Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMarsli N.O menyampaikan beberapa pandangan dan nasihat kepada penulis pemula yang mula menulis sajak.
Adakah seorang pengarang harus tunduk pada arus perdana demi penerimaan, atau berani memilih jalan sendiri meski berisiko terpinggir? Jawapan ini terletak pada kesedaran diri pengarang tentang tujuan sebenar dia berkarya.
Perbincangan tentang karya kreatif, sama ada moden atau tradisi, tidak dapat dipisahkan daripada soal mutu dan nilai estetikanya.
Karya sastera seperti cerpen, sajak, pantun, gurindam, syair, dan seloka, walaupun berbeza bentuk dan latar zamannya, tetap mempunyai syarat dan ketetapan tersendiri yang menjadikan sesuatu tulisan itu benar-benar layak digelar sebagai sebuah karya yang baik dan bermutu.
Menurut Rene Wellek dan Austin Warren dalam Theory of Literature (1949), karya sastera bukan sekadar “ekspresi perasaan”, tetapi suatu bentuk komunikasi artistik yang tunduk pada konvensi tertentu. Hal ini menunjukkan bahawa meskipun sastera sering dianggap bebas, kebebasan itu tetap berbingkai pada disiplin dan kriteria mutu.
Puisi moden atau sajak boleh dijadikan contoh kecil dalam memahami persoalan mutu. Antara ciri utama yang sering dijadikan tolok ukur ialah sifat ambiguiti, yakni keupayaan melahirkan makna ganda dan membuka ruang tafsiran. T.S. Eliot sendiri menekankan bahawa puisi yang baik ialah puisi yang mampu menimbulkan “objective correlative”—suatu objek atau situasi yang membangkitkan perasaan secara tidak langsung.
Di Malaysia, Sasterawan Negara (SN) Muhammad Haji Salleh pernah menegaskan bahawa puisi moden perlu menggabungkan unsur pengalaman, imaginasi dan bahasa yang dipadatkan untuk melahirkan kesan yang mendalam. Justeru, pemilihan kata menjadi aspek teras. Kata bukan sahaja sebagai alat komunikasi, tetapi wadah estetik yang menyampaikan makna, falsafah dan renungan.
Dalam bukunya, Penglibatan dalam Puisi (1978:18), SN Shahnon Ahmad pula menegaskan betapa sebuah sajak “bukan sekadar memerdukan telinga atau melunakkan mata. Sajak adalah sebuah hasil seni yang kompleks.”
Seorang penyair yang baik pula, bagi Shahnon, ialah seorang yang “cuba sedaya upaya memberikan kehidupan kepada pilihan kata-katanya” (1978: 19).
Untuk memudahkan perbincangan, karya-karya sajak sering dikategorikan, misalnya sajak polos, prismatik, kabur atau mbeling. Sajak polos, walaupun mudah difahami, sering dikritik kerana tiada kedalaman makna. Sebaliknya, sajak prismatik, kabur dan mbeling lebih menekankan eksperimentasi bahasa dan idea. Dari sini, jelas bahawa mutu karya tidak hanya terletak pada bentuk, tetapi juga pada kekuatan isi yang mampu meninggalkan kesan berlapis.
Walau bagaimanapun, tidak semua karya tertakluk pada tolok ukur arus perdana. Sejak era avant-garde di Barat, malah dalam perkembangan sastera mbeling di Indonesia pada era 1970-an dan sajak kabur di Malaysia sekitar era 1950-an hingga awal 1960-an, terdapat kelompok penulis yang sengaja menongkah arus. Mereka menolak konvensi, mencuba bentuk baharu, dan menekankan keperibadian pengarang sebagai tanda jati diri.
Pilihan ini lazimnya membawa risiko—ditolak oleh khalayak, dipandang remeh oleh pengkritik konservatif, atau tidak mencapai populariti. Namun begitu, inilah nilai penting dalam sejarah kesusasteraan: karya yang berani menongkah arus dan sering kali membuka jalan baharu bagi perkembangan estetik.
Dalam konteks ini, persoalan besar timbul: adakah seorang pengarang harus tunduk pada arus perdana demi penerimaan, atau berani memilih jalan sendiri meski berisiko terpinggir? Jawapan ini terletak pada kesedaran diri pengarang tentang tujuan sebenar dia berkarya.
Bagi para pemula yang baru dan ingin berjinak dengan penulisan, hal-hal ini wajar dijadikan renungan. Tidak perlu terburu-buru menghasilkan karya yang ingin segera dipuji. Sastera ialah proses, bukan produk sekali jadi. Penulis pemula harus berani menulis, sanggup menerima kritikan, dan sabar dalam perjalanan mengasah bakat.
Para pemula disaran bermula dengan menulis tentang pengalaman yang dekat di hati—keluarga, sekolah, alam sekitar—sebelum melangkah ke wilayah pemikiran yang lebih abstrak. Para pemula perlu sentiasa melatih diri untuk memilih kata dengan cermat, kerana seperti yang ditegaskan oleh SN Usman Awang, “puisi itu senjata bangsa”, dan setiap perkataan membawa makna yang besar.
Lebih penting, didiklah diri menjadi penulis yang jujur. Kejujuran dalam penulisan akan menyalurkan keikhlasan, dan keikhlasan itulah yang lebih mudah menyentuh hati pembaca berbanding karya yang hanya indah pada gaya.
Kerana akhirnya, mutu sesebuah karya bukan sahaja terletak pada jumlah pujian atau populariti yang diraih, tetapi juga sejauh mana karya itu memberi makna, renungan dan kesedaran kepada pembaca. Seperti yang sering diperkatakan, karya besar tidak semestinya lahir daripada kata-kata besar, tetapi daripada keberanian pengarang menulis dengan hatinya yang tulus.
Maka, pilihan sentiasa terbuka: menjadi penulis arus perdana atau menongkah arus dengan identiti sendiri. Kedua-duanya sah, asalkan berlandaskan kejujuran berkarya.
Tepuk dada, tanya selera. Pilihan di tangan kita sendiri.
_________________________
Marsli N.O kini penulis sepenuh masa yang memilih berjalan sendirian dan hanya menjadi dirinya sendiri.