Diterbitkan pada 27 Julai 2025, 15:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Mengapa puisi?” Persoalan ini dibangkitkan dengan nada renungan oleh Sasterawan Negara YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam ucapannya bersempena dengan Program Pemuisi DBP 18.0 di Dewan Dato’ Abdul Rahim Abu Bakar, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), malam semalam.

Dalam dunia yang semakin maju dan sarat dengan teknologi, kecerdasan buatan serta segala keperluan sains, puisi sering kali dipertikaikan keperluannya.

Namun begitu, menurut beliau, puisi tetap memiliki peranannya yang istimewa dalam membina jiwa manusia dan membentuk kehalusan budaya sesuatu bangsa.

Menurut Profesor Emeritus Dr. Muhammad, masih ada suara yang sinis terhadap puisi.

“Ada yang mengatakan masa yang terhad lebih baik dimanfaatkan untuk mempelajari matematik, biologi atau bidang praktikal yang menjanjikan pulangan ekonomi.”

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa puisi bukan sahaja seni kata-kata, bahkan medium untuk memahami kemanusiaan dan memelihara sejarah bangsa.

Beliau memberikan contoh bagaimana puisi terus hidup dan dihargai di negara maju seperti Jepun yang masih menjunjung haiku, manakala di Perancis, genre pantoum yang berasal daripada pantun Melayu terus mekar sebagai bentuk sastera yang berprestij.

Dalam majlis yang sama, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan turut menegaskan bahawa sastera, khususnya puisi, terus hidup sebagai medium perjuangan yang tidak pernah padam apinya.

Menurut beliau, kekuatan puisi terletak pada kemampuannya membawa perubahan dan menyemai pemikiran baharu dalam kalangan masyarakat. Hal ini menjadi pembeza antara puisi tradisional yang diramu dengan emosi dan puisi kontemporari yang diracik dengan akal fikiran.

Program Pemuisi yang bertemakan “Puisi Itu Membijaksanakan” ini dimulakan dengan persembahan puisi pembukaan oleh Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP yang mendeklamasikan puisi A. Aziz Deraman bertajukKeris Bahasa” daripada buku kumpulan puisi Bahtera MADANI.

Antara penyair terkemuka yang mengambil bahagian termasuklah YBhg. Dato’ Chamil Wariya yang mendeklamasikan puisi “Salam Benua” karya Usman Awang, diikuti oleh Tuan Haji Ahmad Sarju yang membacakan puisi “Kembalilah kepada Perpaduan” dan turut melagukan syair berjudul “Pengadu Domba”, sekali gus membawa elemen tradisional ke pentas moden.

Dr. Victor Pogadaev pula tampil mempersembahkan puisi “Tanah Air (Menjelang Kemerdekaan)” karya Usman Awang, diikuti dengan terjemahan sebuah puisi klasik Rusia dalam bahasa Melayu berjudul “Layar”, karya Mikhail Lermontov.

Tokoh pengkaji sastera Rusia-Melayu, Dr. Victor Pogadaev mendeklamasikan dua puisi.

Haji A. Ghani Abdullah turut menyumbang bacaan puisi bertajuk “Dia Seorang Pahlawan Peluru”, manakala Samsudin Ahmad mempersembahkan “Pasir”, karya puitis hasil nukilan Sasterawan Negara Zurinah Hassan.

Program ini juga memperlihatkan keterlibatan generasi muda melalui penyertaan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Afiq Fikri Mohd Nizam yang mendeklamasikan puisi “Pelantaran Jagat” karya Akmal Aizat Abdul, manakala gandingan Hana Farisha Amran dan Sofea Hani Mohamad Rafi menghidupkan puisi “Bahtera Perjuangan” karya Hamzah Hamdani.

Hana Farisha Amran dan Sofea Hani Mohamad Rafi berganding suara mendeklamasikan puisi “Bahtera Perjuangan” karya Hamzah Hamdani.
Afiq Fikri Mohd Nizam yang mendeklamasikan puisi “Pelantaran Jagat” karya Akmal Aizat Abdul.

Sisipan persembahan lagu puisi turut menyemarakkan suasana, dimulakan oleh Datin Seri Mayya Humairah dengan lagu “Memendam Rasa”.

Dr. Shafa’atussara Silahuddin pula menyanyikan lagu “Penantian” yang pernah dipopularkan oleh Kumpulan Harmoni yang menghubungkan kembali keindahan puisi dengan alunan muzik yang menyentuh jiwa.

Ferri Anugerah Makmur pula menyampaikan lagu “Hati Yang Terluka”, sebuah lagu malar segar dendangan asal Broery Marantika yang memberi dimensi sentimental terhadap keseluruhan acara.

Persembahan lagu puisi ditutup dengan penuh syahdu oleh Dato’ Wanrazuhar melalui lagu “Selamat Malam Sayang”.

Barisan penyair turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Wan Aziz Wan Hamzah yang membacakan puisi “Silakan Orang Muda” karya Muhammad Haji Salleh, diikuti oleh Sakrani Shamsuddin dengan puisi “Ketika Aku Menangis” karya Zalina Ahmad.

Awang Jenderata turut mempersembahkan puisi bertajuk “Secebis Doa Untukmu”, manakala Dr. Sariman Hussin menyampaikan puisi ciptaannya sendiri bertajuk “Puisi Itu Membijaksanakan”.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi