Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBachok – Jasa dan sumbang bakti enam penulis terhadap perkembangan sastera tanah air yang telah kembali ke rahmatullah dikenang dalam satu majlis Belasungkawa Penulis Kelantan dan Terengganu dalam program Perkampungan Penulis Wilayah Timur.
Mereka ialah, Allahyarham Darma Mohammad, Dzulkifli Mohd. Zain, Baba Ding, Ali Jusoh, Mohd. Azhar SU, dan Mazelan Manan.
Sasterawan Negeri Kelantan, Rosli K. Matari menerusi majlis belasungkawa tersebut membicarakan sisi menarik Baba Ding sebagai seorang tokoh ulama, penyair dan intelektual terkenal, khususnya di Selatan Thailand dan di Kelantan amnya.
Rasional beliau membicarakan tokoh dari Selatan Thailand itu berikutan jasa serta sumbang bakti Allahyarham dalam kedinamikan kesusasteraan negeri Kelantan, bahkan pada zaman mudanya pernah menetap di negeri tersebut.
“Baba Ding mampu menulis dalam pelbagai genre kesusasteraan termasuklah sajak, esei, cerpen, dan drama yang banyak menyentuh isu keislaman, kemanusiaan dan perjuangan masyarakat,” katanya.
Allahyarham Baba Ding atau nama sebenarnya Mahyuddin Abdul Rahman pernah berkhidmat sebagai Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Melayu Thailand dan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Sains Malaysia.
Beliau meninggal dunia pada hari Jumaat bersamaan 16 Mei 2025 dalam usia 85 tahun.
Majlis belasungkawa tersebut diadakan di Dewan Chuchu Kafe, Sudara Beach Resort, Bachok, Kelantan, malam tadi.
Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Wan A. Rafar, pula membicarakan susuk Allahyarham Darma Mohammad sebagai seorang sasterawan yang tampil dengan sifat dan sikapnya yang sentiasa merendah diri.
Beliau berkata, sebagai seorang sahabat akrab sejak zaman muda, pemergian Allahyarham meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada masyarakat sastera atau penyair di negeri Kelantan.
“Allahyarham merupakan seorang sahabat yang baik dengan semua orang. Beliau juga seorang penyair mapan dari Kelantan yang dekat dengan tradisi sufi.
“Kehilangannya sukar dicari ganti,” katanya.
Allahyarham Darma Mohammad meninggal dunia pada 20 Ogos 2024, pada usia 76 tahun. Atas sumbangan besarnya dalam dunia sastera, Allahyarham telah dianugerahkan Anugerah Karyawan Kelantan Bahagian Puisi (2013) dan Tokoh Penyair Peradaban Kelantan (2016).
Ketua Satu Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA), Dr. Abham TR yang membicarakan penyair Zulkifli Mohd. Zain berkata, Allahyarham merupakan antara barisan penyair terkenal Kelantan pada dekad 80 dan 90-an.
Katanya, Allahyarham merupakan antara penulis dan aktivis sastera yang tidak kurang sumbangan pentingnya terhadap perkembangan sastera Kelantan, namun kreativitinya sedikit terbantut berikutan keuzurannya.
“Allahyarham menghidap angin ahmar selama 13 tahun sebelum menemui ajalnya pada 7 Jun 2024 dalam usia 63 tahun,” jelasnya.
Tokoh Puisi Kebangsaan 2024, Marzuki Ali, membicarakan penyair, cerpenis dan novelis anak kelahiran Kampung Sekati, Manir Terengganu, Ali Jusoh.
Katanya, selain genre tersebut, Allahyarham Ali juga menghasilkan lebih daripada 10 buah skrip teater yang dipentaskan di seluruh negara.
Menerusi belasungkawa ringkasnya itu, beliau berkongsi pesanan akhir Allahyarham Ali sebelum meninggal dunia pada tahun 2014 sebagai motivasi menyemai rasa keinsafan, kejujuran dan keikhlasan dalam pengkaryaan kepada peserta.
“Antara nasihat atau pesannya ialah, biar karya yang berbicara. Tidak pernah meminta ia dipuja dan disanjung.
“Penulis haruslah menyampaikan realiti serta ilmu bagi mendidik masyarakat bukan berkarya kerana duit dan pangkat,” katanya.
Ketua Dua Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA), Abdul Mubin Ismail yang mengenang penulis Allahyarham Mohd. Azhar SU menyifatkan, beliau seorang penulis dan aktivis sastera yang berjiwa besar.
Katanya, Mohd. Azhar SU yang meninggal dunia pada 15 Oktober 2019 ialah orang yang sangat prihatin terhadap perkembangan bahasa dan sastera di Terengganu.
“Beliau sanggup mengorbankan penghasilan karya untuk pengurusan persatuan yang berfungsi membina penulis,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Hawa Ibrahim semasa menyampaikan belasungkawa Mazelan Manan memberitahu, Allahyarham bermula dengan kariernya sebagai seorang wartawan sebelum beralih kepada penulisan skrip drama TV sepenuh masa.
“Sepanjang hayatnya, Allahyarham telah menghasilkan ratusan skrip telefilem dan drama rantaian untuk beberapa stesen TV,” katanya.
Antara karya popularnya termasuklah drama Lebih Bisa dari Jelatang yang memenangi anugerah Lakon Layar TV Terbaik Anugerah Skrin 2006 dan Mawar Putih Tanda Perpisahan (Lakon Layar TV Terbaik Anugerah Skrin 2013).
Allahyarham meninggal dunia pada 21 November 2022 dalam usia 58 tahun akibat penyakit kanser hidung dan paru-paru.