Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Puisi Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari menghadiahkan wacana berlapis tentang sifat dan sikap insan dalam acuan zaman.
Hal ini dibicarakan secara mendalam oleh YBrs. Tuan Zaen Kasturi dalam pembentangannya bertajuk “Puisi-puisi Rahman Shaari: Sifat dan Sikap” pagi tadi.
Seminar tersebut diadakan bersempena Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Menurut Zaen Kasturi, “sifat” dalam konteks puisi Rahman Shaari merujuk keadaan tetap dalam diri insan seperti fitrah dan pembawaan, manakala “sikap” pula ialah tingkah laku atau perlakuan yang boleh berubah mengikut emosi, persekitaran atau pengalaman.
“Sifat mempunyai ciri-ciri kekal dan tak berubah seperti warna mata. Namun begitu, peredaran mata akan mengubah sikap,” ujar Zaen, sambil merumuskan bahawa imaginasi penyair ialah suatu fakta sosial yang membentuk naratif kolektif dalam masyarakat.
Tujuh kumpulan puisi yang dibicarakan bermula daripada Hamparan Kuning (1978), Kesan Kunjungan (1982), Serpihan Diri (1987), Melati dan Bahang (1994), Anjung Deklamator (2005), Anjung Persinggahan (2006) sehinggalah Penunggang Kenyataan (2015) memperlihatkan evolusi sikap penyair terhadap tema kebebasan, kerisauan, keibuan, cinta, dan kekuasaan.
Zaen Kasturi yang menelusuri ketujuh-tujuh kumpulan puisi Rahman Shaari tersebut mendapati bahawa perubahan lokasi, pengalaman hidup dan usia sangat mempengaruhi nada dan tema dalam puisi ciptaan SN tersebut.
Hamparan Kuning dan Kesan Kunjungan digambarkan sebagai puisi yang “bersifat kampung dan tempatan”. Menurut beliau, kedua-dua kumpulan puisi ini masih ada elemen pokok padi, tanah yang merah dan perasaan rindu akan kampung halaman.
Serpihan Diri pula menandakan anjakan ke arah dunia luar.
“Perasaan sudah keluar daripada kerinduan kampung. Kehidupan lebih besar, dunia lebih mencabar. Jiwanya resah kerana mengejar masa. Penulisannya penuh pertanyaan,” kata Zaen Kasturi.
Melati dan Bahang memperlihatkan sisi kekecewaan dalam hubungan, memperincikan konflik jiwa dan makna hidup dalam ruang yang lebih peribadi.
Anjung Deklamator pula hadir dengan puisi-puisi panjang, bercerita tentang masa lalu, kerinduan dan refleksi diri yang menggambarkan penyair yang semakin matang dan sedar akan peningkatan usia.
“Rahman Shaari melalui puisi-puisinya, tidak hanya mendokumentasi rasa peribadi, malah mengajak khalayak untuk menilai kembali sikap dan sifat dalam kerangka sosial dan politik. Karya-karyanya menyuluh sisi terdalam pemikiran masyarakat,” ujar Zaen Kasturi.