Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLondon – Yayasan Komanwel hari ini mengumumkan senarai pendek Hadiah Cerpen Komanwel, menampilkan 25 cerpen daripada sejumlah 7,920 penyertaan.
Yayasan itu dalam kenyataan akhbarnya berkata, semua cerpen yang disenaraipendekkan bercerita mengenai pelbagai tema, daripada pemerdagangan manusia dan peperangan hinggalah kepada isu keibuan dan persahabatan.
Dibahagikan kepada lima wilayah, iaitu Asia, Pasifik, Afrika, Kanada serta Eropah, dan Caribbean, setiap wilayah akan memilih pemenang utamanya sebelum bersaing pada peringkat akhir.
Lima pemenang serantau, masing-masing mewakili lima wilayah Komanwel, akan diumumkan pada 14 Mei, manakala pemenang keseluruhan akan diumumkan pada 25 Jun 2025.
Lima penulis dari Asia yang berjaya disenaraipendekkan ialah penulis dari Bangladesh, Faria Basher dengan cerpen “An Eye and a Leg”; Tahoor Bari (Pakistan) menerusi “The Dot” dan dua penulis India, Parul Kaushik dengan cerpen “Mrs. Gaonkar’s Girls” dan “Tino de Sa” (Tamarind).
Pemenang serantau akan menerima £2,500 (RM15,000), manakala pemenang keseluruhan akan menerima hadiah sebanyak £5,000 (RM30,000).
Semua cerpen yang tersenarai akan diterbitkan secara dalam talian oleh Granta, serta dalam koleksi khas bercetak oleh Paper + Ink.
Penulis dan pembikin filem YBhg. Dr. Vilsoni Hereniko yang mengetuai panel juri berkata, senarai pendek kali ini ialah bacaan yang relevan, bertenaga dan penting, merangkumi 25 cerita terbaik daripada hampir ribuan penyertaan.
Katanya, secara bersama, cerita-cerita ini membuktikan mengapa bentuk cerpen perlu terus disokong dan dipromosikan.
Sementara itu Ketua Pengarah Yayasan Komanwel, YBrs. Dr. Anne T. Gallagher AO berkata bahawa kepelbagaian suara, perspektif dan pengalaman sangat mengagumkan, malah menjadi peringatan yang kuat terhadap tenaga kreatif yang menyatukan kita semua sebagai satu komuniti Komanwel.
“Kami mengucapkan tahniah kepada semua yang berjaya ke senarai pendek. Karya mereka bukan sahaja menggambarkan cabaran bersama yang kita hadapi, tetapi juga harapan dan aspirasi kita.”