Diterbitkan pada 7 Mei 2025, 14:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Kekenalan terhadap tema, isu atau watak dalam sesebuah puisi mampu memperdalam kefahaman dan apresiasi pembaca, sekali gus menjadikan pesanan-pesanan yang terkandung lebih berkesan kepada khalayak.

Demikian ditegaskan oleh penulis dan pengkaji sastera, YBrs. Puan Siti Raihani Mohamed Saaid, dalam pembentangannya bertajuk “Prinsip Kekenalan dalam Kumpulan Puisi Penunggang Kenyataan” dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari pagi tadi.

Menggunakan pendekatan teori kekenalan (familiarity theory) yang diasaskan oleh ahli psikologi sosial Robert Zajonc pada tahun 1960, beliau menjelaskan bahawa semakin kerap seseorang terdedah kepada sesuatu, sama ada jenama, tokoh atau isu, semakin tinggi kecenderungan mereka untuk menyukainya.

“Prinsip kekenalan bukan sahaja mengurangkan ketidakpastian, tetapi juga meningkatkan kepekaan dan kesedaran terhadap isu-isu kehidupan,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee merupakan contoh seniman yang banyak menggunakan sentimen kekenalan, manakala pengamal media baharu mengeksploitasi prinsip ini dalam kritikan sosial dan kandungan komersial.

Dalam konteks karya Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari, penggunaan prinsip ini terlihat dalam kumpulan puisinya, Penunggang Kenyataan. Malah, menurut beliau, dalam prakata buku itu, Rahman sendiri menyedari bahawa puisi boleh gagal difahami walau dibaca berkali-kali. Justeru, beliau menyimpulkan bahawa pendekatan kekenalan menjadi strategi untuk memudahkan pemahaman pembaca.

Puisi “Mulia Lapar Dahaga” berakar pada bulan Ramadan dan ibadah berpuasa merupakan satu tema yang dikenali ramai. Menurut Siti Raihani, banyak orang boleh mengapresiasi puisi ini.

Sebulan dalam setahun
kita masuki padang rukun
Ramadan bulan pengajaran
termahal antara segala bulan
bulan yang membangkitkan keinsafan
untuk menepis kehalobaan.

Puisi “Menjadi Hakim”, menurut Siti Raihani, berasaskan pengalaman penyair sebagai juri deklamasi puisi dan anugerah sastera. Namun begitu, nilai keadilan yang diangkat melampaui dunia sastera dan menyentuh aspek penilaian dan integriti dalam kehidupan seharian.

Ketika menghakimi
tiada kebendaan mempengaruhi
tiada kawan mengikat janji.
pertanyaan berkunjung di pertimbangan
pernyataan berkunjung di perkiraan.

Kekenalan tema politik terhadap puisi “Tak Boleh”, menurut Siti Raihani, dicetuskan daripada perkataan seperti ‘pertandingan’, ‘ketayap’ dan ‘carutan’.

“Penekanan bukanlah carutan tetapi carutan yang dikeluarkan di sebuah tempat yang mulia oleh orang yang berketayap yang disebut sebagai ‘wakil yang sudah dipilih’,” ujar beliau.

Tak bolehlah kau berkata begitu
Di tempat mulia itu
Tak boleh.

Di kepala mantap ketayap
Konon kau boleh diharap

Puisi “Pesan Bapa Satu-Satu” pula berintertekstual dengan puisi “Pesan Ibu Beribu-Ribu”. Menurut beliau, “Puisi ini  hadir dengan gaya tersendiri, dalam bentuk padat dan langsung, seperti suara bapa yang memberi amanat.”

Pada pemula hari
Solat mesti
Solat penanda Islam diri

Pilihlah hidup bererti;
Baik, benar, indah dan suci
Anak-anakku, ini pesan bapa satu-satu,
Jangan kau lupai,
Baik, benar, indah dan suci.

Siti Raihani mengakhiri pembentangannya dengan menyeru para sasterawan dan seniman untuk memahami psikologi khalayak.

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi