Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Ensiklopedia bukan sekadar buku tebal berjilid-jilid, tetapi pintu gerbang yang menghimpunkan pelbagai bidang ilmu untuk dirujuk generasi kini dan akan datang.”
Demikian tegas Profesor Kehormat Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Universiti Malaysia Sabah, Profesor Dr. Low Kok On dalam sesi wacana Suara dari Anjung bertemakan “Tinta Sastera Menelusuri Ensiklopedia” yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pagi tadi.
Program ini dianjurkan oleh Bahagian Ensiklopedia DBP dan menghimpunkan sarjana pelbagai bidang untuk membincangkan kepentingan serta cabaran dalam penghasilan ensiklopedia sastera.
Para panelis sepakat bahawa ensiklopedia mempunyai fungsi yang berbeza daripada buku biasa. Jika buku sering ditulis oleh seorang atau segelintir penulis dengan skop yang lebih khusus, ensiklopedia pula bersifat menyeluruh, melibatkan ramai penyumbang, serta terikat dengan batasan halaman yang memerlukan kebijaksanaan memilih dan merumuskan fakta.
“Kadang-kadang, penulis terasa maklumat yang dimasukkan tidak mencukupi kerana keterbatasan ruang, sedangkan bahan yang dikumpulkan begitu luas,” ujar Low.
Low turut menyentuh tentang keperluan mendokumentasikan tradisi lisan pelbagai etnik di Malaysia, seperti rinait dalam kalangan Kadazandusun.
“Sastera lisan ini kaya tetapi semakin kurang dikaji. Jika tidak segera dirakam dan diabadikan, satu hari nanti, bentuk sastera itu tidak lagi yang boleh didengari,” ujarnya.
Pensyarah kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin pula menekankan bahawa penulisan ensiklopedia memerlukan kesabaran tinggi kerana proses penerbitannya mengambil masa yang panjang.
“Ensiklopedia berperanan sebagai landasan awal rujukan, terutama kepada pelajar. Fakta perlu dipermudahkan tetapi tidak boleh mengabaikan ketepatan.
“Ensiklopedia juga menyebarluaskan ilmu secara ringkas tetapi menyeluruh,” jelas beliau.
Pakar bidang kesusasteraan Tamil moden, Dr. Krishanan Maniam, menyoroti sumbangan masyarakat India terhadap persuratan tempatan sejak abad ke-11, termasuk karya Jawi Peranakan dan penulisan cerpen berbahasa Tamil. Beliau turut menekankan pentingnya melihat sastera dalam konteks sastera Malaysia yang merangkumi pelbagai etnik dan budaya.
“Sastera boleh menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat majmuk dari latar belakang yang berbeza. Melalui penulisan, kita memahami kehidupan kaum lain dan membina empati bersama,” ujar beliau.
Krishanan turut menyingkap peranan penulis berketurunan India dalam persuratan Melayu seperti Joseph Selvam yang aktif menulis karya berbahasa Melayu ketika majalah Balai Muhibbah yang diselenggarakan oleh Lembaga Perpaduan Negara, Jabatan Perdana Menteri masih hidup menjadi bahan bacaan masyarakat.
“Namun begitu, kesinambungan penulisan itu agak terbatas sehingga hanya selepas wujudnya Minggu Penulis Remaja (MPR) dan Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum (BKPK), sastera etnik kembali subur,” tambah beliau.
Dalam konteks ini, jelas beliau, kumpulan Kavyan menghimpunkan penulis berketurunan India yang menulis dalam bahasa Melayu memainkan peranan penting untuk menghidupkan semula tradisi persuratan silang budaya.
Antara penulis yang menyerlah, menurut Krishanan, termasuk Saroja Theavy Balakrishnan, Uthaya Sankar SB, M. Mahendran, Raja Rajeswari Seetha Raman, Retna Devi Balan, dan S. G. Prabhawathy.
Ketiga-tiga panelis bersepakat bahawa pengenalan karya sastera dalam sistem pendidikan sangat penting kerana pendidikan sastera di sekolah menjadi pintu masuk generasi muda mengenali khazanah sastera Melayu dan Malaysia.
“Mengenali penulis-penulis melalui karya-karyanya adalah penting untuk membentuk jati diri bangsa,” jelas Low.
Sementara itu, Kamariah turut berpesan agar anak muda lebih kritis dalam memilih bacaan. “Jangan hanya tersihir dengan karya popular. Pilihlah bahan yang bermutu, kerana sastera membentuk ketamadunan bangsa.”
Sesi wacana yang dipengerusikan oleh perancang bahasa Bahagian Penyelidikan Sastera DBP, Sdr. Nor Muhamad Mat Zain ini menegaskan bahawa selain menjadi bahan rujukan, ensiklopedia juga wadah penting untuk mendokumentasikan warisan, memperkaya pengetahuan pelbagai kaum, dan membina tamadun ilmu berasaskan sastera.