan terus berusaha dengan sepenuh yakin serta percaya kepada segala ketentuan-Nya.

Ketika itu, sekitar 15 atau 20 tahun dahulu, saya seperti juga para “penyembah” yang lain. Sangat berhati-hati dalam berkata-kata dan bersikap demi menjaga perasaan orang lain atau pihak tertentu, terutamanya mereka yang berpangkat dan berstatus lebih tinggi, supaya selalu dilihat baik dan bersopan santun, walau pada hakikat sebenarnya tidaklah sedemikian.

Sedangkan, sastera dan kehidupan ini bukan hanya sopan santun, ampu-mengampu dan sembah-menyembah.

Alangkah baghalnya orang yang masih berharap agar dirinya terus disembah-sembah bagaikan berhala dan menakut-nakutkan orang lain dengan pelbagai helah licik agar terus “menyembah” dirinya, semata-mata kerana dia kebetulan diberikan Tuhan sedikit kuasa dan pangkat kedudukan di sesuatu agensi atau institusi yang berkaitan dengan sastera, seni dan budaya.

Contohnya terlalu banyak kalau mahu dikisahkan. Namun kerana tujuan saya menulis ini sekadar untuk memperingatkan diri sendiri agar tidak mengulangi dan berbuat kebejatan yang serupa terhadap diri dan pihak lain, saya tidak berminat untuk “membuka keaiban” sesiapa.

Apa-apa yang tidak saya suka dan tega diperlakukan oleh orang terhadap diri saya, juga tidak akan saya ulangi terhadap orang lain …

Memenuhi tuntutan hidup sebagai penulis, tidak memadai dengan hanya berlagak seumpama orang mulia dan suci jika segala itu sekadar suatu sandiwara semata-mata.

Atau pada setiap waktu dan ketika, memetik dan menjadikan kata-kata hikmat tokoh penulis hebat dan terkenal tertentu dalam setiap tulisan sendiri, lalu menjadikannya sebagai sokongan hujah ketika secara licik dengan maksud untuk menyindir pendapat yang diutarakan oleh penulis lain.

Oleh sebab itu, tanpa rasa takut, saya tidak mampu memenuhi dan menyamai kandungan kata-kata hikmat sesiapa pun yang terkenal dan tersohor itu. Saya tetap terus menulis dan menulis.

Tentu sahaja kerana saya tiada sebarang niat dan cita-cita hendak menyaingi sesiapa atau apatah lagi untuk membuktikan sesuatu kepada seseorang yang saya kagumi kerana kehebatan dan sohor dirinya.

Seburuk apa-apa pun pada pandangan dan nilaian orang terhadap karya saya itu, yang penting saya akan tetap menulis dan terus menulis.

Sebagai timbal balik, apa-apa yang tidak saya suka dan tega diperlakukan oleh orang terhadap diri saya, juga tidak akan saya ulangi terhadap orang lain.

Misalnya, ketika membaca dan berhadapan dengan karya milik orang lain, jauh di sudut hati, saya akan sentiasa ingatkan diri sendiri, apabila setiap kali menemui cacat atau cela di dalamnya, atau terasa tidak sesuai dengan kehendak serta selera saya, saya juga tidak akan mengecam serta mencercanya secara terbuka.

Sebaliknya, segala cacat atau cela dalam sesebuah karya yang saya baca dan temui, tanpa mengira siapa penulis dan usianya, akan saya jadikan cermin untuk saya kembali melihat kecacatan serta kekurangan yang ada dalam karya saya sendiri.

Dengan demikian, saya setidak-tidaknya mampu membuang rasa sombong dalam diri, sentiasa waspada dan tetap terus belajar memperbaiki kecacatan karya sendiri. Sentiasa membaiki kecacatan karya sendiri ialah suatu usaha membaiki diri sendiri juga.

Setidaknya, saya tidak mensia-siakan ruang penyendirian yang dengan sengaja saya pilih ini.

_________________________

Marsli N.O dilahirkan di Kerteh, Terengganu. Kini, beliau menulis sepenuh masa dan hanya ingin menulis.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi