Diterbitkan pada 27 April 2025, 13:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Malam Baca Puisi Bulanan edisi ke-17 anjuran Persatuan Pemulsi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berlangsung meriah di Dewan Dato’ Abdul Rahim Abu Bakar, Menara DBP semalam.

Bertemakan “Puisi Berseni, Jiwa Harmoni”, majlis ini dirasmikan oleh penyanyi tersohor tanah air, YBhg. Dato’ Nashrudin Haji Elias atau lebih dikenali sebagai Dato’ Nash. Program bermula tepat jam 8.00 malam dan diteruskan dengan pelbagai pengisian sehingga lewat malam.

Nash
YBhg. Dato’ Nashrudin Hj Elias atau lebih dikenali sebagai Dato’ Nash mendendangoan dua buah lagu, iaitu Ku di Halaman Rindu yang pernah dipopularkan oleh Lefthanded dan Zahir Tak Terucap, nyanyian asal beliau sendiri.

Sebanyak 16 persembahan puisi telah dipersembahkan, antaranya “Suara Nurani Insan”, lantunan Umar Mokhtar Abdullah; “Pemuisi” karya dan lantunan YBhg. Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan; “Lilin” karya dan lantunan YBhg. Datuk Jasni Matlani; serta “Menilai Takrif Puisi”, karya Senator  Profesor Awang Sariyan yang disampaikan oleh wartawan veteran, YBhg. Datuk Dr. Chamil Wariya.

YBhg. Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan menyampaikan puisi karyanya yang bertajuk “Pemuisi”.
YBhg. Datuk Jasni Matlani menyampaikan karya beliau yang bertajuk “Lilin”.
“Menilai Takrif Puisi”, karya YBhg. Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan yang disampaikan oleh wartawan veteran YBhg. Datuk Dr. Chamil Wariya.

YBhg. Saudara Letfee Ahmad kemudian tampil mempersembahkan “Silang Kata” dan “Perjalanan”, manakala YBhg. Dato’ Tuan Asmawi Tuan Omar menyampaikan puisi “Tidak Semua Aidilfitri Bererti”. Seterusnya, YBhg. Dato’ Haji Azman Mat Isa memperdengarkanTetamu Senja”, karya Sasterawan Negara A. Samad Said.

Suasana semakin syahdu dengan persembahan lagu puisi Kebesaran Tuhan karya Wanrazuhar yang dilantunkan oleh Datin Seri Mayya Humairah, diikuti dengan Seruling Genderang Sufi yang dipersembahkan oleh Alkhair Aljohore, dan Sajak dari Aidiladha oleh Tuan Haji Borhan Mat Aris.

Wan Nur Syafiqah dari Universiti Malaya mempersembahkan puisi “Hidup” karya Zurina Hassan, Uzma Mohd Nasir dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menyampaikan “Kerinduan Ramadan”, manakala Norman Hazim dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mendeklamasikan “Teruntuk Diri Sendiri” yang merupakan karya tulisannya sendiri.

Presiden PEMUISI, YBhg. Dato’ Dr. Radzuan “Wanrazuhar” Ibrahim turut mempersembahkan lagu puisi hasil karyanya bertajuk Memendam Rasa, diikuti dengan persembahan puisi “Kembara dan Butir-butir Padi” oleh YBhg. Saudara Ishak Hamzah dan “Ku Bersujud” oleh Cikgu Minah Ahmad.

Majlis diteruskan dengan persembahan puisi Ingatan kepada Seorang Ilhami Hisham yang dilantunkan oleh Mohamed Nasir, Rindu Seorang Ibu oleh Raihan Abdul Razak, Sahabat oleh Julie Afza dan Dunia Hari Ini karya Wan Nor Azian Abdullah yang dilantunkan oleh Aris Hashim

Dalam ucapan alu-aluannya, Dato’ Dr. Wanrazuhar menegaskan bahawa pentingnya memasyarakatkan puisi dengan melibatkan semua golongan, bukan sahaja sasterawan, malah juga hakim, saintis dan pelbagai bidang profesional lain.

Malam diakhiri dengan persembahan istimewa lagu puisi seperti Taman Puisi karya Wanrazuhar dan Ku di Halaman Rindu yang pernah dipopularkan oleh Lefthanded, selain Zahir Tak Terucap, nyanyian asal Dato’ Nash sendiri.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi