Diterbitkan pada 7 Mei 2025, 14:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Puisi karya Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Rahman Shaari sarat dengan perasaan rindu yang menghubungkan cinta, kehilangan, spiritualiti, dan kenangan silam.

Dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari yang berlangsung pagi tadi, pensyarah kanan dari Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Universiti Putra Malaysia, YBrs. Dr. Shamsudin Othman, membentangkan kertas kerja bertajuk “Introspeksi Rasa Rindu terhadap Kumpulan Puisi Kesan Kunjungan Karya Rahman Shaari”.

Menurut beliau, konsep rindu dalam puisi Rahman Shaari bukan hanya bersifat peribadi atau romantis, tetapi sebagai satu dimensi emosi yang kompleks, membentuk jalinan antara manusia dengan Tuhan, sesama insan serta masa dan tempat yang telah berlalu.

“Rasa rindu yang ditulis oleh Rahman Shaari ialah suatu suara hati yang bukan sahaja emosional, tetapi intelektual, sebuah getar batin yang merangkul refleksi spiritual dan keinsanan,” ujar Dr. Shamsudin.

Menurut beliau, dalam puisi “Kepada Tuhan”, Rahman Shaari mendedahkan pergelutan antara logik dengan kerinduan batin terhadap Pencipta.

“Rasa rindu kepada Tuhan tidak disalurkan melalui dogma, tetapi melalui luahan halus seorang insan yang mengakui keterbatasan dirinya dalam memahami kebesaran Ilahi,” terang beliau.

engkau tentu berada
di hujung kata
di akal yang mengawal rasa keras
dari turun ke tinta,
engkau tentu berada di baris puisi
di jiwa yang mengisi rasa hiba.

Dr. Shamsudin berkata, puisi ini memperlihatkan bahawa dalam keinginan untuk menulis dan memahami makna ketuhanan, penyair berusaha melepaskan “fikir dan rasa” demi “sedikit makna”, yang memberi makna suatu tanda dahaga spiritual yang mendalam.

Sementara itu, puisi “Kesan Kunjungan” merakam rasa rindu kepada insan dan suasana masa lalu. Menurut Dr. Shamsudin, puisi ini bukan hanya sebuah puisi kenangan, tetapi juga naratif batin tentang perubahan, kehilangan dan kesedaran.

tawanya mengiring kisah
senanglah hatiku
kerana dia seperti dulu.

tapi kenapakah kemudiannya
kerutan di dahi seakan bercerita
bila kutanya
tentang dirinya?

Tambah beliau, nada yang syahdu dalam puisi ini membayangkan bahawa kegembiraan pertemuan telah bertukar menjadi kerinduan yang meresap dalam diam, apabila penyair menyedari bahawa “tawa yang mengiring kisah adalah juga pengejar resah”.

Menurut Dr. Shamsudin, himpunan puisi Rahman Shaari dalam Kesan Kunjungan membuka ruang kepada masyarakat untuk lebih memahami kerumitan emosi manusia.

Dalam naratif puitisnya terselit pengabdian, kehalusan makna dan pengucapan beradab, yang merupakan tiga konsep utama dalam memahami rindu sebagai pengalaman batin dan sosial.

“Rindu bukan hanya milik peribadi. Sebaliknya, (rindu juga) mencerminkan nilai, sejarah, perjuangan dan spiritualiti yang kolektif,” tambah beliau.

Dengan kekuatan metafora dan nuansa batin yang mendalam, Dr. Shamsudin menyimpulkan bahawa Rahman Shaari membuktikan bahawa puisi ialah medium penting dalam memahami jiwa bangsa dan zaman.

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi