Diterbitkan pada 9 Ogos 2025, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Perasmian Buku Antologi Puisi Makan Suap anjuran PEMUISI dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bakal diadakan bagi menyahut seruan kerajaan dalam membasmi rasuah dan penyelewengan.

Presiden PEMUISI, YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim mengumumkan perkara tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PEMUISI semalam.

Majlis tersebut akan diadakan pada 15 Ogos 2025 (Jumaat) pada pukul 8.00 malam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur.

Ujar beliau, PEMUISI komited menyahut seruan tersebut melalui saluran puisi dan disokong oleh Timbalan Ketua Polis Negara, YDH Tan Sri Ayob Khan bin Mydin Pitchay yang akan merasmikan majlis tersebut.

Buku Antologi Puisi Makan Suap terbitan PEMUISI ini mengandungi karya puisi yang dihasilkan oleh 137 orang pemuisi seluruh tanah air yang baharu dan mapan, termasuklah puisi yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara (SN).

Ujar YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, “Definisi puisi itu sendiri yang merupakan kata-kata terbaik dalam susunannya yang terbaik mampu melahirkan kesedaran bagi setiap pembaca untuk membenci rasuah dan seterusnya meninggalkan perlakuan yang buruk itu.

“Kami merasakan buku ini amat baik dan sesuai disebarluaskan kepada setiap lapisan pegawai dan anggota penguatkuasa.”

Menurutnya lagi, antara tetamu kenamaan yang dijangka turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Datuk Dr. Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dr. Hazami Jahari; penasihat-penasihat PEMUISI yang terdiri daripada YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan serta pengurusan tertinggi dan karyawan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tambah beliau, sempena pelancaran buku itu juga, persembahan syair, gurindam, puisi artistik, lagu-lagu puisi dan tarian tradisional oleh pemuisi undangan juga bakal diadakan.

“Majlis ini terbuka kepada semua. Kami mengundang semua peminat puisi untuk hadir ke majlis ini bagi memeriahkan acara sambil menyokong perjuangan Kerajaan MADANI memerangi rasuah dan penyelewengan.”

Kredit Foto: PEMUISI
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi