Diterbitkan pada 26 Ogos 2025, 08:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Penyair terkenal Zaen Kasturi disifatkan sebagai aset negara dalam dunia kepenyairan tanah air yang mampu menjadi sumber inspirasi kepada generasi penulis muda melakar proses kreativiti mereka dengan berani.

Penyair dan pensyarah Sdr. Ridzuan Harun ketika menyifatkan hal demikian berkata, kewibawaan Zaen mewarnai ranah kesusasteraan Melayu sudah melalui satu tempoh matang yang tidak mampu dipertikaikan lagi.

Ridzuan Harun

“Zaen ialah aset yang bernilai dalam dekad perkembangan dunia kepenyairan negara. Beliau telah melalui satu tempoh matang yang sudah sampai ke satu tempatnya.

“Apabila dianggap sebagai satu aset, maka beliau sepatutnya diletakkan di satu tempat yang sewajarnya,” katanya menerusi Bual Bicara: Bacaan dan Perbualan Khas bersama Pengarang – Ingatan kepada Zaen Kasturi.

Program yang dikendalikan oleh Organisasi Alumni Program Penulisan MASTERA (OPERA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu diadakan di Dewan Bankuet DBP, sempena Festival Mini Sastera OPERA baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Pengerusi Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai.

Menurut Ridzuan lagi, Zaen merupakan penulis yang berani bereksperimen dengan teknik penulisannya, sekali gus menyaksikan perubahan demi perubahan dalam perkembangan kreativiti kepenyairan sejak kemunculannya pada era 1980-an hingga kini.

“Jika dirincikan setiap karyanya, bermula daripada Ke Ruang Katarsis, sampai kepada 77 Tuju misalnya, sehingga Fajar Lingkung Lembayung, pola Zaen itu sentiasa berubah walau masih mengekalkan gaya absurd, ambiguiti dan sebagainya.

“Dan perubahan itu kita dapat nikmati bagaimana kebijaksanaan beliau mengolah bahasa dan makna menerusi karya-karyanya,” kata Ridzuan.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi