Diterbitkan pada 27 Mei 2025, 13:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tanggapan sesetengah pihak kononnya kerja menulis sebagai suatu hal yang mudah adalah tidak benar sama sekali.

Ketika menyangkal tanggapan tersebut, penerima SEA Write Award 2010, YBrs. Sdr. Zaen Kasturi berkata, persepsi sedemikian sebenarnya datang daripada mereka yang tidak pernah ada ilmu atau terlibat dengan dunia penulisan.

Katanya, kehidupan telah mengajar manusia supaya saling menghormati, bukan memperlekehkan antara satu sama lain dengan tanggapan kosong tanpa ilmu dan kefahaman tentang sesuatu bidang.

“Ada yang kata semua orang boleh menulis. Ini satu gambaran maksud kononnya menulis itu mudah. Seolah-olah, ada kertas, ada pensel, maka tulislah apa yang rasa hendak ditulis.

“Tetapi berapa ramai yang kata begitu menjadi penulis?” soalnya semasa membicarakan topik “Ketekalan Berkarya” yang diadakan di Studio Bayan, bertempat di rumah GAPENA, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zaen, sasterawan yang digelar sebagai “lone ranger” oleh sesetengah orang itu menegaskan, seorang penulis perlu berdiri dan bergerak dengan prinsip atau pegangan tersendiri, tanpa mengikut pihak lain.

Walaupun begitu katanya, percambahan atau perbezaan pendapat dalam dunia kesusasteraan harus diraikan demi pemahaman, lonjakan serta perkembangan idea sebagai wadah kreativiti dan inovasi dalam berkarya.

“Perbezaan itu lumrah. Perkara biasa yang ada di mana-mana pada semua bidang. Dan perlu diraikan bersama. Sama ada untuk terima atau sebaliknya, itu satu hal lain. Kerana penulis perlu ada pegangan,” katanya.

Tambahnya, penulis tidak boleh terbatas pada suatu ruang yang sama kerana sastera sentiasa berkembang seiring peredaran zaman, justeru selain wawasan, setiap penulis harus ada anjakan untuk membina ruang yang baharu bagi memperkaya ciptaan karya masing-masing.

Jelasnya lagi, sastera bukan sekadar metafora, kiasan atau bahasa berbunga-bunga tetapi tentang setiap perkara yang ada di sekeliling kehidupan semasa.

“Tetapi kalau kita masih bercakap pada ruang yang sama, perkara atau soal yang biasa, ia belum memenuhi ruang sastera yang mana tafsirannya bersifat lebih fleksibel, tidak kira sama ada dalam genre puisi, cerpen, novel, atau sebagainya,” katanya.

Menyentuh mengenai karya besar, beliau berkata, penulis harus berpegang pada akar iaitu menulis sesuatu yang dekat dengan diri sendiri.

“Kebanyakan karya besar yang ada pada hari ini terhasil daripada penulis yang menulis apa yang terdekat dengannya,” jelasnya.

Kredit Foto: TV Gapena
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi