Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 19 Julai 2025, 17:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bentong – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan kunjungan ke kediaman sutradara tersohor tanah air, Allahyarham Dato’ Jamil Sulong pada hari ini sebagai usaha awal kepada perancangan menerbitkan sebuah naskhah yang menghimpunkan sajak nukilan beliau.

Selain itu, kunjungan tersebut bertujuan untuk meneliti lebih 130 buah sajak yang pernah dihasilkan oleh beliau, sekali gus mengangkat kembali karya sastera peninggalan tokoh seni berkenaan yang kurang diketahui umum sebelum ini.

Dalam pertemuan itu, YBhg. Dato’ Rosnani Jamil (Mak Nani) selaku pihak waris telah menyerahkan manuskrip asal sajak Allahyarham kepada pihak DBP bagi proses penilaian selanjutnya.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, kunjungan tersebut yang turut disertai Tan Sri Johan Jaafar adalah untuk mendapatkan karya-karya sajak Allahyarham yang belum sempat diterbitkan semasa hayatnya, di samping menjalin hubungan yang baik dengan waris beliau, Dato’ Rosnani Jamil.

“Kita amat berbesar hati kerana diberikan keizinan oleh pihak waris untuk menerbitkan kumpulan sajak tersebut, yang belum pernah diterbitkan dalam mana-mana medium sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui sewaktu kunjungan tersebut.

Menurut Dr. Hazami, inisiatif itu bukan sahaja signifikan dari sudut kesusasteraan dan kesenian, malahan menjadi manifestasi penghargaan terhadap sumbangan besar Allahyarham Dato’ Jamil Sulong dalam perkembangan dunia perfileman negara.

“Kita akan mengadakan satu perbincangan khusus di DBP bagi meneliti tindakan susulan hasil daripada pertemuan ini, namun perkara yang paling utama ialah usaha kita untuk menerbitkan sajak Allahyarham,” ujarnya lagi.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya berhasrat untuk mencetak semula buku Kaca Permata: Memoir Seorang Pengarah dengan kata pengantar baharu oleh YBhg. Tan Sri Johan Jaaffar serta menerbitkan naskhah bagi skrip yang pernah ditulis oleh Allahyarham, tertakluk kepada hak cipta penerbit asal.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Hazami mencadangkan agar filem Ranjau Sepanjang Jalan, adaptasi daripada novel karya Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad ditayangkan semula untuk memperkenalkan kembali karya tersebut kepada khalayak.

“Antara tindakan lanjut termasuklah mengadakan perbincangan lebih tuntas dengan Mak Nani berkenaan dengan beberapa kegiatan yang boleh dimajukan bersama-sama pada masa hadapan,” tambah beliau.

Tambah beliau, kediaman Mak Nani menyimpan pelbagai bahan bernilai yang boleh diterbitkan semula, termasuk kajian sastera terhadap skrip filem dan drama yang belum pernah dilakukan dari sudut keilmuan.

“Perkara ini merupakan peluang terbaik untuk menggalakkan karyawan DBP khususnya menjalankan kajian mendalam terhadap skrip-skrip tersebut,” katanya.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, Encik Ja’afar Hamdan; Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Puan Norhasmanalinda Mustapa dan Editor Bahagian Buku Sastera, Puan Zaharahanum Kamarudin.

Penyerahan koleksi sajak nukilan Allahyarham Dato’ Jamil Sulong oleh pihak waris, Dato’ Rosnani Jamil (tengah) kepada Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.
Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi