Diterbitkan pada 5 Julai 2025, 17:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bachok – Sejarah kesusasteraan Melayu moden menunjukkan bahawa penulis wanita Pantai Timur bukan sekadar kebetulan geografi tetapi mengikuti perubahan arus kesedaran terhadap posisi, suara dan peranan penulis wanita dalam wacana keilmuan dan kesusasteraan.

Pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Tuan Rusmawati Raja Hassan berkata, penulis wanita Pantai Timur kini bukan lagi berada pada satu peta yang kecil, sunyi dan tersembunyi sebagaimana yang sering digambarkan.

“Mereka sekarang telah mampu melangkah ke pentas persuratan dengan penuh keberanian, kejujuran dan mempunyai idealisme tersendiri.

“Penulis wanita dari Pantai Timur, khususnya dari Kelantan dan Terengganu muncul membawa naratif yang kuat dalam nilai tradisi, agama, adat, dan pengalaman, malah, pada masa sama, menerobos batas melalui pendekatan kritis dan introspektif,” katanya.

Dr. Tuan Rusmawati Raja Hassan

Beliau berkata demikian dalam satu diskusi Dinamika Penulis Wanita Pantai Timur: Teluk Rasa Lembah Kata, yang diadakan di Dewan Chucu Kafe Sudara Beach Resort, Bachok, Kelantan, sempena program Perhimpunan Penulis Wilayah Timur 2025 malam tadi.

Diskusi yang dipengerusikan oleh Dr. Abang Patdeli Abang Muhi itu turut menampilkan tiga ahli panel, iaitu Dr. Tuan Rusmawati; cerpenis dan novelis, Tuan Nurizan Raja Yunus atau Ana Balqis; dan Pensyarah Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Uniniversiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBrs. Prof. Dr. Abdul Halim Ali.

Menurut Tuan Rusmawati, sumbangan penulis wanita tidak harus dilihat pada sisi konvensional semata-mata, tetapi sebagai manifestasi perjuangan identiti, kesungguhan dan kecekalan yang sentiasa mencabar.

“Misalnya Fatimah Busu, antara tokoh terawal penulis Pantai Timur, bukan sahaja prolifik dalam penulisan novel dan cerpen, malah dikenali sebagai pengarang yang tajam menyorot isu kemiskinan, marginalisasi wanita dan pertembungan budaya antara Timur dengan Barat.

“Ramai lagi penulis wanita muncul mewakili spektrum luas kepengarangan wanita Pantai Timur yang memperlihatkan kepelbagaian gaya, pendekatan serta latar perjuangan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, catatan sejarah juga menunjukkan, sejak zaman persuratan klasik lagi, watak wanita telah pun muncul mengambil tempat dalam wacana sastera Melayu sebagai subjek yang penting dan berperanan.

“Nama seperti Puteri Gunung Ledang, Tun Fatimah, Tun Teja, dan Cik Siti Wan Kembang bukan sahaja mengisi ruang hikayat, cerita rakyat, sebaliknya menjadi simbol kekuatan, kebijaksanaan serta pengaruh wanita dalam kerangka sosial dan politik Melayu,” tambahnya.

Sementara itu, ahli panel Tuan Nurizan melihat bahawa kebanyakan penulis wanita Timur terutamanya di Kelantan, terserap dengan roh atau semangat tokoh legenda sejarah dan budaya negeri tersebut, Cik Siti Wan Kembang.

Tuan Nurizan Raja Yunus atau Ana Balqis

Katanya, mereka (penulis wanita) tidak gentar melontar idea dan pemikiran, selain gigih dan bijaksana di tengah-tengah kekuasaan penulis lelaki yang dilihat lebih dominan dalam apa-apa jua pentas kesusasteraan Melayu.

“Penulis wanita tidak tamakkan jawatan atau pangkat, sebaliknya mereka hanya perlukan ruang untuk terus berkarya dengan selesa tanpa korupsi atau skandal sastera.

“Mereka ikhlas dan jujur untuk mengembangkan sayap pemikiran, idea, kreativiti yang ada bagi manfaat umum,” katanya.

Kredit Foto: Mohamad Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi