Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 18 Oktober 2025, 12:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kajang – Selain memiliki kehalusan cita rasa dalam dunia seni lukis, Sasterawan Negara ke-14, YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail turut mempunyai minat mendalam terhadap penulisan kreatif dan kesusasteraan dengan perjalanan yang cukup unik dan menginspirasikan.

Dalam program Sepagi Bersama Sasterawan Negara bagi siri keempat di Kebun Puisi Bangi pada Sabtu, beliau berkongsi proses pembentukan jati dirinya sebagai seorang sasterawan, yang bermula sejak usia muda melalui pengaruh persekitaran dan dorongan keluarga.

“Saya hidup dalam dunia sastera melalui Utusan Zaman. Setiap minggu, akhbar itu mempunyai ruangan sastera dan saya mula mengenali sasterawan dari situ.

“Semasa berada di Tingkatan Tiga, saya amat terpesona dengan sajak Usman Awang sehingga mendorong saya berusaha beberapa kali untuk bertemu dengannya,” ujar beliau mengimbas kenangan zaman remajanya.

Menurut beliau, semangat untuk menjadi penyair dan penuntut ilmu tidak pernah luntur meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam perjalanan akademiknya.

Malah, beliau berkata dorongan untuk memperkukuh ilmu membawanya ke negara seberang untuk berjumpa dengan penyair Indonesia, W.S. Rendra serta mendalami bidang seni.

Jelas Siti Zainon, semasa tiba di Yogyakarta, beliau turut bertemu dengan Affandi Koesoema yang dikenalinya sejak tahun 1955 ketika pelukis itu singgah di Kuala Lumpur sebelum berangkat ke India.

Beliau mengakui bahawa cara pelukis tersohor itu berkarya telah menarik minat beliau untuk mempelajarinya bagi menghasilkan karya yang penuh ekspresi.

Menurut beliau, persahabatan juga menjadi wadah penting dalam proses perkembangan diri sebagai seorang seniman yang bukan sekadar memiliki bakat, tetapi juga menuntut keberanian, kreativiti dan daya fikir mendalam.

“Untuk menjadi seniman, seseorang itu mesti mempunyai dasar kreativiti serta keberanian untuk bersuara,” tegasnya.

Beliau menyarankan generasi muda agar tidak menunggu arahan untuk berkarya, sebaliknya mengasah bakat dengan kesungguhan dan kesediaan untuk terus belajar.

Kata beliau, minat membaca perlu dipupuk kerana pembacaan melahirkan detik rasa dan gelora jiwa yang menjadi sumber kepuasan dalam berkarya.

“Sebagai orang muda, anda berhak menyampaikan perasaan dan kematangan akan datang seiring dengan waktu.

“Selain mendidik, aktiviti berekreasi juga menjadi boleh memuaskan perasaan,” tambahnya lagi.

Beliau mengingatkan bahawa kritikan merupakan sebahagian daripada proses kematangan dalam dunia penulisan.

Penulis harus berpegang pada kejujuran diri dan tidak mudah terpengaruh dengan pandangan negatif.

“Kita ada mata dan telinga untuk menilai, di samping mengambil perkara yang baik untuk dijadikan teladan,” katanya.

Mengulas lanjut tentang langkah awal untuk melatih diri sebagai penulis, beliau menyatakan bahawa generasi muda boleh menjadikan diari sebagai wadah permulaan latihan penulisan, lantaran catatan kecil tersebut dapat melahirkan karya besar yang bernilai.

“Catatlah apa-apa sahaja di dalam diari kerana apabila anda membacanya semula pada suatu hari nanti, akan terlahirlah puisi dan karya yang indah.

“Sebagai penulis, jangan biarkan semangat menulis itu terhenti. Teruskan menulis catatan kecil kerana di situ terletaknya kelebihan kita yang bermodalkan ilham sedia ada untuk diolah dengan cara sendiri,” katanya.

Sementara itu, program Sepagi Bersama Sasterawan Negara pada kali ini disertai oleh mahasiswa dari Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaya yang meminati bidang kesusasteraan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi