Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Antologi Puisi Makan Suap terbitan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) yang menghimpunkan 135 karya penulis dari seluruh negara, dilancarkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Yang Dihormati (YDH) Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), malam semalam.
Antologi yang terdiri daripada 135 puisi daripada 135 penulis ini mengangkat isu rasuah sebagai tema utama, merangkumi karya penulis puisi mapan, baharu serta tokoh Sasterawan Negara.

Menurut Tan Sri Ayob Khan dalam ucapan pelancaran, isu integriti dan rasuah merupakan “musuh utama negara” yang mesti ditangani dengan komitmen penuh semua pihak, termasuk kepimpinan politik, penjawat awam, swasta dan masyarakat.
“Era beretorik telah berlalu. Masyarakat menilai setiap tindakan, gaya hidup serta kemewahan kita, bukan sekadar menghadam sahaja ucapan,” tegasnya.
Beliau menyifatkan puisi sebagai medium ampuh bagi membangkitkan kesedaran. Jika dahulu pantun dan syair menyampaikan falsafah masyarakat, puisi moden pada hari ini dapat meniupkan keinsafan untuk menolak budaya suap dan pengkhianatan amanah.

Dalam majlis yang sama, Presiden PEMUISI, Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim turut berkata bahawa bait-bait puisi buku ini berkisar tentang persoalan anti rasuah, adalah sebagai sumbangan golongan pemuisi bagi membantu menyemarakkan kesedaran dan kempen Kerajaan Malaysia MADANI dalam membasmi rasuah dan penyelewengan.
“Memandangkan puisi-puisi ini amat bermakna, maka adalah dicadangkan semua pihak memilikinya untuk dibaca dan dihayati,” ujar beliau.

Menyokong usaha murni dalam membanteras gejala salah laku rasuah, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan berkata bahawa usaha penggiat sastera juga penting untuk bersama-sama berjuang dengan pihak berkuasa walaupun dengan pen dan kertas.
Antara judul yang menonjol dalam antologi ini termasuklah “Tika Memeluk Dosa” (Abdul Aziz Ali), “Barah Rasuah” (Amalia Safi Zaini), “Azab Makan Suap” (Marzelan Perindu Sepi) dan “Syurga di Pintu Neraka” (Haryatie Ab. Rahman).
Beberapa karya lain menggunakan sindiran tajam seperti “Takungan Najis” (Aladin Mohammad), “Kelibat Kopi Ada Muslihat” (Gabriel Kimjuan) dan “Anjing” (Samsudin Ahmad @ Pak Din), manakala judul bernada patriotik seperti “Perjuangan Banteras Rasuah” (Borhan Mat Aris), “Wira Anti Rasuah” (Siti Ruslinah Sakor) serta “Katakan Tidak kepada Rasuah” (Raja Rajeswari Seetha Raman) yang menyeru kebangkitan rakyat agar menolak gejala tersebut.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran tokoh bahasa dan sastera tanah air termasuklah Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, YBhg. SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan serta YBhg. SN Dato’ Rahman Shaari yang tampil mendeklamasikan sajak berkaitan dengan makan suap. YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin juga berkesempatan menyampaikan ulasan buku yang dilancarkan dalam majlis tersebut.