Diterbitkan pada 27 Mei 2025, 20:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Pengalaman sebagai jururawat telah membuatkan saya ingin berkarya untuk memandaikan bangsa,” demikian kata YBrs. Puan Aminah Mokhtar, panel dalam Wacana Khazanah Sastera Malaysia: Memperkaya Khazanah Sastera menerusi Kepelbagaian Budaya yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, petang semalam.

Aminah Mokhtar

Beliau yang juga merupakan penerima SEA Write Award (Malaysia) 2020 turut mengatakan bahawa penulisan merupakan tugasan yang diamanahkan oleh Tuhan untuk penulis menulis dengan bersungguh-sungguh.

Tambah beliau, “Setiap penulis harus bermula dengan fikiran dan perasaan (baik) bagi menghasilkan sesebuah karya yang baik.”

Antara usaha untuk memperkaya khazanah sastera termasuklah dengan memastikan bahawa khazanah tersebut mampu menyentuh lebih banyak jiwa pembaca.

Dr. Hatta Azad Khan

Hal tersebut turut disentuh oleh YBrs. Dr. Hatta Azad Khan, penerima SEA Write Award (Malaysia) 2008 apabila dunia teater tanah air semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan kelihatan semakin giat dengan karya baharu yang dipersembahkan.

“Kewujudan panggung teater pada hari ini juga semakin banyak dan boleh dikatakan setiap universiti mempunyai panggung eksperimen mereka sendiri,” ujar Dr. Hatta.

Selain usaha mempersembahkan karya ke pentas, karya terjemahan juga turut dapat menarik minat pembaca, sekali gus mampu memasarkan karya ke peringkat luar negara.

Menurut Dr. Hatta, bagi mencapai khalayak yang lebih banyak, penggerak sastera perlu menterjemahkan karya kepada bahasa lain yang mempunyai permintaan yang tinggi dalam konteks karya terjemahan.

Dr. Shamsudin Othman

Usaha tersebut turut disokong oleh YBrs. Dr. Shamsudin Othman yang juga penerima SEA Write Award (Malaysia) 2019 yang berpendapat bahawa usaha menterjemahkan karya adalah wajar dan relevan bagi mendominasi sastera.

Turut hadir dalam wacana tersebut ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, YBrs. Puan Roziah Md Yunus; dan Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, Puan Noraini Abd Shukor.

Kredit Foto: Mohamad Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi