Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Juara peringkat negeri bakal mara ke pertandingan akhir SDPK ke-68 Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Melaka,” kata Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry ketika merasmikan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Ke-39 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Syeikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP, pagi tadi.
SDPK Ke-39 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ini merupakan gabungan GAPENA yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Perbadanan Kota Buku (PKB), Kementerian Wilayah Persekutuan dan Universiti Malaya (UM).
Menurut Puan Nurul Julia Alani Henry, DBP Wilayah Tengah turut terlibat secara langsung dalam menguruskan SDPK di beberapa buah negeri lain termasuklah Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
Menariknya, SDPK pada kali ini menampilkan barisan deklamator junior dan senior yang bersaing bagi merebut gelaran juara negeri untuk beraksi di pentas kebangsaan.
“Gabungan deklamator senior dan junior telah membuka ruang kepada peserta muda untuk menimba ilmu secara langsung dengan peserta berpengalaman, sekali gus memperkasakan sastera dalam bentuk yang lebih segar dan dinamik,” jelas beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menzahirkan rasa kesyukuran atas khidmat dan kemudahan tempat yang diberikan oleh DBP untuk melaksanakan SDPK dengan lancarnya.
“Saya melihat bahawa tempat ini sangat sesuai untuk menjalankan program kebudayaan pada masa akan datang. GAPENA juga akan menganjurkan program kebudayaan dengan kerjasama PENA di dewan ini sekiranya mempunyai perancangan tersebut,” tambah beliau.
Beliau turut menyatakan bahawa kemenangan sebagai juara SDPK ini amat bermakna untuk dijadikan sebagai motivasi kepada peserta lain untuk terus berusaha pada masa akan datang.

Pada masa yang sama, majlis turut diserikan lagi dengan acara penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry kepada para pemenang sebagai tanda penghargaan atas bakat dan usaha mereka.
Tuah ternyata berpihak kepada Muhammad Zamratur Rahman Yusri apabila dinobatkan sebagai Johan SDPK Ke-39 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Beliau mendeklamasikan puisi berjudul “Pustaka Tanah Leluhur” karya Shamsudin Othman yang dipetik daripada Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Ke Sarang Cenderawasih, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1000.00 berserta sijil penyertaan.

Selain itu, naib johan sayembara ini pula dimenangi oleh Tai Weuy Liang yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM700.00 serta sijil penyertaan, manakala pemenang tempat ketiga diraih oleh Norhisham Razali yang membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM500.00 dan sijil penyertaan.
Di samping itu, hadiah sagu hati pertama dirangkul oleh Muhammad Zulfadli Redzwan Sabri, hadiah sagu hati kedua pula dimenangi oleh Khadijah Isyak dan hadiah sagu hati ketiga disandang oleh Muhammad Nur Adib Ahmad Noor.
Turut hadir pada SDPK Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya termasuklah Naib Presiden GAPENA, Yang Berbahagia (YBhg.) Profesor Dr. Hashim Ismail, barisan ahli GAPENA serta karyawan DBP.