Diterbitkan pada 13 Oktober 2025, 08:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ridzuan Kamis memberikan respons terhadap “wasiat” Rosli K. Matari kepada penulis muda.

Kenyataan yang menyarankan agar penyair merenung ‘sebab apa’ sebelum menulis sajak sebenarnya berpotensi membawa makna yang positif sekiranya difahami dengan tepat.

Puisi bukan bahasa Melayu. Puisi ialah kraf.
Kraf yang bagus ialah Bagaimana, bukan Apa.”
~ Rosli K. Matari

Kenyataan tersebut ialah “wasiat” daripada penerima SEA Write Award (Malaysia) 2021 dan Sasterawan Negeri Kelantan, penyair Rosli K. Matari kepada penyair muda yang terkandung dalam artikel “Menemui Titik Henti dan Sebab dalam Puisi”. Sekilas pandang, kenyataan ini kelihatan seperti satu renungan yang mendalam terhadap seni penghasilan puisi. Namun begitu, apabila diteliti secara lebih kritis dan ilmiah, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi dan diperbetulkan agar tidak menimbulkan kekeliruan terhadap pemahaman sebenar tentang puisi, bahasa dan fungsi karya sastera dalam konteks budaya dan wangsa.

Pertama, kenyataan bahawa “puisi bukan bahasa Melayu” boleh disangkal dengan justifikasi bahawa puisi itu sendiri ialah hasil seni yang berakar daripada bahasa. Dalam konteks kearifan tempatan, puisi Melayu tetaplah puisi bahasa Melayu kerana bahasa merupakan medium utama penyampaian makna, emosi dan keestetikaan. Bahasa Melayu menjadi wadah, roh dan identiti pada puisi Melayu. Tanpa bahasa, tidak akan ada bentuk ekspresi yang boleh digelar puisi moden, yakni sajak. Maka, mengatakan puisi bukan bahasa Melayu seolah-olah menafikan unsur jati diri dan roh bangsa dalam puisi itu sendiri.

Kedua, memang benar bahawa puisi ialah kraf, yakni hasil seni yang memerlukan kemahiran, kreativiti dan kehalusan teknik pilihan. Namun begitu, puisi bukan sekadar kraf yang dinilai dari aspek “Bagaimana” ia dicipta. Puisi secara terang-terangannya perlu mempunyai “Apa”, iaitu isi, mesej, nilai, dan pemikiran yang terkandung di dalamnya. Lebih penting lagi, hal ini perlu menjawab persoalan “Untuk Siapa” puisi itu ditulis. Persoalan ini amat penting kerana puisi bukan hanya sekadar luahan peribadi atau bentuk hiburan diri penulis. Penghasilannya berfungsi mendidik, membina kesedaran dan membentuk jiwa masyarakat dalam bentuk kreatif akliah dan ilmiah. Oleh itu, dalam menilai sesebuah puisi, ketiga-tiga aspek “apa”, “bagaimana” dan “untuk siapa” harus diambil kira sebagai satu koheren, yakni kesatuan yang utuh.

Menulis puisi yang baik bukanlah sekadar “syok sendiri” atau eksperimentasi linguistik yang sukar difahami. Sebaliknya, menulis puisi merupakan amanah bahasa dan tanggungjawab budaya. Puisi menjadi jambatan antara penyair dengan masyarakat. Oleh itu, selain memperhalus bentuk dan teknik penulisan (yakni kraf), penyair juga perlu memahami tanggungjawab sosial dan intelektualitinya terhadap khalayak. Dalam hal ini, “untuk siapa” harus diletakkan seiring dengan “apa” dan “bagaimana”.

Kenyataan yang menyarankan agar penyair merenung “sebab apa” sebelum menulis sajak sebenarnya berpotensi membawa makna yang positif sekiranya difahami dengan tepat. Situasi ini boleh difahami sebagai dorongan untuk menulis dengan kesedaran, dengan tujuan, dan dengan tanggungjawab. Namun begitu, jika dikaitkan dengan pernyataan sebelumnya bahawa puisi bukan bahasa Melayu, maka hal ini menjadi tidak konsisten dengan hakikat puisi sebagai produk bahasa dan budaya suatu bangsa madani.

Seterusnya, apabila kita menilai aspek “kraf” dalam penulisan puisi, kita harus memahami bahawa kraf hanyalah bentuk penghasilan yang merupakan suatu teknik atau seni kreatif yang digunakan untuk menzahirkan buah fikiran dan emosi. Dalam konteks penulisan sajak bahasa Melayu, kraf ialah buah tangan kreatif yang menggunakan medium bahasa Melayu. Oleh itu, penggunaan bahasa yang betul dan mengikut ejaan standard Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) amatlah penting agar keindahan bahasa tidak dikorbankan atas nama lesen puitika semata-mata.

Sebagai contoh, walaupun ada penyair yang menggunakan ejaan seperti ‘seksofon’ dalam bentuk asalnya ‘saxophone’, hal ini sebenarnya tidak menggambarkan keaslian bahasa Melayu. Walaupun lesen puitika memberi kebebasan kepada penyair untuk bereksperimen, hal ini tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengabaikan kaedah ejaan dan tatabahasa yang betul. Jika hal ini diterima bulat-bulat, maka kita juga boleh menulis ‘Ramadhan’ untuk ‘Ramadan’, ‘guitar’ untuk ‘gitar’, atau ‘lorry’ untuk ‘lori’ (sekadar contoh). Akhirnya, hal ini akan merosakkan sistem bahasa yang mempunyai disiplin dan piawaian tertentu.

Kebebasan berkarya tidak bermaksud kebebasan untuk merosakkan akar bahasa, tetapi menuntut penyair agar lebih bertanggungjawab terhadap pemeliharaan bahasa dan warisan wangsa. Kraf yang baik bukan sahaja bergantung pada bentuk dan gaya, tetapi juga pada kesetiaan terhadap jiwa bahasa itu sendiri. Bahasa Melayu dalam puisi bukan sekadar alat, tetapi roh yang menghidupkan makna dan keindahan karya secara total. Meski siapa pun penulisnya, karya genre puisi berbahasa Melayu mestilah berstatus “Melayu”, walaupun identiti penulisnya adalah bukan berbangsa Melayu.

Dalam aspek titik henti dalam puisi pula sebenarnya bermaksud yang penyair berhenti sejenak daripada aliran atau idea untuk menilai semula arah penzahiran makna dan sebab-musabab penulisan. Titik henti ini ialah ruang refleksi, yakni bagaimana menulis puisi ini dan ke mana puisi ini dituju dan menuju? Sementara itu, memasukkan elemen bahasa Inggeris sebagai keaslian atau dengan alasan titik henti, saya berfikir hal ini lebih pada eksperimen gaya atau kraf sahaja. Namun begitu, penggunaannya tidak salah selain berfungsi sebagai titik henti semantik, iaitu gangguan makna atau kejedaan makna dalam sesebuah kesinambungan puisi.

Konklusinya, dapatlah ditegaskan bahawa puisi ialah bahasa, dan bahasa itulah kraf. Puisi bahasa Melayu ialah cerminan pada jiwa bangsa Melayu: lembut, berlapik, berseni, dan penuh falsafah. Maka, puisi yang baik ialah puisi yang menyatukan antara isi, bentuk dengan khalayak. Sesungguhnya, puisi bukan sekadar tentang “apa”, tetapi juga “bagaimana” dan “untuk siapa”. Hanya dengan kesinambungan dan keseimbangan ini, puisi akan terus hidup, berjiwa, dan berfungsi sebagai wahana pemikiran dan peradaban bangsa. Insya-Allah.

______________________________

Ridzuan Kamis dari Kangar, Perlis dan pernah menghasilkan kumpulan puisi Mendambakan Damai (ITBM, 2014), Apologia (ITBM, 2016), serta kumpulan puisi kanak-kanak Kerdipan Kejora (ITBM, 2015) dan Pelangi (DBP, 2008). Beliau turut menulis gurindam, pantun, syair, dan haiku.

Kredit Foto: Yatt Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi