Diterbitkan pada 20 April 2025, 14:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban — “Seperti buah yang diperam dan telur yang dieram, puisi yang matang perlu pemeraman, pengeraman dan pemerhatian. Tulis dahulu di atas kertas, semak semula esok atau lusa, dan jika belum cukup mantap, baiki semula.”

Itulah yang ditegaskan oleh YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari tentang konsep puisi sebagai “kata-kata terbaik dalam susunan terbaik” dan menasihatkan para penulis agar tidak tergesa-gesa dalam penghasilan sajak.

Dalam suasana yang penuh wibawa, YBhg. SN  Dato’ Rahman Shaari menekankan kepentingan proses dan makna dalam penulisan puisi dalam program “Petang Condong di Pulau Ilmu” yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar pagi semalam.

Slot pertama program bertemakan “Permata Puisi: Nikmat Puisi Bersama SN Dato’ Rahman Shaari”membuka tirai dengan kupasan mendalam tentang hakikat menikmati puisi, bukan hanya sebagai pembaca, malah sebagai pencipta karya. 

“Menulis puisi ialah satu bentuk kenikmatan, seperti sejenis terapi. Dalam biblioterapi, kita hapuskan rasa muram, bosan dan tekanan melalui penghasilan karya,” ujar beliau.

Dato’ Rahman turut berkongsi pengalamannya dalam dunia seni dan sastera, menyentuh aspek nilai dan harga karya seni yang sering disalah tafsir.

Tambah beliau lagi,

Ada pelukis melukis hanya untuk disimpan bawah katil, tapi lukisan itu dijual RM6000. Anehnya, dia muram apabila pembelinya menjual kembali dengan harga RM20,000.

Bagi puisi pula, beliau mengingatkan bahawa tidak semua yang dinamakan puisi di media sosial benar-benar mencapai nilai puisi, walaupun terdapat lambakan puisi yang diterbitkan di situ.

“Puisi yang baik ialah puisi yang mengangkat makna. Menurut SN Muhammad Haji Salleh, puisi adalah bahasa yang paling intelektual,” tambahnya.

Dalam sesi tersebut, Dato’ Rahman turut membedah dua puisi terkenal—Ditakutkan Pada Malam oleh A. Ghafar Ibrahim serta Aku oleh penyair Indonesia, Chairil Anwar—bagi menunjukkan perbezaan gaya bahasa, lapisan makna dan kekuatan komunikasi dalam puisi.

Program anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) dan Pusat Rujukan dan Penyelidikan Ketamadunan Adat Perpatih Sedunia ini turut disokong oleh GAPENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Turut hadir memeriahkan program ialah Ibu Soko PEN, YBrs. Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, YBrs. Puan Roziah Yunus; Ketua Satu PEN, YBrs. Puan Nisah Haron; Ketua Dua PEN, YBrs. Puan Nor Azah Aziz serta wakil Jawatankuasa PENYAIR, YBrs. Encik Razali Mohd. Yussof.

Meneruskan legasi kecintaan terhadap puisi dan sastera, PENYAIR mengumumkan bahawa siri Petang Condong di Pulau Ilmu akan diteruskan ke negeri-negeri lain termasuk Perlis dan Johor, membawa pemuisi dan pemikir ke pelbagai pelosok tanah air untuk menyemarakkan api seni kata.

Kredit Foto: Persatuan Penulis Negeri Sembilan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi