Diterbitkan pada 12 Ogos 2025, 08:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arina Zata Sabila Musthafa Abrar menemui Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dalam program Sepagi Bersama dengan Sasterawan Negara, sebuah program bual santai yang membuka perkongsian pengalaman kepengaranganan sasterawan besar ini di Kebun Puisi pada 9 Ogos 2025.

Melalui pengalaman-pengalamanlah corak dunia kepengarangan Anwar diwarnai. Antara ‘corak’ yang paling menonjol ialah perubahan nilai serta perubahan pandangan akibat daripada pengaruh zaman dan teknologi.

Pagi di Kebun Puisi, Bangi Lama itu bermula dengan sinar matahari yang lembut menembusi celahan pelepah kelapa dan rimbunan bunga air mata pengantin berona merah delima muda. Aroma kopi panas bercampur wangi lempeng dan sambal tumis mengisi udara. Di bawah hamparan kanopi berwarna gelap, para hadirin yang terdiri daripada mahasiswa, penulis muda hinggalah peminat sastera berusia emas berkumpul, menanti pembukaan tirai Sepagi Bersama dengan Sasterawan Negara, sebuah siri anjuran Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang akan berlangsung sebanyak enam sesi sehingga 10 November tahun ini.

Siri pertama ini memilih tokoh yang tidak asing dalam dunia kesusasteraan Melayu, iaitu Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara ke-10. Tidak ada podium tinggi yang memisahkan beliau daripada hadirin. Jarak fizikal yang rapat menjadikan suasana lebih mesra dan santai, seolah-olah seorang sahabat lama sedang bercerita di beranda rumah yang berlatarkan suasana kampung.

“Sastera adalah nadi bangsa,” katanya dalam bicara pembuka. “Sastera membentuk jiwa, membina akal, dan menyimpan sejarah yang tidak semestinya tertulis dalam buku teks.”

Perpustakaan, Mesin Taip dan Langkah Pertama Kepengarangan

Dilahirkan di kampung Sungai Besar, Selangor, Anwar membesar dalam suasana yang mungkin sukar dibayangkan oleh generasi muda hari ini. Pada tahun 1950-an, tiada internet, tiada televisyen, malah radio hanya dimiliki oleh sebuah rumah sahaja di kejiranannya. Hiburan dan sumber ilmu utamanya ialah perpustakaan sekolah, tempat beliau menghabiskan sebahagian besar masa kanak-kanaknya.

Guru perpustakaan, Cikgu Rohani, melihat kesungguhannya sehingga memberinya kunci pendua perpustakaan. Di situ beliau mengunyah, menelan dan menghadam pelbagai jenis bahan bacaan seperti Cerita-cerita Shakespeare yang menghimpunkan karya Shakespeare dalam terjemahan bahasa Melayu oleh Za’ba, fabel yang watak-watak utamanya terdiri daripada penghuni rimba, kisah sejarah, dan buku-buku ilmiah.

Minatnya terhadap membaca melahirkan impian yang berputik sejak usia 11 tahun, iaitu menjadi pengarang, dan melihat bukunya suatu hari nanti tersusun di rak perpustakaan.

Ceritanya mengenai percubaan awal menulis mendapat gelak tawa kecil daripada tetamu yang hadir. Kali pertama, kedua dan ketiga menghantar cerpen ke Utusan Melayu, manuskripnya dipulangkan. Pada percubaan keempat, terdapat nota editor yang dikepilkan bersama-sama naskhah manuskripnya dengan catatan: “Encik Anwar, sila taip, bukan tulis tangan.”

Masalahnya, mesin taip bukanlah barang yang mudah didapati. Oleh itu, beliau meminta ibunya membuatnya jala untuk menangkap ikan di sawah bendang. Bermodalkan haruan, keli, sepat, baung, dan udang, Anwar membeli mesin taip terpakai yang akhirnya menjadi “pintu” pada dunia penulisannya. Cerpen pertamanya tersiar ketika beliau di Tingkatan Tiga, dan honorarium sebanyak RM15 yang diterima terasa sangat besar nilainya dan tentunya sangat manis kenangannya.

Perpindahan beliau ke Kuala Lumpur untuk menuntut di Sekolah Alam Shah bermula ketika beliau di Tingkatan Enam. Peralihan dari kampung ke Kuala Lumpur membuka matanya terhadap perubahan nilai masyarakat. Di sekolah menengah, semua rakan sekelasnya berbangsa Melayu, tetapi di Tingkatan Enam beliau bergaul dengan pelajar Cina, India dan Siam. Pergaulan ini memperluas pandangannya tentang kepelbagaian budaya dan kemakmuran hidup di tengah-tengah bandar raya dalam lingkungan masyarakat majmuk.

Namun begitu, tahun 1969 menguji ketenangan itu. Peristiwa 13 Mei meletus. Situasi yang disaksikan sendiri dari asrama pelajar Sekolah Alam Shah, meninggalkan kesan mendalam terhadap seorang anak kampung yang menginjak dewasa.

Berbekalkan sebuah radio transistor yang kecil untuk mendengar berita di asrama, Anwar dan rakan-rakannya mengikuti laporan kempen-kempen yang berhawa panas menjelang musim pilihan raya tahun itu. Ketika rusuhan memuncak pada malam itu, Anwar dan rakan-rakannya naik ke tingkat atas asrama melihat pemandangan Kuala Lumpur yang merah terbakar. Sejurus selepas itu, pintu pagar sekolah ditutup, dan pengetua mengarahkan supaya kawalan dari dalam sekolah mulai dibuat.

Ketika waktu genting itu, makanan di asrama telah dicatu dengan teh O panas dan sekeping roti sebagai sarapan, menu makan tengah hari dan makan malam pula nasi berlaukkan ikan bilis. Hal ini disebabkan oleh penduduk di Kampung Congo, kampung setinggan yang diduduki oleh bekas-bekas tentera yang berkhidmat di Congo dan keluarga mereka turut menumpang dewan sekolah atas isu keselamatan.

Pada 16 Mei, enam trak tentera membawa pelajar, termasuk Anwar, ke Hospital Kuala Lumpur untuk menderma darah. Perjalanan itu memperlihatkan bandar yang lengang, kedai-kedai terbakar dan hanya kelibat tentera atau polis di setiap persimpangan.

Pengalaman ini menjadi latar cerpen “Satu Tiga Sifar Lima”, yang menggabungkan fakta dan fiksyen, membicarakan hubungan etnik serta keperluan pembangunan yang adil untuk semua kaum.

Pengalaman yang Membentuk Jiwa Kepengarangan

Pengalaman Anwar di luar negara turut membentuk pandangan alamnya. Semasa di Universiti Malaya, beliau menyertai program pertukaran pelajar ke Universiti Hong Kong. Kemudian, beliau menaiki kereta api malam dari Kiev ke Moscow ketika Kesatuan Soviet hampir berpecah. Cerpen “Dari Kijev ke Moskva” lahir daripada pertemuan Anwar dengan pelbagai watak di gerabak kereta api dari Maghrib hingga Subuh.

Pengajian di New York University pula memberi inspirasi kepada cerpen “Sahabat”, yang mempertemukan dua orang Melayu, seorang yang masih mengekalkan nilai kampung dengan seorang lagi yang telah mengubah pendiriannya tentang nilai masa dan nilai dolar di tengah-tengah kota metropolitan tersebut.

Novel sulungnya, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, memilih latar perang sebagai metafora peralihan zaman dan kepupusan seni warisan seperti penglipur lara. Latar yang digunakan seperti latar perang menggambarkan peralihan zaman yang pantas seperti keadaan yang aman damai digegarkan dengan suasana hiruk-pikuk kekecohan perang.

Kehilangan seni, budaya, dan warisan ekoran pemergian Tok Dalang wayang kulit dan guru-guru tari mak yong seolah-olah roh seni itu sendiri turut-turut pergi bersama mereka.

Baginya, seni tradisional seperti wayang kulit, makyung dan panglipur lara seperti watak utama dalam Hari-hari Terakhir Seorang Seniman bukan sekadar hiburan, tetapi jiwa budaya bangsa yang mesti dipelihara.

Anwar turut mencuplik memori-memori ketika bertugas selama tiga tahun di Tokyo yang melahirkan Naratif Ogonshoto. Katanya, himpunan cerpen itu suatu pengalaman penulisan yang paling sukar kerana beliau membina satu republik dengan sistem politik dan kehidupan masyarakatnya dalam sebuah dunia fiksyen. Cerpen itu sarat dengan sindiran tentang masalah-masalah politik di negara-negara dunia ketiga. Oleh sebab sudah lama tidak mengarang, Anwar telah mengambil keputusan untuk menulis dengan tangan. Istimewanya dalam buku kumpulan cerpen Naratif Ogonshoto ini, terdapat episod tsunami, malah peristiwa tsunami tersebut adalah yang pertama terakam dalam novel Melayu yang menyebut tentang tsunami.

Melalui pengalaman-pengalamanlah corak dunia kepengarangan Anwar diwarnai. Antara “corak” yang paling menonjol ialah perubahan nilai serta perubahan pandangan akibat daripada pengaruh zaman dan teknologi.

Anwar mengakui dirinya bukan penulis prolifik. Novel pertamanya disemak 13 kali sebelum dihantar kepada editor. Baginya, kualiti jauh lebih penting daripada kuantiti. Sebagai editor, beliau berani memotong ratusan halaman karya pengarangan lain demi memastikan fokus tema dan kekuatan watak. “Penulis mesti tahu temanya, memahami latar dan menguasai psikologi watak,” tegasnya.

Beliau menulis pada waktu malam atau hujung minggu. Dalam tempoh dua hingga tiga jam menulis, beliau hanya boleh menyiapkan tujuh atau lapan halaman siap. Katanya, beliau penulis dan menaip sangat perlahan jika dibandingkan dengan Pak Arena Wati atau Mana Sikana, yang lazimnya dapat menulis 30 hingga 40 muka surat dalam tempoh masa yang sama. Katanya, sebelum menghantar cerpen-cerpen beliau ke Dewan Sastera atau Mingguan Malaysia, beliau sering melakukan penyuntingan berkali-kali.

Kini, beliau sedang menyiapkan sebuah drama pentas bertemakan keperwiraan dengan kerjasama Universiti Pertahanan Malaysia, selain hampir menamatkan sebuah drama muzikal.

Cabaran Industri Perbukuan dan Tanggungjawab Gelaran Sasterawan Negara

Sastera bukan sekadar bercerita. Sastera juga mendidik, mengumpul perbendaharaan kata dan bahasa yang baik, memperkaya emosi, serta membina empati.

Sesi seterusnya merupakan sesi soal jawab yang membuka ruang kepada hadirin yang berkunjung untuk bertanya. Seorang bapa bertanya tentang nasib buku fizikal dalam era digital dan ingin mengetahui cara-cara untuk memupuk minat membaca anak-anaknya.

Anwar mengakui bahawa penerbitan digital sedang mengubah pola pembacaan dengan elemen multimedia, gabungan teks dengan animasi, audio, dan aktiviti interaktif, namun buku fizikal tetap ada tempatnya di hati khalayak muda.

Cabaran, katanya, adalah untuk memastikan karya memelihara bahasa yang baik, unsur pendidikan, dan pengetahuan, walaupun disesuaikan dengan gaya pembaca muda yang gemar bacaan ringkas dan berperenggan pendek.

“Sastera bukan sekadar bercerita,” katanya dalam konteks mendidik anak-anak kecil. “Sastera juga mendidik, mengumpul perbendaharaan kata dan bahasa yang baik, memperkaya emosi, serta membina empati.”

Selepas lebih 50 tahun berkarya, beliau menerima pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Sastera Negara pada tahun 2009. Baginya, gelaran itu bukan sekadar penghormatan, tetapi amanah besar untuk terus memartabatkan bahasa, sastera dan seni warisan bangsa.

Katanya, tanggungjawab setelah menerima gelaran berprestij itu termasuklah menerima pelbagai undangan majlis yang berkaitan dengan sastera, bahasa, perbukuan, dan penerbitan oleh media, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, selain persatuan-persatuan penulis. Ada yang meminta pandangan ringkas tentang isu nasional, ada pula yang mengajaknya membentangkan kertas kerja ilmiah.

Walaupun faktor usia membataskan kekuatan fizikal, beliau berusaha memenuhi jemputan demi memartabatkan bahasa, sastera dan seni warisan bangsa.

“Ini bukan sekadar gelaran,” katanya, “tetapi amanah.”

Ketika sesi berakhir, matahari sudah meninggi, namun tiada siapa yang tergesa-gesa meninggalkan tempat itu. Ada yang berbaris untuk bergambar, dan ada yang sekadar mengucapkan terima kasih.

Dari perpustakaan kecil di Sungai Besar hingga ke pentas sastera negara, perjalanan hidup Sasterawan Negara Anwar Ridhwan di Sepagi Bersama dengan Sasterawan Negara merupakan suatu kisah tentang ketekunan, keberanian mencuba dan kesetiaan terhadap seni dan bahasa.

Dapatkan Edisi Karya Malar Segar Sasterawan Negara Anwar Ridhwan Naratif Ogonshoto di sini.

_________________________

Arina Zata Sabila Musthafa Abrar merupakan seorang wartawan yang menggemari genre fiksyen sejarah dan memoir. Di samping pekerjaan hakikinya merakam berita, beliau gemar menyertai sayembara dalam reka bentuk grafik. 

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi